Utama > Uncategorized > ~ ukhuwwah penyatu ummah ~

~ ukhuwwah penyatu ummah ~

 

MEMBINA silaturrahim bukanlah sekadar mengucap salam kepada sesiapa sahaja yang kita temui. Ia juga tidak semudah kita berkirim salam kepada teman yang sudah lama tidak bertemu. Ukhuwwah di bawah bumbung agama adalah kurniaan Allah SWT kepada setiap individu Muslim tanpa mengira pangkat dan darjat. Kemanisannya hanya dapat dirasai oleh orang yang ikhlas melengkapkan kehidupan sesama manusia setelah menyempurnakan tanggungjawab yang wajib ditunaikan terhadap Allah SWT.

Merasai indahnya ukhuwwah sejak tinggal jauh dari tanah air, keluarga, kerabat dan sahabat. Meskipun tidak dapat bersua, rasa kasih dan sayang semakin mendalam kerana inilah masanya kita mengimbau segala kebaikan dan keseronokan yang dilalui sepanjang berada dekat dengan mereka. Apabila berjauhan juga, doa dan ingatan sentiasa dikirim kerana itulah yang juga mengubat rindu. Hari ini, jalinan ukhuwwah menjadi semakin mudah dengan adanya pelbagai medium untuk meneguhkan ikatan silaturrahim. Malah, hubungan yang jauh boleh didekatkan dengan kemudahan teknologi yang boleh dimanfaatkan untuk tujuan tersebut. Ia memudahkan kita membina hubungan persahabatan serta meneguhkannya dengan sifat belas kasihan, saling membantu dan prihatin terhadap keperluan teman. Tanpa memerlukan masa yang panjang dan modal yang banyak, kita boleh bertanya khabar dan tahu perkembangan taulan yang jauh hanya dengan hujung jari. Malah, hubungan yang jauh boleh didekatkan dengan kemudahan teknologi yang boleh dimanfaatkan untuk tujuan tersebut. Lebih daripada itu, ukhuwwah adalah tunjang kepada kekuatan ummah sekiranya ia berasaskan taqwa dan berlandaskan syariat malah silaturrahim menjauhkan manusia daripada hasad dengki dan fitnah. Ukhuwwah juga boleh menguatkan hubungan dengan Allah SWT kerana ukhuwwah boleh menjadikan akhlak manusia lebih baik daripada sebelumnya. Tetapi sekiranya ukhuwwah menjadi taruhan demi melampiaskan nafsu jahat, ukhuwwah bukan merenggangkan hubungan dengan Allah tetapi juga memisahkan kasih sayang sesama manusia.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bahawa seorang Muslim itu menjadi saudara seorang Muslim lainnya, kerana itu tidak diperbolehkan seorang Muslim itu menganiaya saudara Muslim yang lainnya. Juga tidak boleh seorang Muslim itu menghina saudara Muslim lainnya. Dan barang siapa memberikan pertolongan yakni memenuhi hajat keperluan saudaranya, maka Allah pun memenuhi dan menyelesaikan segala keperluan hajatnya dan barangsiapa yang memberikan kemudahan atau memberikan kelapangan bagi kesusahan seorang Muslim, nescaya Allah melapangkan kesusahannya di hari Kiamat.”

Perintah membina silaturrahim adalah bertujuan untuk melancarkan urusan kehidupan manusia kerana manusia tidak boleh hidup sendirian, sebaliknya saling bergantungan dan melengkapkan keperluan masing-masing. Sebab itulah Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: “Orang mukmin terhadap orang mukmin yang lainnya, tidak ubah bagaikan sebuah bangunan yang bahagian-bahagian menguatkan satu sama lain.”

Kerana ukhuwwah melengkapkan keperluan manusia, ia boleh menjadi asas pembinaan sebuah unit masyarakat yang harmoni. Alangkah indahnya sebuah keluarga yang sarat dengan rasa hormat dan kasih sayang dan ia menjadi tunjang perpaduan dalam hubungan manusia yang lebih luas, sekali gus menjadikan umat Islam kuat dan teguh mempertahankan saudara di bawah bumbung agama.
Ukhuwwah kerana agama tidak mengenal bangsa dan keturunan. Ia juga tidak terbatas kepada hubungan kerabat semata. Firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat, ayat 13 bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah jadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan dan beramah mesra antara satu sama lain. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, bukan yang lebih keturunan atau bangsanya.
Sesungguhnya Allah lebih Mengetahui lagi Maha Mendalam pengetahuannya akan keadaan dan amalan kamu.”

Justeru, tidak salah membina ukhuwwah dengan sesiapa, semata-mata untuk memperteguhkan hubungan dengan Yang Maha Mencipta. Pilihlah sahabat yang mengingatkan kita sewaktu lupa, menjauhkan kita dari leka serta mengikat kita pada tali-Nya, kerana itulah hikmah bersaudara.

Kategori:Uncategorized
  1. Tiada komen.
  1. No trackbacks yet.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: