Archive

Archive for Mac 2010

~ berkah usia dengan berbakti ~

Ringankan tangan menghulur sedekah ,

Buangkan sifat pentingkan diri .

Ayuh bersama mengorak langkah ,

Bersatu hati perteguh kendiri .


Seyuman terukir bukanlah terpaksa ,

Lahirnya dari jiwa yang murni ,

Ukhuwwah yang padu terus diperkasa ,

Jernihkan kembali hati dan nurani .


Hubungan Sang Hamba dengan Pencipta ,

Perlu diperbaiki sedaya upaya ,

Dia yang Maha Pengurnia cinta ,

Mohonlah padaNya mogakan ceria .


Berbakti tanpa mengharap balasan ,

Teruskan memberi sepenuh rela ,

Bersatu padu hidup berwawasan ,

Segala rancangan perlu dikelola .


Senior junior kita rapatkan ,

Ukhuwwah bertaut menempah bahagia ,

Hargai nilai sahabat dan rakan ,

Tidak mengira miskin dan kaya .


Faham-memahami bertolak ansur ,

Masalah yang timbul dirungkai bersama ,

Contohi sikap golongan Al-Ansor ,

Hidupkan kembali semangat bekerjasama .


Andailah berat mata yang memandang ,

Beratlah lagi bahu yang menggalas ,

Segala title jawatan disandang ,

Kerjakan amanah tak pinta dibalas .


Tenaga bersama kebajikan diutama ,

Menuntut semangat jiwa yang berkorban ,

Semua kita adalah sama ,

Hindari permusuhan jagalah keaiban .


Bunga yang cantik indah nan segar ,

Layu tatkala kelopak dilerai ,

Ikatan ukhuwwah yang kian longgar ,

Sematkan kembali sebelum terurai .


Di bumi Tuhan menabur jasa ,

Mencari untaian hikmah kembara ,

Teruskan memohon pada yang Esa ,

Tatkala senang mahupun sengsara .


Kategori:Uncategorized

~ bergaya biar berpada ~

Warna jingga jadi pilihan ,

Menambah ayu pada si pemakai ,

Majlis keramaian seindah gubahan ,

Pakaian bersyariat usah dipertikai .

Warna coklat pilihan di hati ,

Busana muslimah di medan riadah ,

Tika bermain berhati-hati ,

Aurat dijaga cantik nan indah .


Tiada salahnya wanita berkerjaya ,

Alaf baru menyahut cabaran ,

Hitam putih seri bergaya ,

Di laman kerjaya membina kepakaran .


Mahasiswi berfesyen tiada salahnya ,

Selagi menjaga batasan syariat ,

Jubah nan ringkas simple seadanya ,

Apa yang penting menjaga aurat .


Wanita solehah sopan bergaya ,

Hijau yang tenang warna pilihan ,

Jadilah seindah hiasan dunia ,

Ikhlaskan niat kerana Tuhan .

p/s : salam semua….. syukran diucapkan buat semua Team BKP (akhwat) yang sudi memberi kerjasama dalam menjayakan program Busana Muslimah dan Kuiz anjuran BBR…..syabas dan tahniah sekali lagi!!!!!

Gud lux untuk imtihan!!!!…… selamat study n teruskan perjuangan……fighting!!!!!!!!!

🙂


Kategori:Uncategorized

~ Ayuh Prihatin Isu Palestin ~


Kesusahan kita sekelumit cuma ,

Penderitaan mereka jauh berganda ,

Walaupun tidak berjihad bersama ,

Rasa simpati mustahil tiada .


Kini Al-Aqsa di dalam bahaya ,

Kian ditindas Yahudi Zionis ,

Qiblat pertama tempat nan mulia ,

Pahit berjuang menanti yang manis .


Zionis membina tembok pemisah ,

Bantuan makanan turut disekat ,

Darah syuhada’ terus membasah ,

Mengalir deras di bumi yang berkat .


Palestin sebagai tanah yang suci ,

Bersama pertahan Ardul Muqaddas ,

Umat Islam dihina dibenci ,

Rejim Zionis zalim menindas .


Umat Islam perlu bersatu ,

Walaupun dari platform berbeza ,

Ringankan tangan terus membantu ,

Infakkan harta mangsa di Gaza .


Bersama kembalikan generasi Salahuddin ,

Dipupuk disemai disiplin akhlaqiyyah ,

Wanita bangkit berhati rijaluddin ,

Berjuang menongkah arus nan payah .


Teknologi peperangan dipertingkatkan ,

Pemerintahan berpaksi aqidah yang satu ,

Kempen memboikot diperhebatkan ,

Perlukan istiqomah semangat yang jitu .


Era zionis pasti berakhir ,

Sokongan rakyat amat diperlukan ,

Berjuang ke titisan darah terakhir ,

Sepanjang hayat Al-Quds dipertahankan .

Jabatan Penuntut Malaysia Jordan

Aman Palestin Berhad

Kursus Penggarapan Al-Aqsa (RAPS)

“Menjejak Langkah Perjuangan”

Sabtu , 13 Mac 2010

7.00 am

Dewan JPM , Jordan

Dr Zainur Rashid Zainuddin

Ustaz Soberi Awang

Kategori:Uncategorized

~ kasihkan Nabi cintakan Illahi ~

Rasullullah insan teragung ,

Qasidah dialun penuh semangat ,

Sabar berdakwah payah ditanggung ,

Sesama kita ingat-mengingat .


Rasul diutus pembimbing umat ,

Penunjuk jalan sinaran kebenaran ,

Selawat ke atas Nabi Muhammad ,

Mari amalkan jadikan sandaran .


Buat sambutan berpada-pada ,

Membazir itu kan saudara syaitan ,

Walau jasadnya telah tiada ,

Sunnah peribadinya dijadikan ikutan .


Akhlak mahmudah terus disemai ,

Bi’ah solehah bersama dijana ,

Berbudi bahasa santun nan permai ,

Usah ditangguh terus dilaksana .


Kasihkan Nabi cintakan Illahi ,

Utusan terakhir pencinta umat ,

Perjuangan Baginda perlu dicontohi ,

Lafaz selawat terus disemat .

Sambutan Maulidur Rasul

&

Pelancaran Bulan Bi’ah Solehah

Masjid Abdullah bin Baz

” Kerana Dirimu Begitu Berharga “

4 Mac 2010

6.52 pm


Kategori:Uncategorized