Utama > Uncategorized > ~ tuduhan zina : kukuhkah bukti? ~

~ tuduhan zina : kukuhkah bukti? ~

 

ZINA, suatu perkataan yang masyarakat Islam secara umum mengetahui definisinya, iaitu persetubuhan dilakukan seorang lelaki dengan seorang perempuan tanpa nikah yang sah mengikut hukum syarak, bukan pasangan suami isteri, pelaku kedua-duanya orang yang mukallaf dan persetubuhan itu tidak termasuk dalam takrif persetubuhan meragukan (wati’ syubhah).

Menurut hukum syarak, seorang penzina muhson iaitu seseorang yang sudah baligh, berakal, merdeka dan sudah pernah berkahwin, apabila disabitkan melakukan perzinaan wajib dikenakan hukuman hudud (rejam) iaitu dibaling dengan batu sederhana besar hingga mati. Manakala bagi penzina ghair muhson iaitu seseorang penzina yang tidak cukup syarat dinyatakan di atas, hendaklah disebat sebanyak 100 kali sebatan, seperti firman Allah SWT dalam surah An-Nur ayat dua yang bermaksud: “Perempuan berzina dan lelaki berzina, hendaklah kamu sebat tiap seorang dari kedua-duanya 100 kali sebat dan jangan kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap kedua-duanya dalam menjalankan hukum Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari Akhirat. Dan hendaklah disaksikan hukuman seksa dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang yang beriman.”

Pesalah juga boleh dihukum buang negeri selama setahun seperti terdapat dalam kitab Kifayatul Ahyar, juzuk dua, muka surat 178 yang bermaksud: ”Lelaki atau perempuan yang melakukan zina bukan muhsin wajib dikenakan ke atas mereka sebat 100 kali sebat dan buang negeri selama setahun”

Zina boleh disabitkan dengan ikrar atau pengakuan si pesalah atau dengan keterangan empat saksi yang cukup syaratnya. Namun, sejarah Islam mencatatkan bahawa kebanyakan sabitan zina pada zaman Rasulullah SAW adalah melalui pengakuan salah.

Dalam hadis riwayat Abu Hurairah bahawa seorang lelaki datang mengadap Rasulullah SAW dalam masjid dan mengaku melakukan zina. Baginda berpaling ke arah lain seperti tidak melayannya sehingga lelaki itu mengulangi pengakuannya sebanyak empat kali. Selepas itu Baginda bertanya, ‘adakah engkau gila?’ Dia menjawab ‘tidak’. Rasulullah SAW bertanya lagi, ‘adakah engkau berkahwin?’ Dia menjawab ‘ya’. Lalu Rasulullah SAW memerintahkan para sahabat membawa lelaki terbabit untuk direjam.
Dalam suatu riwayat dari Sulaiman Buraidah, bahawa seorang wanita dari qabilah al-Ghamidiyah datang berjumpa Rasulullah dan mengaku bahawa dia mengandung hasil perbuatan zina. Baginda meminta wanita itu pulang untuk melahirkan dan menyusukan anak itu terlebih dulu sehingga tamat tempoh susuan baru beliau diperintahkan untuk direjam.

Seseorang yang mengaku melakukan zina kemudian menarik balik pengakuannya diterima penarikan balik itu kerana Rasulullah SAW diriwayatkan menegur sahabat Baginda dengan keras apabila mereka meneruskan hukuman terhadap Ma’iz Malik yang melarikan diri ketika hukuman dijalankan.

Walaupun hukuman terhadap kesalahan zina ditetapkan dalam al-Quran, namun bentuk hukuman ditakninkan dalam Akta Jenayah Syariah pada masa ini lebih kepada hukuman takzir. Seksyen Dua Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 mengehadkan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah hanya ke atas orang Islam dan untuk kesalahan yang boleh dihukum penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi RM5,000 atau sebatan melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman itu.

Seksyen 23 (1) dan (2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 memperuntukkan bahawa (1) Mana-mana lelaki yang melakukan persetubuhan dengan perempuan bukan isterinya yang sah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu. Manakala sub-seksyen (2) akta itu memperuntukkan hukuman yang sama kepada mana-mana perempuan yang melakukan persetubuhan dengan lelaki bukan suaminya.

Apabila seseorang atau lebih mengetahui maklumat mengenai berlakunya persetubuhan luar nikah, laporkan perbuatan itu kepada Jabatan Agama Islam untuk diambil tindakan, ditangkap, ditahan, disiasat dan didakwa di mahkamah. Kesalahan persetubuhan luar nikah adalah ‘kesalahan boleh ditangkap’, iaitu pegawai penguat kuasa agama atau pegawai polis boleh menangkap tanpa waran.
Tindakan menyebarkan perbuatan itu kepada khalayak ramai dan menjadi perbincangan umum suatu yang tidak baik untuk masyarakat. Disebabkan mahukan kemenangan politik, nilai moral manusia dikikis. Kehendak emosi dan politik menjadi lebih penting daripada tanggungjawab undang-undang dan moral.

Dari sudut lain, ia mencerminkan kelemahan umat Islam dan memburukkan Islam di mata masyarakat bukan Islam. Walhal, segala prosedur perundangan perlu dilakukan di mahkamah, bukan di tempat lain.

Menuduh seseorang yang baik lagi suci melakukan zina tanpa mengemukakan empat saksi lelaki yang adil hukumnya haram, termasuk dalam dosa besar dan boleh dikenakan hukuman had qazaf (sebat) sebanyak 80 kali sebatan dan tidak boleh diterima penyaksiannya selama-lamanya kerana dia adalah orang fasiq.

Firman Allah SWT dalam surah An-Nur ayat empat bermaksud: “Dan orang yang melemparkan tuduhan zina kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawa empat saksi. Maka sebat mereka 80 kali sebatan dan jangan kamu terima persaksian mereka itu selama-lamanya kerana mereka itu orang yang fasiq.” Walaupun dalam ayat itu menyebut kesalahan menuduh zina kepada wanita, ijma’ ulama bersepakat bahawa tuduhan kepada lelaki juga termasuk dalam ayat ini.

Akta Kesalahan Jenayah Syariah juga ada memperuntukkan mengenai kesalahan qazaf dalam Seksyen 41 akta itu menyebut “kecuali dalam kes li’an, mana-mana orang yang menuduh orang lain melakukan zina tanpa mengemukakan bukti, mengikut hukum syarak, empat saksi lelaki atau iqrar orang yang dituduh itu adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.”

Jika aduan dibuat secara tertutup menurut saluran ditetapkan, ia akan dibicarakan dalam mahkamah dengan mengemukakan bukti dan saksi yang boleh membantu dakwaan.

Kategori:Uncategorized
  1. Tiada komen.
  1. No trackbacks yet.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: