Archive

Archive for April 2011

~ ibrah at-takathur ~

SURAH al-Takathur mengandungi lapan ayat, ia termasuk dalam kategori surah Makiyyah dan diturunkan selepas surah al-Kauthar. Hubungan surah ini dengan surah al-Qari’ah adalah dalam surah al-Qari’ah diterangkan tentang hari kiamat dan sebahagian huru-haranya serta balasan orang yang melakukan kebaikan dan orang yang melakukan keburukan.

Dalam surah al-Takathur ini pula disebutkan neraka Jahim iaitu neraka Hawiyah yang tersebut dalam surah al-Qari’ah. Disebutkan juga pertanyaan tentang amalan-amalan perbuatan manusia yang mereka lakukan semasa hidupnya dan sesetengah ini daripada urusan hari akhirat.

Sebab nuzul ayat

Ibn Hatim meriwayatkan daripada Abu Buraidah katanya: al-Hakumu’ takathur diturunkan berkenaan dua kabilah Ansar iaitu Bani Harithah dan Bani Harth.

Kedua-dua kabilah ini suka berbangga-bangga dan bermegah-megah, antara lain mereka mengucapkan: Apakah di kalangan kamu terdapat orang seperti si fulan? Mereka berbangga-bangga dengan pelbagai kabilah.

Kemudian, mereka pergi ke tanah perkuburan sambil berucap dengan menunjukkan ke arah tanah perkuburan, apakah di kalangan kamu ada orang yang seperti si fulan ini? Lalu Allah SWT menurunkan surah ini.

Firman Allah SWT: Bermegah-megahan telah melalaikan kamu.

Sayid Qutub berkata: Kehidupan dunia yang sekilas itu berakhir dan menutup lembaran yang pendek. Dan selepas itu zaman terus melanjut bersama bebanannya yang bertambah berat.

Saranan ini disampaikan oleh pengungkapan ayat sendiri dan ini menjadikan hakikat yang dibicarakan itu selaras dengan susunan ungkapan yang unik.

Sejurus seorang itu membaca surah yang hebat, mendalam dan menggerunkan yang mula-mulanya menjulang naik dengan nadanya yang lantang ke angkasa dan kemudian menjunam turun dengan nadanya yang tenang ke dalam lubuk hati, ia akan merasa betapa beratnya tanggungjawab hidup yang dihayatinya sebentar di dunia ini.

Kemudian ia memikul tanggungjawab yang berat itu dalam perjalanannya, kemudian di sanalah ia akan menghisabkan dirinya sendiri terhadap segala nikmat yang dinikmatinya sehingga sekecil-kecilnya.

Imam Muhammad Abduh berkata: Perkataan al-takathur boleh juga diertikan saling berlumba untuk mendapatkan jumlah yang banyak.

Maksudnya, masing-masing berlumba mencari harta yang lebih banyak atau pangkat yang lebih tinggi berbanding dengan yang lain dan berusaha ke arah itu semata-mata. Masing-masing berusaha agar hartanya melebihi yang lain atau kekuatannya lebih hebat daripada yang lain.

Oleh yang demikian, dia akan mencapai kepuasan dan berbangga dengan kekuatan seperti sikap kebanyakan orang yang bercita-cita dari kalangan pemburu-pemburu kekayaan dan kekuatan. Orang yang bersungguh-sungguh bekerja antara mereka untuk sampai kepada tujuan yang tinggi itu tidak berfikir untuk berkorban ke jalan kebaikan atau dengan kekuatannya itu berusaha membela kebenaran dan membawa orang yang sesat agar memerhatikan dan memahami tentang kebenaran itu, lalu melindunginya.

Ini adalah pengertian logik yang dipegang oleh sesetengah ahli tafsir dan sangat sesuai dengan pengertian yang terkandung dalam kalimah melalaikan kamu.

Firman Allah SWT: Sampai kamu masuk ke dalam kubur.

Al-Qurtubi berkata: Kamu diterpa kematian dan dimasukkan ke dalam kubur.

Ibn Kathir berkata: Kamu telah dilekakan dan disibukkan oleh kecintaan terhadap kemewahan kehidupan dunia daripada membuat persediaan untuk menghadapi alam akhirat.

Kealpaan kamu itu begitu ketara sehingga kamu diterpa oleh kematian secara mengejut dan di luar jangkaan kamu, lalu kamu datang mengunjungi kubur dan tinggal di situ dalam jangka waktu yang ditentukan.

Firman Allah SWT: Janganlah begitu, kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatanmu itu). Dan janganlah begitu, kelak kamu akan mengetahui.

Al-Mawardi berkata: Ini merupakan ancaman dan amaran yang keras dan pengulangannya pula menunjukkan penegasan. Ia mengandungi dua wajah:

i. Kamu pasti mengetahui ketika melihat apa yang aku serukan kamu kepada Allah adalah benar dan kemudian sekali lagi kamu mengetahui ketika bangkit bahawa apa yang aku janjikan kepada kamu adalah benar.

ii. Kamu pasti mengetahui ketika dibangkitkan bahawa kamu akan dibangkitkan kemudian akan diazab.

Firman Allah SWT: Janganlah begitu, jika kamu mengetahui dengan pengetahuan yang yakin.

Perkataan janganlah begitu atau kalla, memberi dua maksud:

i. Ia memberi maksud kecuali. Inilah pendapat Abu Hatim.

ii. Ia bermakna yang sebenarnya. Inilah pendapat al-Farra’.

Adapun ilmu al-yakin, ia memberi dua maksud:

i. Ilmu berkaitan kematian yang menjadi yakin tanpa syak. Inilah pendapat Qatadah.

ii. Ia bermaksud apa yang kamu tahu dengan yakin selepas kematian dari kebangkitan dan pembalasan. Inilah pendapat Ibn Juraij.

Firman Allah SWT: Nescaya kamu benar-benar akan melihat neraka Jahim.

Ayat ini ditujukan kepada orang kafir yang pasti masuk ke dalam neraka. Adapun pendapat kedua, ia adalah umum di mana orang kafir akan menghuni neraka Jahim sedangkan orang yang beriman akan melalui atas titian sirat.

Firman Allah SWT: Dan sesungguhnya kamu benar-benar akan melihatnya dengan ‘ainul yaqin.

Sayid Qutub berkata: Kemudian Dia menyampaikan pernyataan akhir yang membuat si mabuk siuman, yang lalai akan sedar dan yang leka memberi perhatian. Orang yang berpoya-poya dalam kenikmatan akan menggeletar dengan nikmat yang ada di tangannya.

Kategori:Uncategorized

~ waspada fahaman syiah ~

Kebanyakan orang yang terpengaruh dengan syiah pada hari ini adalah kerana tanggapan mereka imam-imam syiah itu berasal daripada ahli bait Rasulullah SAW.

Sebenarnya tanggapan ini adalah salah dan jauh tersasar, kerana tidak ada bukti yang kukuh dari sudut salasilah keturunan. Yang kedua, kerana bertentangan dengan ajaran al-Quran dan sunah Rasulullah SAW.

Syiah al-Zaidiyyah sahaja yang diterima oleh ASWJ. Ini kerana al-Zaidiyyah hampir kepada mazhab Syafie.

Selain syiah al-Zaidiyyah tiada jalan untuk menerima mereka dalam kumpulan ASWJ kerana banyak penyelewengan yang terkandung dalam ajaran mereka.

Sebahagian daripada kesesatan ini telah dinyatakan oleh ramai tokoh sarjana Islam, mungkin itu baru sebahagian.

Ini kerana konsep taqiyyah yang difahami oleh golongan syiah menjadikan kita prejudis dengan ajaran mereka, kerana konsep kepura-puraan di hadapan orang yang bukan sealiran dengan mereka menjadikan kita agak ragu dengan kejujuran ajaran mereka.

Pendekatan ini sangat bercanggah dengan al-Quran dan sunah Rasulullah SAW. Menyembunyikan ajaran Islam yang sebenarnya adalah menyerupai Bani Israel yang menyembunyikan isi kandungan al-Taurat.

Para pendita mereka daripada kalangan Yahudi sengaja menyembunyikan kebenaran dan menzahirkan kepalsuan dan kesesatan.

Kalau ajaran syiah itu benar, selari dengan al-Quran dan sunah Rasulullah SAW, apa perlu mereka bertaqiyyah?

Allah SWT telah menegaskan di dalam al-Quran bahawa Islam itu telah sempurna dasarnya, melalui ajaran al-Quran dan sunah Rasulullah SAW.

Firman-Nya yang bermaksud: …Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah reda Islam itu menjadi agama untuk kamu. Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (al-Maidah: 3)

Sikap imam-imam syiah pertentangan dengan ayat ini, kerana setiap imam ada hak untuk memansukhkan mana-mana ayat al-Quran dengan memberi pendapatnya untuk dipegang.

Seorang tokoh Syiah bernama Nashiruddin al-Thusi dalam bukunya Talkish al-Syafy berkata: Menolak imamah adalah kufur sebagaimana menolak kenabian adalah kufur. Ini kerana kejahilan berkenaan kedua-duanya adalah dalam batas yang sama.

Logika imamah adalah logika kenabian dan tujuan kemestian adanya kenabian merupakan tujuan yang sama dari kemestian adanya imamah. Saat terpancarnya kenabian, saat itu juga merupakan saat terpancarnya imamah.

Demikianlah, dakwah berkesinambungan dengan dua lisan, lisan kenabian dan lisan imamah dalam satu garisan yang sama. Al-Imamah memiliki keistimewaan atas kenabian kerana ia berlanjut setelah terhentinya kenabian. (M. Qurasih Shihab dalam Sunnah-Syiah Bergan dengan Tangan! Mungkinkah?, ms. 115 ).

Kepercayaan syiah

Ada pun ciri-ciri akidah atau kepercayaan syiah yang duduk dalam kategori ini, ia adalah seperti berikut:

1. Tahrif al-Quran (Mengubah al-Quran)- kepercayaan sebahagian orang syiah bahawa al-Quran yang tulen adalah apa yang asalnya dalam penjagaan Fathimah r.ha anak Rasulullah SAW (Mushaf Fathimah) manakala al-Quran sekarang ini sudah diubahsuai dengan dibuang ayat-ayat berkenaan kepimpinan Ahl al-Bait.

Ada juga dakwaan bahawa para tokoh syiah memiliki hak untuk mengubah kandungan al-Quran.

Perkara ini dinafikan oleh para tokoh syiah semasa. Malah mereka membuktikannya dengan menggunakan seluruh sumber ASWJ daripada al-Quran sehinggalah kepada sumber hadis dan sejarah.

2. Al-Bada’ bermaksud mengetahui tentang sesuatu yang sebelumnya tidak diketahui. Dikatakan, Tuhan bersifat al-Bada’ sehingga Dia mungkin menetapkan sesuatu lalu kemudian menukar ketetapan itu.

Di kalangan tokoh syiah ada yang menetapkan keyakinan ini dan ada yang menafikannya.

3. Raj’ah yang bermaksud kembali, iaitu orang yang mati akan kembali hidup di dunia ini (sebelum hari kiamat).

Setepatnya, apabila Imam Mahdi muncul satu hari nanti, sekumpulan pengikutnya yang telah mati akan hidup semula berjuang bersama Imam Mahdi.

4. Taqiyyah, iaitu berpura-pura. Sikap ini ditekankan oleh para tokoh Syiah satu masa lalu sebagai strategi menghadapi kezaliman orang yang membenci mereka. Kini ia jarang-jarang diamalkan oleh syiah kontemporari.

Mereka tidak segan-segan atau tidak berpura-pura dengan keyakinan mereka, sebaliknya mengemukakannya dan mendakwahkannya kepada orang ramai.

5. Jelmaan Tuhan. Terdapat serpihan daripada orang Syiah yang disebut sebagai al-Qaramitah yang berkeyakinan Ali bin Abi Talib r.a adalah jelmaan Allah di muka bumi.

Terdapat juga aliran al-Khaththabiyah yang berkeyakinan Ja’far al-Sadiq rahimahullah adalah jelmaan Allah di muka bumi. Keyakinan kedua-dua aliran ekstrem ini tidak mewakili aliran utama Syiah dan ia telah pupus masa kini.

6. Jibrail Tersilap. Ada juga serpihan yang mempercayai malaikat Jibrail a.s tersilap dalam membawa wahyu pertama yang mengangkat seseorang menjadi Rasul.

Ia sepatutnya dibawa kepada Ali bin Abi Talib, namun tersilap kepada Muhammad bin Abdillah. Serpihan yang dikenali sebagai al-Ghurabiyah kini telah pupus.

Dalam rangka berdakwah dan membetulkan aliran syiah, saya berpandangan enam keyakinan di atas tidak perlu diberi perhatian kerana pengikut syiah itu sendiri tidak lagi mempercayainya dan mereka tidak menjadikannya sebagai dasar akidah.

Sebaliknya berilah perhatian kepada keyakinan yang membentuk dasar akidah mereka sekarang ini, seperti mana yang akan dijelaskan seterusnya.

Namun solat berimamkan orang syiah yang terseleweng akidahnya sedang makmum mengenali imam itu seorang syiah maka solatnya batal.

Ini kerana hakikatnya dia tidak beriman kepada Allah SWT dan tidak beriman kepada Rasulullah SAW.

Jika makmum tidak ketahui bahawa imam itu seorang syiah dan juga jahil mengenai ajaran yang dianuti oleh imam yang syiah itu maka solatnya sah, kerana dia tidak menyedari dan perbuatannya di luar pengetahuannya.

Kategori:Uncategorized

~ tingkat pengetahuan , mantapkan kemahiran ~

KECEMERLANGAN organisasi terletak pada aset utamanya iaitu modal insan, semestinya berilmu, memiliki kemahiran bersesuaian dan berfikiran strategik supaya sentiasa relevan dengan peredaran masa dan persekitaran.

Perkhidmatan melangkaui jangkaan pelanggan adalah petanda positif. Pekerja mesti memiliki kemahiran bersesuaian bagi menghadapi cabaran semasa dan tenaga kerja relevan adalah cabaran terbesar dihadapi perkhidmatan masa kini.

Prestasi pekerja di negara ini amat membanggakan dan menuju sasaran ke-10 terbaik di dunia, namun penambahbaikan dari masa ke semasa amat perlu bagi memperbaiki kelemahan untuk mengekalkan kecemerlangan. Sebagai pekerja Muslim, kita mesti menerapkan nilai Islam dalam pekerjaan seperti jujur, amanah, taat, tekun, dedikasi dan bijak. Kita juga mesti mempunyai tekad serta keazaman bagi menghadapi masa depan dengan lebih baik bermula dari hari ini.

Islam sentiasa mendorong, memotivasi dan menganjurkan umatnya berusaha serta berikhtiar penuh ketekunan bagi mencapai kesejahteraan dan kegemilangan dalam kehidupan seharian.

Ingatlah, perubahan menuju hasanah (kebaikan) bermula dari dalam diri setiap individu. Pekerja kurang berkemahiran perlu mempertingkatkan keupayaan mereka. Jika tidak, mungkin ada antara mereka ini tidak lagi diperlukan dalam perkhidmatan.

Sebagai pekerja, kita juga mesti berusaha memberi sumbangan kepada kemajuan negara dan kesejahteraan masyarakat. Kita mestilah memainkan peranan dalam mencapai kesejahteraan bukan beban yang menyusahkan orang lain.
Tingkatkan kemahiran, tambahkan pengetahuan, hanya dengan cara ini kita mampu melaksanakan tugas sebenar sebagai khalifah di muka bumi. Allah menetapkan dalam sunnah kehidupan kejayaan itu hasil daripada kerja tekun dan dedikasi. Inilah jihad dituntut Islam.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya Allah sangat suka (bahkan cinta) jika seseorang daripada kamu, melakukan kerja, maka dia bekerja dengan tekun.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Umumnya, manusia berperibadi cemerlang berjaya menyempurnakan tugasnya berdasarkan kekayaan ilmu pengetahuan, penghayatan, pengamalan ilmu serta melaksanakan tugas mencapai atau melepasi ukuran cemerlang.

Mereka juga digambarkan melalui tingkah laku berhemah, berbudi pekerti mulia dan menerima tanggungjawab sebagai amanah seperti firman Allah bermaksud:
“Katakanlah: Mahukah kami khabarkan kepada kamu akan orang yang rugi amal perbuatannya? Orang yang sia-sia usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul pada apa yang mereka lakukan. Merekalah orang yang ingkar akan ayat Tuhan mereka dan pertemuan dengan-Nya; maka gugurlah amal mereka; maka Kami tidak akan memberi timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari Kiamat kelak.” (Surah al-Kahfi, ayat 103-105)

Berdasarkan maksud ayat ini dapat difahami ‘mereka yang rugi’ itu termasuklah yang tidak amanah. Sifat amanah adalah pakaian khalifah Allah. Sebagai khalifah kita bertanggungjawab mengurus alam dan segala isinya supaya keberkatannya dapat dinikmati.

Justeru, bagi memakmurkannya, kualiti pengurusan dalam pelbagai aspek kehidupan sangat diperlukan. Kualiti itu adalah tuntutan bekerja secara profesional melalui perancangan strategik dari sudut masa, wang dan tenaga yang semuanya berteraskan nilai amanah serta integriti. Rasulullah SAW adalah contoh pekerja dan pengurus unggul berkeperibadian tinggi yang sentiasa melakukan perubahan untuk maju.

Sebagai individu yang menjadi warga kepada organisasi, kita tidak dapat lari daripada menerima kesan perubahan ini. Jika kita tidak cepat bertindak menyesuaikan diri dengan perubahan, dikhuatiri kita tidak mampu menyampaikan perkhidmatan seperti dituntut masyarakat luar.

Marilah kita muhasabah diri, sejauh manakah kedudukan kita dalam dunia pekerjaan ini? Adakah kita sudah membawa perubahan kepada diri, keluarga, organisasi, negara dan kepentingan agama?

Kita sebagai pekerja hendaklah bersyukur dan meneruskan usaha ke arah perkhidmatan cemerlang, bekerja dalam konteks amal soleh dan nilai murni bagi memastikan perubahan positif terus dicapai.

Bersempena Hari Pekerja 2011 bertemakan ‘Pekerja Merealisasikan Transformasi Negara, marilah bersama menanam tekad dan azam menghayati tujuan bekerja menurut Islam. Tingkatkan usaha ke arah yang terbaik.

Sentiasa memperbaiki prestasi kerja, berusaha melaksanakan pelbagai tugas, mempunyai sifat positif terhadap diri dan pandangan pihak lain, bersedia menerima teguran, saling menghormati, bertolak ansur dan akhirnya peka kepada kehendak pelanggan serta perubahan persekitaran. Mudah-mudahan dengan cara ini kerja kita diberkati dan diredai Allah.

Firman Allah bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad), beramallah kamu akan segala yang diperintahkan, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui perkara ghaib dan nyata. Kemudian Dia memberitahu kepada kamu apa yang kamu kerjakan.” (Surah at-Taubah, ayat 105)

Kategori:Uncategorized

~ 1 hari : 1 artikel ~

AHLI falsafah Inggeris, Lord Bacon, berkata membaca menjadikan seseorang itu berisi. Membaca ialah aktiviti yang boleh membangunkan intelektual, membentuk pemikiran kreatif dan dinamis serta melahirkan masyarakat progresif dan berdaya saing.

Dalam keinginan kita menjadi negara maju menjelang 2020, pemikiran bernas dan matang diperoleh hasil pembacaan penting ke arah pembangunan yang pesat. Masyarakat maju dapat menguasai pelbagai bidang ilmu terdiri daripada masyarakat yang suka membaca.

Contohnya, masyarakat Jepun walaupun sibuk dengan urusan harian, masih sempat membaca walaupun di mana mereka berada. Mereka terlalu cintakan amalan membaca. Justeru, fikiran mereka turut dimatangkan melalui proses pembacaan.

Dalam penghayatan sejarah Islam, pernah dilaporkan sikap orang Arab ketika berbicara mengenai buku. Mereka menganggap amalan membaca seumpama sedang berbicara mengenai seorang yang amat setia dan jujur atau seorang pemimpin yang membimbingnya ke jalan kebenaran.

Selain itu, ada juga ulama menganggap membaca seumpama sedang bercakap-cakap dengan sekumpulan ulama dan orang pintar. Ulama Islam, al-Jahiz, yang mempunyai komitmen tinggi terhadap ilmu dan pembacaan, mati akibat tertindih oleh buku yang disimpan di sekelilingnya.

Berdasarkan kisah ulama zaman silam ini, mereka menjadikan buku teman. Jelaslah ulama dan cendekiawan Islam menunjukkan komitmen tinggi terhadap amalan membaca dan kecintaan pada ilmu pengetahuan.

Masyarakat membaca dan berlumba-lumba menguasai ilmu adalah masyarakat yang dapat menyesuaikan dirinya dengan tujuan asal ia diciptakan Allah.
Sebenarnya, minat dan tabiat membaca boleh dipupuk dalam masyarakat. Namun, untuk mewujudkan sebuah negara mempunyai rakyat yang menjadikan membaca sebagai amalan dalam hidup mereka bukanlah suatu perkara mudah.

Ia membabitkan kesedaran mendalam rakyat sendiri. Walau apa pun cara dilaksanakan, kerajaan mahu menyedarkan rakyat kepentingan membaca tetapi jika rakyat tidak mengendahkannya, segala usaha kerajaan bagaikan mencurah air ke daun keladi.

Antara cara paling baik untuk memupuk budaya membaca ialah melalui usaha melatih dan membimbing kanak-kanak minat membaca. Golongan inilah yang bakal menerajui pemerintahan dan pentadbiran negara pada masa akan datang.

