Utama > Uncategorized > ~ zakat : amanah Illahi ~

~ zakat : amanah Illahi ~

BERBICARA tentang zakat, maka ia mempunyai perkaitan yang amat erat dengan sifat amanah. Hakikatnya, zakat itu memang amanah yang dititipkan Allah SWT kepada seluruh manusia.

Menunaikan amanah zakat bermakna melestarikan amanah Allah; mengingkarinya bermakna menyanggah hukum Allah.

Jika solat dinaqalkan sebagai penghubung antara manusia dengan Khalik-Nya, maka zakat bersifat dwi-fungsi. Ia menghubungkan manusia dengan Tuhan dan juga sesama insan.

Menyinggung amanah zakat, maka terdapat sekurang-kurangnya tiga aspek amanah yang terlibat di dalamnya. Pertama, amanah kepada pembayar atau muzakki. Kedua, amanah kepada amilin atau para pengurus zakat.

Ketiga, amanah kepada mustahiq atau para penerima zakat yang dipanggil asnaf. Penulisan ini akan cuba menyoroti dan menilai ketiga-tiga aspek amanah ini.

Pertama, bagi amanah kepada para muzakki, wajib dikeluarkan zakat apabila segala syarat wajib zakat sudah ada pada diri dan harta yang kita miliki. Adalah haram jika dengan sengaja meninggalkan kewajipan zakat.

Dalam erti kata lain, orang yang dengan sengaja melarikan dirinya daripada kewajipan zakat, boleh dikategorikan sebagai individu tidak beramanah.

Jika kita membaca sejarah, maka golongan yang enggan menunaikan zakat dengan sengaja pada zaman Abu Bakar as-Siddiq telah diperangi oleh baginda.

Abu Bakar dengan tegas menganggap golongan yang ingkar bayar zakat itu sudah terkeluar daripada ajaran Islam.

Mereka disama tarafkan dengan kelompok nabi-nabi palsu dan hukuman yang layak ke atas mereka adalah diperangi, hingga mereka kembali tunduk kepada hukum Allah.

Dalam konteks hari ini, mereka yang sengaja meninggalkan kewajipan berzakat tidak diperangi. Malah, Lembaga Zakat Selangor (LZS) hanya mengambil pendekatan berdakwah secara diplomasi dan menyampaikan informasi yang lebih persuasif sifatnya.

Apa yang lebih utama, masyarakat Islam hendaklah menginsafi bahawa meminggirkan zakat bererti sudah melanggar amanah. Orang yang tidak amanah pasti dimurkai Allah.

Keduanya adalah amanah kepada para petugas zakat atau disebut golongan amilin. Para amilin sebenarnya adalah istimewa di sisi Islam. Sejak zaman nabi lagi, mereka yang dipilih oleh baginda Rasulullah menjadi amilin adalah orang yang sangat amanah dan bijaksana.

Mereka mesti amanah, kerana tugas mereka bermain dengan harta. Terhakisnya sifat amanah bererti terancamlah harta zakat kepada pelbagai bentuk penyelewengan.

Dalam hal ini, Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam kitabnya yang masyhur Fiqh az-Zakah ada menyimpulkan, antara lain para amil itu mestilah dilantik dalam kalangan orang yang kuat keimanannya, berilmu terutamanya dalam fikah zakat dan mampu menanggung amanah harta dengan tahap akauntabiliti yang tinggi.

Ini kerana, apabila wang zakat sudah diberikan kepada pihak amil, maka terlepaslah sudah beban di pundak para muzakki. Kala itu, yang bertanggungjawab seratus peratus ke atas harta zakat itu adalah para amil yang diamanahkan untuk mengelolakannya secara betul dan telus.

Kegagalan para amil atau pengurus zakat dalam menanggung amanah ini, bermakna berdosalah mereka di sisi Allah SWT.

Daripada Anas bin Malik r.a. beliau melaporkan, bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW: “Apabila aku menyerahkan zakat kepada utusanmu, apakah aku sudah bebas daripada tanggungan zakat itu kepada Allah dan Rasul-Nya?” Rasulullah SAW menjawab: “Benar, apabila engkau telah tunaikan zakat itu kepada utusanku maka engkau telah bebas daripada tanggungan zakat itu kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan engkau sudah mendapatkan pahalanya, sedang dosanya ditanggung orang yang menyelewengkannya”. (riwayat Ahmad di dalam Nailul Authar: 2,028).

Amanah yang terakhir adalah kepada kalangan mustahiq atau penerima zakat. Mereka ini walaupun berada di mata terakhir rantaian zakat; namun masih terikat dengan sifat amanah.

Mereka wajib menjaga amanah harta zakat yang telah diberikan kepada mereka, dengan tidak menyalahgunakannya ke lorong-lorong yang salah di sisi syariat. Jika tidak, mereka masih dikira berdosa di sisi Allah SWT.

 

Kategori:Uncategorized
  1. Tiada komen.
  1. No trackbacks yet.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: