~ KOMPAS 2012 ~

Image

KOMPAS 2012

Salam semua, mohon sama2 kita promosikan.  
KONVENSYEN MEMARTABATKAN ISLAM, MEMPERKASAKAN UMMAH – (KOMPAS 2012)
9 Jun 2012 (Sabtu), 8 pagi – 5.30 petang di Dewan Auditorium D8, Parcel D, Presint 1, Putrajaya
JOM, segera kita mendaftar dan mempromosikan program penting ini. Tempat sangat terhad.
Apa yang menarik?
 
   Pelancaran Buku 30 Soal Jawab
 “Melayu Sepakat Islam Berdaulat” – MSIB
tulisan Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik A Rahman
 oleh YAB Tan Sri Mahyudin Yasin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia
 
Persembahan Pidato dan Multimedia

Pembentangan Khas : Panglima Awang,
Prof Madya Khazin Tamrin, Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris
 
Pembentangan Khas : Perjuangan Melayu Menentang Penjajahan Portugis dan  Belanda
Tuan Hj Yahya Abu Bakar, Sejarawan
 
FORUM PERDANA : Survival Umat Melayu Di Persimpangan : Di Mana Maruah Kita?
Y. Bhg. Prof Dato’ Dr Sidek Baba,
Profesor Pendidikan, Institut Pendidikan UIAM
Tn Hj Aminudin Yahaya
Timbalan Presiden ISMA
Ust Ismail Mina Ahmad
Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Malaysia
Tuan Haji Mahamad Naser Disa
Peguam Persekutuan / Ahli Lembaga Dewan Amal Islami (Dewan Amal Islami)
 
 
Penampilan Istimewa Syeikh Raid Solah
Perjuangan Survival Ummah – Pengalaman Rakyat Palestin
                                                                 
Syeikh Raid Solah ialah Presiden Pertubuhan Islam Palestin 48 & Tokoh Pejuang Pembebasan Baitul Maqdis

Anjuran 
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) 
 
dengan kerjasama 
Dewan Amal Islami (DAMAI), Persekutuan Seruan Islam Selangor & W.P (JAM’IYAH ), Aman Palestin, Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia ( MUAFAKAT ), Persatuan Belia Islam Nasional ( PEMBINA ), Persatuan Pengguna Islam Malaysia ( PPIM ) dan Persatuan Peguam Muslim Malaysia ( PPMM )

SEMUA INI UNTUK RM10 SAHAJA!!
 
 
PENDAFTARAN TERUS KE SEKRETARIAT
Azila – 0193384508 / 0389265424 / registerkompas@gmail.com

   Sms <DAFTAR> <NAMA> <BANK> <TARIKH> <JUMLAH>

Kategori:Uncategorized

~ doa & takdir ~

28 Februari 2012 1 komen

DOA adalah permohonan atau pengucapan seorang hamba dilakukan secara langsung dengan Allah SWT dan setiap rintihan yang dimohon didengar Allah SWT. Allah SWT tidak suka kepada umatnya yang tidak pernah memanjatkan doa kepada-Nya. Firman Allah SWT dalam surah al-A’raaf ayat 55-56 bermaksud: “Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang melampaui batas. Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan kebaikan padanya, dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang dan penuh pengharapan. Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang yang berbuat baik.” 

Ketika menjelaskan perkara sama, Salman al-Farisi meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud: “Tidak ada yang dapat mengubah takdir selain doa, dan tidak ada yang dapat memanjangkan umur melainkan memperbanyakkan amal kebajikan, (Riwayat Tirmizi)

 

Berdasarkan peringatan Rasulullah SAW ini, ternyata kepada kita bahawa pengaruh doa itu amat hebat sehingga ia mampu mengubah takdir Allah SWT dan alangkah hebatnya pengaruh amal kebajikan kerana ia dapat memanjangkan umur seseorang.

 

Di saat manusia tidak dapat lagi berbuat apa-apa, selepas habis daya usaha dan tiada sesiapa lagi yang mampu memberi bantuan yang diperlukan, ketika itu manusia sedar bahawa sesungguhnya kehidupan manusia tidak dapat dipisahkan daripada Allah SWT. 

Kadangkala timbul pertanyaan, kita sering berdoa tetapi diyakini doa kita tidak dimakbul Allah SWT? Seorang sahabat Saad Abi Waqas pernah meminta Rasulullah SAW agar memberinya panduan untuk mendapat doa yang makbul. Menurut Ibnu Abbas r.a, Rasulullah SAW bersabda: 

‘Wahai Sa’ad, makanlah makanan baik (lagi halal), tentu engkau menjadi orang yang makbul doanya. Sesungguhnya seorang yang pernah memasukkan sesuap makanan yang haram ke dalam perutnya, maka tidak dikabulkan doanya selama 40 hari. 

“Sesiapa saja yang dagingnya tumbuh daripada makanan haram maka neraka layak untuknya”. (Riwayat Thabrani) 
Berdasarkan besar peranan doa dalam kehidupan umat Islam, maka Islam meletakkan doa sebagai sebahagian daripada ibadah kepada Allah. Dengan demikian permohonan doa itu hendaklah mematuhi adab tertentu. Berdasarkan rujukan al-Quran dan hadis, antara lain adab berdoa itu ialah: 

  • Pertama: Suci daripada hadas besar dan kecil; 
  • Kedua: Menghadap ke arah kiblat dan dimulai dengan bacaan Surah al-Fatihah, pujian kepada Allah serta selawat kepada Nabi Muhamad SAW; 
  • Ketiga: Berdoa dengan ikhlas, suara perlahan, merendah diri, mengaku kesalahan dosa yang lalu dan yakin Allah akan mengabulkan doa sama ada cepat atau lambat; 
  • Keempat: Berdoa terus menerus sama ada ketika senang atau susah tanpa putus asa; 
  • Kelima: Tidak melampaui batas ketika berdoa iaitu berdoa untuk meminta kebinasaan, mengakibatkan keburukan atau menginginkan kejahatan sehingga boleh memutuskan silaturahim, kerosakan harta benda dan kezaliman sesama umat Islam.

Menurut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah kamu sekalian berdoa untuk kebinasaan diri, kebinasaan anak, dan janganlah pula berdoa untuk kebinasaan harta benda lebih-lebih lagi jika waktu doa berkebetulan dalam waktu yang mustajab”. 

Doa adalah senjata ghaib umat Islam untuk memohon pertolongan Allah. Dalam hal ini ingin saya mengingatkan umat Islam bahawa terdapat tiga golongan yang doa mereka amat diterima oleh Allah bersandarkan kepada sebuah hadis Qudsi yang disampaikan oleh Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tiga golongan yang tidak pernah ditolak doa mereka iaitu pertama, doa orang yang berpuasa; kedua, doa pemerintah yang adil; dan ketiga, doa orang yang dizalimi, di mana doa mereka terbuka luas dan Allah memberi jaminan doa mereka pasti dipenuhi”. (Riwayat Tirmizi) 

Adalah menjadi tanggungjawab ulama, sidang pembaca dan umat Islam sekalian supaya berhati-hati tatkala berdoa. Sesungguhnya doa orang yang dizalimi dan teraniaya adalah mustajab. Apalagi kalau mereka itu orang lemah, tiada kuasa dan orang tua. Semakin lemah mereka, maka semakin besar dan cepat pula pertolongan Allah datang membantu. 

Dengan sikap berhati-hati ketika berdoa, insya-Allah kehidupan kita terjauh daripada melakukan pelbagai bentuk kezaliman, pembohongan, ketidakadilan, fitnah-memfitnah dan penganiayaan dalam keluarga, masyarakat, pertubuhan dan organisasi. 

Berdasarkan peringatan Allah SWT dan Rasulullah SAW itu, amat yakin mereka yang melakukan kezaliman, fitnah dan penganiayaan kepada manusia tidak terlepas begitu saja. Sebagai peringatan berhubung tingkah laku kita, marilah kita menghayati firman Allah SWT ini. 

Maksudnya: “Sesiapa yang mengerjakan amal salih, maka faedahnya terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa berbuat kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hamba-Nya.’ (Surah Fussilat:46) 

Kategori:Uncategorized

~ penyelamat umat sejagat ~

NABI Muhammad SAW diutuskan Allah menyebarkan Islam kepada seluruh manusia dan menjadi pemimpin contoh untuk diikuti sepanjang zaman. Seluruh cendekiawan, ahli agama, pemikir dan pemimpin, sama ada beragama Islam atau kafir mengakui Nabi Muhammad sebagai “The Saviour of Humanity” atau Penyelamat Manusia Sejagat. Baginda juga digelar pemimpin agung sepanjang zaman dan paling sempurna akhlak.

Memang tepat jika Rasulullah dijadikan contoh dan idola untuk diikuti dalam segenap segi cara kehidupan baginda. Sesungguhnya tidak ada sifat buruk pada diri baginda untuk dijadikan bahan momokan atau cacian oleh musuh-musuh Islam.

Dalam kalangan orientalis, mereka cuba mengkaji dan mencari sunnah Rasulullah yang boleh dikaitkan sebagai sikap buruk dan bukti Rasulullah hanya manusia biasa sama seperti orang lain. Antara sunnah yang dilambangkan tidak baik ialah poligami dan perkahwinan Rasulullah dengan Siti Aisyah. Baginda dilambangkan sebagai kuat seks atau gila seks.

Jika kita mengkaji sirah, tentunya kita faham mengapa Rasulullah berkahwin lebih daripada seorang dan mengahwini Siti Aisyah ketika masih berusia kanak-kanak. Rasulullah bukan gila seks dan tidak sekali-kali menjadikan kedudukan dan kuasa untuk memiliki banyak isteri.

Perkara ini tentu sekali akan digunakan pula oleh orientalis untuk menyokong dakwaan mereka selama ini.

Sepatutnya, sempena Maulidur Rasul ini perkara lain yang dibincangkan atau ditonjolkan. Banyak sumbangan besar lain patut dijadikan topik perbincangan dan dicontohi yang mana baginda berjaya membentuk masyarakat sempurna dan syumul yang tidak ada batasan geografi dan zaman.
Tidak ada individu lain mampu mencapai status seperti mana dicapai Nabi Muhammad SAW. Lihatlah hasil dakwah Nabi Muhammad yang berjaya membawa perubahan besar peradaban manusia. Risalah yang dibawa Nabi Muhammad membawa pakej sempurna kepada kehidupan manusia dan tidak setakat berkaitan tauhid kepercayaan kepada Allah semata-mata.

Rasulullah sudah berjaya merubah kehidupan manusia secara rohani, fizikal dan intelektual yang mencetus revolusi perubahan membawa manusia dari dunia kegelapan kepada cahaya kebenaran.

Kesempurnaan akhlak, kepimpinan dan ajaran yang dibawa Nabi Muhammad dijadikan ikutan bagi sesiapa mengharapkan kesejahteraan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Baginda memiliki peribadi mulia sehingga digelar al-Amin oleh masyarakat Makkah, yakni lambang kebenaran dan kesempurnaan pekerti.

Nabi Muhammad mengajar manusia mengenai ketuhanan, kebenaran, keadilan dan kebahagiaan hidup. Baginda menunjukkan cara hubungan manusia dengan Allah, manusia dengan manusia dan manusia dengan alam.

Setiap ajaran dan amalan Nabi Muhammad adalah sunnah yang perlu diterapkan dalam kehidupan setiap insan untuk mencapai kejayaan hidup di dunia dan akhirat. Untuk memastikan iman sentiasa kuat dan sempurna, hendaklah sentiasa tertanam perasaan mencintai Nabi Muhammad sepenuh hati.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Tidaklah beriman seseorang kamu sehingga aku lebih dicintainya daripada anaknya, ibu bapanya dan manusia seluruhnya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Kasih sayang terhadap Nabi Muhammad tidak cukup sekadar ucapan di bibir atau mengadakan sesuatu secara ritual berkaitan baginda. Kasih sayang memerlukan pembuktian berupa amalan seperti yang diperintahkan oleh Allah dan Rasulullah.

Kita perlu penuh yakin bahawa apa yang dilakukan Nabi Muhammad ada yang contoh ikutan terbaik. Sesiapa mengikut sunnah Rasulullah mendapat jaminan beroleh kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Kita hari ini tidak hidup bersama-sama Nabi Muhammad. Apa yang ditinggalkan sebagai pedoman hidup adalah al-Quran dan sunnah. Sesiapa mencontohi kedua-duanya, samalah seperti hidup pada zaman Rasulullah.

Fahaman yang menolak sunnah dalam mentafsir kehendak agama membawa kepada kesesatan. Ditambah pula dengan keadaan umat Islam yang dirosakkan oleh fahaman bidaah, khurafat, syirik, rosak akhlak dan aliran liberal.

Nabi Muhammad mengingatkan agar umatnya terus berpegang kepada sunnah biarpun berdepan halangan. Mempertahankan sunnah satu tanggungjawab yang berat.

Ya , kitalah penyambung agenda baginda SAW !  :)

 

Kategori:Uncategorized

~ dunia semakin tua ~

MAKHLUK dan alam luas ciptaan Allah SWT akan tiba masanya menempuh saat kemusnahan dan kehancuran. Lihatlah tumbuh-tumbuhan menghijau di sekeliling kita akhirnya akan kuning layu, besi yang keras berkarat dan menjadi reput, makanan segar menjadi basi, manusia dimamah usia, akhirnya menemui ajal.

Dunia yang kita duduki dan diami hari ini pun semakin tua. Suasana yang berlaku bukan terjadi secara kebetulan tetapi suatu perkhabaran dan petanda awal bahawa seluruh ciptaan Allah SWT akan menemui ajalnya pada suatu detik dinamakan kiamat.

Apabila matahari dilingkari cahayanya (dan hilang lenyap). Dan apabila bintang gugur berselerak dan apabila gunung-ganang diterbangkan ke angkasa (selepas dihancurkan menjadi debu). – Surah at-Takwir, Ayat 1-3

Tiupan sangka kala pertama tanda bermulanya kiamat, manakala tiupan sangka kala kedua menandakan kebangkitan manusia yang mati sejak zaman nabi Adam sehingga manusia terakhir ketika berlaku kiamat.

Roh dan tubuh badan manusia yang berpisah ketika di alam barzakh bercantum semula hingga lengkap seperti tubuh sebelum mati untuk menghadapi hari pengadilan.

Dahsyatnya kiamat dijelaskan Allah SWT dalam firman yang bermaksud: “Apabila matahari dilingkari cahayanya (dan hilang lenyap). Dan apabila bintang gugur berselerak dan apabila gunung-ganang diterbangkan ke angkasa (selepas dihancurkan menjadi debu).” (Surah at-Takwir, ayat 1-3)

Kebangkitan semula manusia selepas kiamat akan dihimpunkan di padang Mahsyar untuk menghadapi perbicaraan atau timbangan amalan di dunia. Setiap sudut padang Mahsyar penuh sesak dengan manusia dan jin untuk bersama mengharungi hari hisab.
Menurut Imam Ghazali, padang Mahsyar itu suatu dataran bumi yang luas, saujana mata memandang tidak dapat dihitung dengan ilmu manusia, keadaan bumi yang putih dan rata, tiada gunung ganang dan tiada pokok kayu untuk dijadikan tempat berteduh.

Pada dataran putih itulah manusia yang baru dibangkitkan semula dihalau ke sana seperti binatang ternakan keluar dari kandangnya atau seperti kanak-kanak baru lahir, dengan keadaan berkaki ayam dan bertelanjang bulat tanpa pakaian.

Dalam keadaan terlalu gawat menghadapi cabaran Mahsyar itu manusia terlupa dirinya tidak berpakaian kerana memikirkan bagaimana hendak menyelamatkan diri masing-masing.

Abu Hurairah berkata, beliau mendengar Rasulullah SAW berpidato di hadapan sahabat bahawa manusia di padang Mahsyar akan dibangkitkan kelak dalam tiga bentuk. Pertama, dibangkitkan dengan keadaan kenderaan sudah tersedia untuk membawa mereka.

Kedua, manusia yang berjalan kaki dan ketiga, manusia yang berjalan dengan mukanya tertungging ke tanah. Digambarkan juga suasana hiruk-pikuk dan kucar-kacir yang menyelubungi manusia kerana masing-masing sibuk dengan hal tersendiri.

Ada yang berjalan, merangkak dan bermacam lagi dalam suasana panas cahaya matahari berada hanya sejengkal di atas kepala. Ada sesetengah manusia ditenggelami dengan peluh yang banyak dan berbau busuk bergantung kepada tahap amalan semasa di dunia.

Ketika sedang terlalu dahaga, datang malaikat Zabaniah membawa air untuk ahli Mahsyar. Pada mulanya ahli Mahsyar amat gembira, malangnya air itu tersangat panas sehingga apabila mangkuk air didekatkan ke bibir, maka daging bibir luruh berguguran kerana air terlalu panas.

Persoalan besar timbul dalam kalangan ahli di padang Mahsyar ialah berapa lama mereka mesti berada di dataran itu? Ada pendapat mengatakan selama 300 tahun mengikut tahun akhirat.

Walaupun tidak ada pohon untuk memberi perlindungan dari bahan panas terik, tetapi Allah SWT menyediakan bayang Arasy yang redup. Mereka yang mendapat naungan Arasy antaranya ialah golongan al-Muqarrabun iaitu orang yang dekat dengan Allah SWT.

Golongan al- Muqarrabun merujuk kepada mereka ketika hidupnya di dunia sentiasa patuh arahan Allah SWT serta meninggalkan perkara yang dilarang sama ada dalam soal akidah atau syariah.

Yakinlah bahawa setiap manusia di padang Mahsyar nanti akan melalui perbicaraannya, disoal dan diperiksa satu persatu, tidak akan terkecuali sesuatu pun dari hidupnya di dunia sekalipun yang sulit dan tersembunyi. Bahkan semua anggota dan bahagian kecil tubuh pun ditanya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak berganjak kedua kaki seseorang dari tempat berdirinya di mahkamah Tuhan pada hari kiamat sehingga ia disoal empat perkara; umurnya pada perkara apakah ia habiskan; masa mudanya untuk apa digunakan; harta bendanya dari manakah ia dapati dan pada perkara apakah ia belanjakan dan amalan dilakukan sesuai dengan apa yang telah diketahuinya?” (Hadis riwayat At-Tirmizi)

Insaflah dan sedarlah bahawa kegawatan dan kesengsaraan di padang Mahsyar yang memakan masa ratusan tahun itu amat dahsyat. Marilah kita semasa masih sihat, bertenaga dan ada peluang melakukan muhasabah diri serta sentiasa bertaubat kepada Allah SWT.

Muhasabah penting supaya buku rekod catatan amalan menunjukkan amalan yang cemerlang dan digolongkan sebagai kumpulan al-Muqarabbun.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah engkau menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka. Mereka terburu-buru sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata tidak berkelip, dan hati mereka tidak bersemangat kerana bingung dan cemas.” (Surah Ibrahim, ayat 42-43)

 

Kategori:Uncategorized

~ mencari kesepakatan di sebalik virus perbezaan ~

DEKAD lamanya kita masih belum menemui jalan terang bagi menyinari maksud perselisihan. Perselisihan hari ini adalah disebabkan percaturan ego yang sering mahu menempatkan diri kita ditempat yang tinggi.

Oleh itu ruangan kali ini lebih untuk berkongsi isu khilaf dan perpaduan kita bersama. Kita perlu sedar bahawa perbezaan maksud ikhtilaf dan khilaf itu sendiri.

Ikhtilaf membawa maksud perselisihan yang tidak membawa kepada persengketaan dan perbalahan.

Khilaf pula bermaksud sesuatu perselisihan yang sangat ketara hingga membawa kepada persengketaan yang berlarutan.

Hal ini disebut dalam kitab Adab Ikhtilaf Pada Masalah Ilmu Agama yang dikarang oleh Syeikh Muhammad Awwamah r.a.

Perlu diingatkan di sini bahawa keadaan perbezaan pendapat mestilah berakar umbi daripada perkara yang bersifat pecahan bahagian (furu’) di dalam agama.

Ada pun, perbezaan pendapat yang bersifat pokok (usul), mesti dijauhi kerana ia mungkin membawa manusia ke jalan yang sesat.

Pemahaman dan perselisihan kepada perkara ‘pokok’ yang keterlaluan mampu mewujudkan sindrom ‘mengkafirkan’ (takfir) puak-puak tertentu.

Sindrom ini amat berbahaya kerana ia mampu meletakkan kepincangan yang hebat dalam generasi ummah.

Dunia hari ini berkecamuk angkara perbalahan pendapat yang sangat ketara, tidak kira soal politik, ekonomi dan sosial, para ilmuan daripada bidang-bidang tertentu akan terus menyerang pihak lawan dengan isu dan pendapat yang sering bersalahan dengan kotak pemikiran lawan.

Hal ini mampu mengakibatkan perpecahan ummah dan realitinya berlaku hingga ke hari ini.

Mengikut konsep Islam, ikhtilaf mampu membawa kepada kemurnian beragama. Ia juga seiring dengan konsep menuntut ilmu apabila ikhtilaf itu digunakan dalam ruang lingkup yang betul.

Hati manusia yang digodam melalui al-Quran pasti terukir makna pencerahan minda. Hakikatnya, asas sesebuah kehidupan itu bertitik tolak pada niat individu dan komuniti itu sendiri.

Adapun kita berhadapan dengan dunia global tanpa sempadan. Semuanya mampu menjadi medan fitnah yang nyata.

Perbalahan antara ummah dan bangsa sendiri mampu meletakkan kita di paras yang rendah, mahupun ke menara gading telah dicapai. Sertakan adab dan disiplin yang menarik ketika ‘berselisih’.

Antara adab yang selalu dianjurkan para agamawan adalah berbentuk ikhlas, rendah diri dan hati, berkonsep lapang dada, berbaik sangka dengan keputusan lawan dan meletakkan para agamawan sebagai sumber rujukan ilmu yang paling utama.

Namun andai kata segala perbalahan ini tidak boleh diatasi dengan paras logik akal kita, mahu tidak mahu kembalilah kita kepada ajaran tuhan Yang paling Esa.

Mengapa mahu dicari selain kata, andai kata hikmah dan pengajaran daripada Allah telah diturunkan.

Hayati ayat Allah SWT yang membawa maksud: Wahai orang-orang beriman, taatilah Allah SWT dan taati Rasul dan Ulil Amri (pemegang kekuasaan) di antara kamu, kemudian jika kamu berbeza pendapat tentang sesuatu maka kembalikanlah kepada Allah SWT (al-Quran dan sunnah Rasul SAW), jika kamu beriman kepada Allah SWT dan hari kemudian yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (an-Nisa: 59)

Kesepaduan yang dibina juga atas jalan hikmah. Hikmah juga terbina atas dasar perbezaan pendapat yang diertikan dengan ikhtilaf.

Semasa peperangan yang berlaku di zaman kenabian, ramai yang tidak setuju dengan pembahagian harta yang diberikan lebih kepada kamu Ansar, padahal dalam masa yang sama kaum Muhajirin juga bersusah payah membelah keringat menentang musuh.

Antara hikmah paling besar dalam perbezaan pendapat antara Nabi Muhammad SAW dan sahabat r.a adalah kenikmatan beragama yang baru sahaja berputik daripada hati kaum Ansar itu perlu dititikberatkan.

Maka dengan itu, Nabi Muhammad SAW melebihkan bahagian kepada puak Ansar bagi memenangi hati mereka.

Kaum Muhajirin sebenarnya tidak perlu merasa rugi walaupun kecewa dengan tindakan Nabi Muhammad SAW kerana mereka sekian lama bersama Nabi Muhammad SAW. Mana mungkin mereka berpaling daripada ajaran baginda.

Akhirnya, dengan penjelasan hikmah yang cukup ringkas itu, para sahabat berpuas hati dan terus tetap (thabat) dalam perjuangan islam.

 

Kategori:Uncategorized

~ mukhlis vs muflis ~

29 Disember 2011 Tinggalkan komen

BELUM terlewat kita ambangkan 2012 dengan penuh insaf dan syukur. Segala yang berlaku menjadi pengajaran. Untuk tahun baru, tentu azam dan perancangan dinobat lagi, tidak lain dan tidak bukan merealisasikan hasrat dan tekad baru, semoga ia menjanjikan kehidupan lebih baik daripada sebelumnya.

 

Sebagai makhluk menjunjung tugas khalifah, setiap manusia tidak terlepas daripada tanggungjawab kepada Yang Maha Mencipta, sesama manusia dan makhluk serta diri sendiri. Semuanya semata-mata ketaatan kepada Allah SWT.

Sebagai makhluk menjunjung tugas khalifah, setiap manusia tidak terlepas daripada tanggungjawab kepada Yang Maha Mencipta, sesama manusia dan makhluk serta diri sendiri. Semuanya semata-mata ketaatan kepada Allah SWT

Tujuan diciptakan manusia sebagai makhluk di muka bumi ini semata-mata untuk beribadah kepada Allah SWT. Apa juga tindak tanduk bukan ibadat ialah perbuatan sia-sia dan tidak mendapat ganjaran kebaikan di akhirat kelak, bahkan hanya menjadi amalan diri sendiri, sedangkan pekerjaan dilakukan dengan susah payah boleh menjadi ibadat dan meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT. 

Itulah kelebihan orang bekerja. Selain mendapat upah dan meningkatkan kemahiran, kerja dilakukan dengan penuh keikhlasan dan terjaga dalam batas syariat dianggap ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah serta memungkinkan terpilih bersama golongan beruntung di akhirat. 

Beribadah bukan saja tertakluk kepada solat, puasa, menunaikan zakat dan haji tetapi meliputi semua perbuatan termasuk menuntut ilmu, mengajar, berjual beli, mentadbir, berpolitik hatta makan dan minum, asalkan ia dilakukan kerana takut kepada Allah. Kerja bukanlah semata-mata menuntut kita berada di pejabat. Ia bukan juga memerlukan kelulusan tinggi. 

Ia tidak termasuk usaha mencuri, merompak atau membunuh kerana ia bukan usaha dilakukan untuk menjadikan sesuatu itu lebih baik daripada sebelumnya. Dalam bidang pendidikan contohnya, sudah tentu mereka yang menuntut ilmu berhasrat menjadi orang arif sekali gus membebaskannya daripada belenggu kejahilan dan nafsu jahat yang menjadikannya sombong kepada Allah. 
Begitu juga orang yang mengajar, mereka sedaya upaya mendidik sesiapa saja yang memerlukan ilmu agar mereka keluar daripada kepompong kejahilan dan hawa nafsu, dan menambahkan umat yang patuh kepada perintah Allah, bersandarkan ilmu diperoleh. Mereka menjadikan kerjaya mengajar sebagai ibadat tidak akan mengajar untuk mendapat gaji bulanan dan bonus tahunan, atau dinaikkan pangkat dan berkira dengan titik peluh atau masa perlu dilaburkan melebihi sepatutnya. Ini kerana mereka pasti keikhlasan menabur bakti akan mengakrabkan diri kepada Allah dan menjadi nilai tambah dalam kewajipan sedia ada.

Paling utama ialah kerja dilakukan isteri atau ibu yang merangkumi komitmen dalam sfera awam dan domestik. Sebagai pekerja bertanggungjawab dalam bidang tertentu, isteri atau ibu akan bertugas seperti orang lain untuk memenuhi objektif, misi dan visi organisasi, manakala dalam masa sama mereka juga perlu memberikan komitmen tinggi kepada tugas domestik, untuk memenuhi keperluan setiap ahli keluarga. Bebanan kerja yang tinggi dan waktu bekerja tidak terbatas bukan boleh dilakukan semua orang. 

Perlu kita ingat bertambah atau berkurangnya komitmen kita dalam bekerja tidak akan memberi kesan langsung kepada Dia yang menyuruh kita melakukan kerja sebagai ibadat. 

Allah tidak mengharapkan walau satu sen pun daripada upah kita berkerja, sebaliknya semuanya adalah untuk kita sendiri, bahkan sekiranya kita menjadikan kerja sebagai ibadat, kita mendapat manfaat daripadanya pada hari pengadilan kelak. 

Perkara ini jelas dinyatakan dalam firman Allah bermaksud: “Dan ingatlah Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah dan beribadah kepada-Ku, Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian daripada mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepada-Ku. Sesungguhnya Allah Dialah saja yang memberi rezeki kepada sekalian makhluk-Nya dan Dialah saja yang mempunyai kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh Kekuasaan-Nya”. (Surah Az-Zaariyaat ayat 56-58)

Allah memandang rendah kepada orang yang tidak bekerja. Mereka sentiasa meminta-minta dan tidak mampu menunaikan tanggungjawab kepada diri, keluarga, agama, bangsa dan negara, bahkan menjadi beban kepada orang lain, sedangkan sesiapa yang berusaha mencukupi keperluan keluarganya dan tidak berharap kepada bantuan orang lain termasuklah kedua ibu bapanya adalah jihad fisabilillah.  :)

 

 

Kategori:Uncategorized

~ senyum , salam , sapa ~

23 Disember 2011 Tinggalkan komen

MUTAKHIR ini hampir setiap hari dilaporkan media massa pelbagai fenomena gejala sosial melanda masyarakat negara kita.

Perlakuan buruk ini bukan saja membabitkan remaja tetapi juga di kalangan dewasa. Antara fenomena gejala sosial yang amat membimbangkan kita seperti kes pembuangan bayi, penderaan kanak-kanak, kes bersekedudukan sehingga melahirkan zuriat tanpa nikah, kes dadah, arak, rogol, mencuri, pecah rumah dan sebagainya.

Kebanyakan kes itu membabitkan masyarakat Melayu yang beragama Islam yang berlaku di sekeliling kita. Persoalan besar timbul ialah kenapa ia berlaku? Adakah ia menggambarkan agama Islam itu sendiri gagal mendidik umatnya atau sikap masyarakat Islam yang tidak prihatin dan mempedulikan apa yang berlaku di sekelilingnya sehingga ada mayat di sebelah rumah, anak kecil didera atau jiran dirompak pun kita tidak mempedulikannya. Adakah ini ajaran Islam yang sebenar kepada umatnya?

Sikap sebegini bersalahan daripada tatacara hidup Islam yang sebenar kerana umat Islam itu bersaudara, saling bantu-membantu, faham-memahami antara satu sama lain seperti hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Seorang mukmin terhadap seorang mukmin yang lain seperti bangunan yang sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain.” (hadis Riwayat Muslim )

Manusia dijadikan Allah SWT seolah-olah satu badan, jika sakit satu bahagian anggota, maka anggota lain turut merasainya. Tidak beriman seseorang mukmin sekiranya mereka tidak mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri. Alangkah ruginya sekiranya kita hanya berdoa ke hadrat Allah SWT untuk kebaikan diri kita saja sedangkan jiran dan masyarakat yang lain dibiar dalam kemungkaran. Hadis Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak beriman seseorang itu sehingga ia mengasihi saudaranya seperti ia mengasihi dirinya” (Hadis Riwayat Muslim)

Ingatkah kita bagaimana suasana masyarakat dipupuk nenek moyang kita suatu ketika dulu. Jika kita kenang dan renung kembali amalan generasi terdahulu, kita akan sedar betapa murni dan bijaknya mereka menjaga kita. Sesuatu kesalahan dilakukan bila dilihat seseorang maka mereka segera menegur atau memarahi tanpa mengira siapa dan anak siapa.

Lebih daripada itu ibu bapa juga akan dimaklumkan dan anak nakal itu akan mendapat habuan seperti dimarahi atau dipukul ibu bapa. Ini menyebabkan anak tidak berani melakukan kesalahan walaupun di belakang ibu bapa mereka kerana sedar semua orang mengambil berat terhadap mereka dan tidak timbul langsung perasaan takut untuk menegur.
Berbeza sekali dengan pemikiran sesetengah ibu bapa pada zaman moden ini yang konsep tegur menegur seolah-olah tidak lagi relevan dalam kehidupan mereka. Masyarakat yang prihatin, saling tegur-menegur mampu menjamin keselamatan dan keharmonian terutama daripada ancaman gejala sosial dengan cara muafakat, sama ada melalui rukun tetangga, unit kawalan kampung atau melalui kempen kesedaran. Pada masa sama dapat memainkan peranan melaporkan kepada pihak berwajib setiap kali menyedari berlaku pekara yang ganjil dan meragukan dalam masyarakat. Justeru, membina ikatan yang kuat dan kerjasama sesama kita syarat utama bagi menjamin keselamatan dan keharmonian masyarakat. Kita bukan lagi hidup dalam gua seperti zaman purba. Kita hidup bermasyarakat, berkomuniti, berhubung antara satu sama lain, saling bergantungan ibarat pepatah ‘berat sama dipikul ringan sama dijinjing.’

Masyarakat yang sentiasa mengambil berat antara satu sama lain menjadi elemen penting dalam usaha membangun negara.
Mari kita bertanya kepada diri kita, apakah erti pembangunan yang kita bangunkan pada hari ini, jika pada masa sama akhlak manusiawi runtuh roboh. Jika masyarakat bersikap prihatin, isu gejala sosial tidak akan berlaku kerana setiap masa dan tempat diperhatikan. Ingat gejala sosial isu yang melanda kehidupan manusia sepanjang zaman.
Porak-peranda kehidupan masyarakat berpunca daripada wujudnya golongan rosak akhlak yang membelakangkan agama dengan mengutamakan hawa nafsu. Permasalahan ini tidak dapat di atasi selagi masyarakat mengamalkan sikap ‘keakuan’ dengan mementingkan diri sendiri tanpa mempedulikan apa yang berlaku di sekelilingnya.

Usaha kita membina semangat hidup bermasyarakat tidak akan terlaksana sekiranya kita sendiri belum menjadi insan yang prihatin terlebih dulu. kita juga mesti menanam perasaan kasih sayang terhadap masyarakat dan negara. Renungi pepatah Melayu yang menyebut ‘bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat’.

Pepatah ini amat sesuai dan selari dengan tuntutan Islam kerana ia dilihat menjadi suatu permulaan atau kunci ke arah membentuk masyarakat prihatin dan perpaduan sejagat, lebih-lebih lagi dalam keadaan dan suasana semasa serta sehaluan dengan apa yang diingatkan pihak pemerintah pada hari ini.

Justeru, Islam menggalakkan umatnya sentiasa bekerjasama dan berpadu tenaga dalam semua perkara demi mencapai kebaikan sebagai usaha mendapat keberkatan dan keredaan Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2, bermaksud: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan jangan kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwa kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).

Segalanya bermula dengan senyuman yang ikhlas dari hati , menghulur salam penyambung agenda Islami , bertegur sapa demi menjana ummah harmoni .🙂

 

Kategori:Uncategorized