Melalui amalan suka membaca yang dimulakan sejak kanak-kanak lagi, tentulah banyak ilmu pengetahuan bakal diperoleh. Sehubungan itu, ibu bapa, guru, ulama, penulis, pustakawan dan media massa seharusnya memberi komitmen dan menggembleng tenaga dalam usaha ini.

Hanya komitmen yang bersungguh-sungguh dan padu dapat menyemarakkan budaya budaya membaca dalam masyarakat.

Ayat pertama surah al-Alaq diwahyukan Allah kepada Nabi Muhammad SAW dimulai dengan perintah ‘membaca’. Dengan melaksanakan perintah ini membolehkan umat manusia mencapai kedudukan kemanusiaannya pada tahap yang sempurna.

Setiap Muslim seharusnya menyahut dan melaksanakan perintah ini. Umat Islam tidak mungkin dapat mencapai kemajuan di dunia dan akhirat, jika mengabaikannya. Kita juga seharusnya melihat kembali zaman kegemilangan tamadun Islam yang diwarnai sikap cintakan ilmu pengetahuan .

Kategori:Uncategorized

~ hindari dosa , beramal sentiasa ~

Antara sifat semulajadi manusia adalah mudah leka, terpedaya dan tunduk kepada keinginan hawa nafsu hingga menyebabkan mudah terjebak melakukan perkara yang melanggar hukum Allah SWT.

Sebagai umat Islam kita dididik supaya sentiasa memelihara diri agar tetap menjadi orang yang beriman dengan mentaati perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.

Oleh itu kita hendaklah menanamkan dalam diri sifat sentiasa takut untuk berbuat dosa kerana akibat dari melanggar perintah Allah seperti tidak bersolat, tidak berpuasa, tidak menunaikan zakat, berjudi, berzina, melakukan rasuah, penipuan dan sebagainya. Kita bukan sahaja mendapat dosa bahkan dibenci oleh Allah.

Akibat daripada perbuatan berkenaan hati menjadi gelap, ditutup pintu rezeki, doa tidak dimakbulkan dan lebih buruk lagi mendapat azab seksa di akhirat.

Sesungguhnya azab dan kemurkaan Allah terhadap orang yang melakukan dosa banyak diceritakan dalam al-Quran dan hadis.

Akan tetapi masih ada juga di antara kita yang melakukan perbuatan mungkar dan maksiat dengan sengaja.

Bahkan lebih buruk lagi melakukannya secara terang-terangan.

Persoalannya, apakah yang menyebabkan sebilangan orang masih berani terus melakukan dosa sedangkan mereka tahu bahawa setiap perbuatan dosa pasti ada balasannya.

Ini mungkin kerana mereka belum menerima balasan akibat dari perbuatan dosa yang dilakukan. Maka mereka terus lalai dan tidak takut untuk terus berbuat perbuatan yang berdosa.

Ingatlah jika seseorang itu telah berbuat dosa dan tidak menerima balasannya di dunia ini, jangan fikir dia akan terlepas daripada menerima hukuman Allah.

Firmah Allah yang bermaksud: Katakanlah wahai Muhammad, sesiapa yang berada di dalam kesesatan biarlah Allah Ar-Rahman melanjutkan baginya satu tempoh yang tertentu hingga apabila mereka melihat apa yang dijanjikan kepada mereka sama ada azab sengsara dunia ataupun azab kiamat, maka pada saat itu mereka akan mengetahui siapakah orangnya yang lebih buruk kedudukannya dan lebih lemah penyokong-penyokongnya. (Maryam: 75)

Kita ambil contoh orang yang rasuah, makan riba ataupun penipuan dalam berniaga. walaupun mereka mendapat keuntungan wang ringgit, hartanya bertambah, hidup mewah, perbuatannya tidak diketahui dan terlepas daripada tindakan pihak berkuasa dan sebagainya, namun balasan akibat perbuatan dosanya tetap ada.

Mungkin dia selamat di dunia tetapi dia tidak akan terlepas dari menerima pembalasan azab seksa neraka di akhirat kelak. Kita juga jangan lupa bahawa hasil pendapatan daripada sumber yang haram juga boleh mengakibatkan dirinya, anak, isteri dan ahli keluarganya menderita kerana setiap suap dari sumber yang haram, maka api nerakalah balasannya.

Agama Islam adalah agama persaudaraan yang menyuruh kita saling bantu-membantu dan saling menasihati ke arah kebaikan supaya kita dapat menjalinkan kehidupan di dunia ini dengan aman, bahagia dan bersatu-padu.

Islam juga mengajar kita menegakkan amar makruf nahi mungkar iaitu menyuruh ke arah berbuat kebaikan dan mencegah mungkar.

Maka ke arah memelihara diri dari terus melakukan dosa, kita juga dituntut untuk memelihara keluarga, jiran, rakan dan masyarakat amnya dari melakukan sebarang perbuatan yang berdosa sama ada dengan memberi nasihat, teguran dan sebagainya.

Ketahuilah jika perbuatan mungkar dan maksiat berleluasa di sebuah tempat, tidak mustahil Allah akan menurunkan bala dan azab kepada mereka.

Kita ambillah iktibar daripada peristiwa yang berlaku kepada umat terdahulu yang hancur akibat perbuatan dosa dan maksiat.

Sebagai contoh, peristiwa yang berlaku kepada kaum Nabi Lut yang telah mendustakan kerasulan Nabi Lut a.s dan mengamalkan perbuatan terkutuk dengan mengadakan hubungan sejenis sesama lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat.

Kategori:Uncategorized

~ indahnya ibadah ~

Solat sunat (nawafil) ada yang mempunyai sebab dan ada yang tidak mempunyai sebab.

Solat sunat yang tidak ada sebab terbahagi kepada tiga darjat; pertama, solat sunat rawatib yang lebih muakkadah lebih dikuatkan) iaitu dikerjakan oleh Rasulullah SAW di dalam safar (semasa musafir) dan juga hadhar (tidak musafir) iaitu solat sunat witir dan solat sunat dua rakaat fajar (Subuh).
Kedua, solat sunat rawatib yang muakkadah (yang dikuatkan) yang dikerjakan oleh Rasulullah SAW di dalam hadhar (tidak musafir) iaitu solat sunat rawatib yang mengiringi solat fardu dan solat malam (sunat tahajjud). Solat sunat rawatib yang mengiringi solat fardu ialah dua rakaat sebelum Zuhur, dua rakaat sesudah solat Zuhur, dua rakaat sesudah solat Maghrib, dua rakaat sesudah Isyak dan dua rakaat sebelum Subuh.

Solat sunat tahajjud (solat malam) terbahagi kepada: dua rakaat iftitah (pembukaan), lapan atau 10 rakaat solat tahajjud dan kemudian disudahi dengan solat sunat witir. Semua ini dinamakan solat sunat rawaatib muakkadah (yang dikuatkan).

Ketiga, solat sunat rawatib ghairu muakkadah (tidak dikuatkan) yang mengiringi fardu yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW ialah dua rakaat sebelum Zuhur (selain dua rakaat sebelum Zuhur yang muakkadah), dua rakaat sesudah Zuhur (selain dua rakaat sesudah Zuhur yang muakkadah), empat rakaat sebelum Asar, dua rakaat sebelum Maghrib, dua rakaat sebelum Isyak dan dua rakaat solat sunat Duha.

Ulama meletakkan yang ketiga ini sebagai solat sunat ghairu muakkadah (yang tidak dikuatkan). Solat sunat yang dituntut kerana ada sebab pula ialah: Pertama, solat sunat taubat. Dalam sebuah hadis riwayat at-Tirmizi daripada Abu Bakar r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada lelaki yang berdosa dengan sesuatu dosa, kemudian berdiri lalu bersuci (berwuduk) kemudian mengerjakan dua rakaat solat, kemudian memohon ampun kepada Allah melainkan Allah mengampunkan dosanya.” Allah SWT sangat menyukai hamba-Nya yang bertaubat sebagaimana firman-Nya dalam surah Ali Imran ayat 135 yang bermaksud: “Dan orang yang apabila mengerjakan sesuatu kejahatan atau menganiaya diri, mereka segera mengingati Allah (meminta ampun terhadap dosanya).”

Kedua, solat sunat istikharah. Jabir bin Abdullah berkata: “Rasulullah SAW mengajarkan kami beristikharah pada segala rupa urusan kami seperti Baginda mengajarkan kami al-Quran.” Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang kamu ingin melakukan sesuatu, hendaklah dia mengerjakan solat dua rakaat selain daripada solat fardu.” Sesudah solat, hendaklah memuji Allah, berselawat dan kemudian membaca doa ini: Allahumma astakhiruka hingga akhir doa (doa solat istikharah)

Hendaklah membaca pada rakaat pertama surah al-Kafirun dan rakaat kedua surah al-Ikhlas. Solat istikharah tidak hanya dilakukan di waktu menghadapi urusan berat, bahkan sebaliknya kita lakukan ketika menghadapi sesuatu urusan walaupun kecil.

Begitu juga dalam mencari jodoh, Rasulullah SAW juga mengajar untuk melakukan solat istikharah dengan doa yang khusus. Ketiga, solat sunat hajat.

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi, daripada Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berhajat kepada Allah atau kepada seseorang anak Adam, hendaklah dia berwuduk dengan membaikkan wuduknya, kemudian hendaklah dia bersolat dua rakaat, kemudian dia memuji Allah dan berselawat kepada Rasulullah. Kemudian hendaklah dia membaca: La ilaha illallahu haliimul Karim hingga selesai.” Sebenarnya banyak lagi untuk dijelaskan mengenai solat sunat kerana ada sebab seperti solat sunat sesudah wuduk, solat sunat ketika hendak musafir dan kembali dari musafir dan sebagainya. Wallahua’lam.

Kategori:Uncategorized

~ ujian : tarbiyah Tuhan ~

MALAM dan siang silih berganti, sementara manusia terus diuji pelbagai ujian serta cabaran dalam hidup, harta benda atau keluarga. Ada yang selesai dan ada yang masih membelenggu sesetengah individu sebagai tanda ganjaran banyak sedang menanti.

Hanya Allah yang mampu merungkaikan segala permasalahan manusia. Firman Allah yang bermaksud: “Dan jika Allah menimpakan sesuatu bencana kepadamu, maka tiada yang dapat menghilangkannya selain dia (Allah) yang maha berkuasa di atas sesuatu perkara.” (Surah al-Ana’m, ayat 17)

Setelah meyakini Allah yang akan menghilangkan segala penderitaan, maka kita dianjurkan berdoa supaya diberi kekuatan dan kesabaran menghadapinya.

Firman Allah yang bermaksud: “Maka berkatalah Tuhanmu, berdoalah nescaya Aku akan perkenankan doa mereka.” (Surah Ghafir, ayat 60).

Dari Anas Bin Malik, Baginda SAW mengajar mereka yang ditimpa kesedihan membaca yang bermaksud: “Wahai Tuhan yang sentiasa hidup dan berkuasa, dengan rahmat-Mu aku memohon pertolongan.”

Ternyata, doa adalah senjata utama dapat membantu umat Islam mendapatkan apa yang dihajati dengan izin Allah selagi ia tidak menyalahi syariat.
Doa yang diucapkan penuh pengharapan nescaya akan dimakbulkan.
Allah berfirman yang bermaksud: “Kami telah perkenankan doanya (Nabi Yunus) dengan menghilangkan kesedihannya. Demikianlah kami selamatkan orang yang beriman.” (Surah al-Anbiya’, ayat 88)

Imam Masjidil Haram, Makkah, Syekh Usamah Abdullah Al-Khayyat, dalam khutbahnya berkata ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian untuk memastikan doa dimakbulkan dalam jangka masa singkat.

Katanya, satu daripadanya ialah memastikan kita sentiasa menunaikan hak Allah dengan melakukan apa yang diperintahkan serta segera melaksanakan tuntutan syariat Allah dan Rasul-Nya.

Firman Allah yang bermaksud: “Katakanlah wahai Muhammad, jika kamu kasih kepada Allah, hendaklah kamu ikuti sunnahmu nescaya kamu akan dikasihi Allah.” (Surah al-Imran, ayat 31)

Selain itu hendaklah melaksanakan tuntutan sekalian hambanya dengan melakukan kebaikan dan memberi bantuan yang diperlukan oleh mereka seperti firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya kami tidak akan menghampakan mereka yang melakukan kebaikan.” (Surah al-Kahfi, ayat 30)

Ketiga, menunaikan hak seorang kepada saudara seagama sebagai persaudaraan Islam dan seterusnya berusaha sedaya upaya untuk memudahkan segala urusan sesama manusia kerana semuanya akan memberi kemudahan kepada kita di hari kemudian.

Sabda Rasul SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang meringankan bebanan saudaranya di dunia dan memudahkan urusan mereka, nescaya Allah akan memudahkan urusan mereka di Hari Kiamat.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Ketahuilah bahawa amalan yang berkaitan dengan manusia sejagat adalah lebih diberi perhatian oleh Allah kerana urusan inilah yang akan menambah kekuatan sesuatu umat serta meneguhkan perpaduan mereka.

Kategori:Uncategorized