Utama > Uncategorized > ~ wanita dan harta ~

~ wanita dan harta ~

 

ISLAM mengubah serta mengangkat darjat wanita daripada kedudukan yang rendah dan terhina masa dulu kepada suatu kedudukan mulia dan terbela. Dalam sejarah tamadun manusia, kehidupan wanita yang terdiri daripada anak, isteri dan ibu di kalangan masyarakat Greek, Rom dan Yahudi amat menyedihkan.

Mereka diwarisi tetapi tidak berhak mewarisi dan mereka dimiliki tetapi tidak berhak memiliki. Mereka bukan saja dikurung dan dikongkong, malah boleh dijual beli dan dianggap sebagai barangan dagangan. Prof Dr Mustafa al-Siba’i dalam kitabnya al-Mar’atu baina al-Fiqh wa al-Qanun menyebut bahawa: “Anak perempuan Yahudi tidak boleh mendapat sebarang harta pusaka yang diwarisi seperti wang ringgit, emas dan perak jika ada di kalangan keluarganya itu seorang anak lelaki, meskipun emas dan perak yang ditinggalkan itu berpikul banyaknya.”

Wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad melalui perantaraan malaikat Jibril membuktikan bahawa wanita mempunyai hak dan kedudukan yang mulia dalam Islam.

Allah berfirman dalam surah an-Nisa’ ayat 7: “Bagi lelaki ada hak bahagian daripada harta peninggalan ibu bapa dan kerabatnya, dan bagi wanita ada hak bahagian daripada harta peninggalan ibu bapa dan kerabatnya, baik sedikit atau banyak menurut bahagian yang ditetapkan.”

Al-Quran dengan jelas memberikan bahagian kepada wanita terutama anak perempuan, ibu dan isteri walaupun agak terbatas. Lebihan daripada harta pusaka, selepas ditolak bahagian isteri dan anak perempuan, harta diberi kepada saudara lelaki kerana adalah ‘asabah’ iaitu waris yang mewarisi lebihan harta pusaka si mati.
Ayat 11 Surah An-Nisa’ menetapkan bahagian anak lelaki dua kali ganda daripada bahagian anak perempuan. Mungkin terdapat beberapa pihak yang mempertikaikan hukum ditetapkan Islam dengan mengatakan al-Quran meletakkan wanita pada kelas kedua.

Hakikatnya terdapat hikmah besar di sebalik penetapan kaedah itu. Islam memberi tanggungjawab yang besar terhadap lelaki.

Mereka diberi bahagian dua kali ganda lebih daripada bahagian wanita kerana lelaki dipertanggungjawabkan untuk memberi nafkah kepada isteri (menantu si mati) dan anaknya (cucu si mati) sedangkan anak perempuan tidak dibebankan dengan tanggungjawab seperti itu.

Ini membuktikan Islam memberi hak bersesuaian dengan tanggungjawab yang diamanahkan kepada lelaki. Perkara ini juga sering diperkatakan masyarakat Islam yang mempertikaikan mengenai pembahagian harta pusaka.

Seperti yang dibincangkan dalam beberapa siri sebelum ini, apabila berlaku
kematian, keutamaan yang perlu diselesaikan adalah seperti berikut, perbelanjaan pengurusan jenazah, perlunasan hutang si mati, tuntutan harta sepencarian, pelaksanaan wasiat dan pembahagian harta mengikut hukum faraid.

Pengetahuan mengenai pengurusan harta dan pusaka amat penting bagi memastikan wanita tidak tertindas disebabkan kekurangan diri sendiri. Maklumat pengurusan harta dan pusaka ini boleh didapati melalui pembacaan dan mungkin juga dari pengalaman rakan atau saudara mara.

Wanita harus mengetahui bahawa mereka yang kematian suami mempunyai hak terhadap harta yang diperoleh bersama pasangannya sepanjang tempoh perkahwinan dan dikenali sebagai harta sepencarian. Tuntutan harta sepencarian lebih berdasarkan undang-undang adat Melayu.

Oleh kerana prinsip harta sepencarian tidak berlawanan dengan kehendak syariah Islam, peruntukan harta diterima sebagai sebahagian daripada undang-undang Islam di Malaysia.

Mengikut Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984, harta sepencarian ditakrifkan sebagai: “Harta yang diperoleh bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat yang ditentukan oleh hukum syarak.”

Lazimnya tuntutan terhadap harta sepencarian dibuat selepas berlaku perceraian antara suami dan isteri. Sekiranya perceraian berlaku, ramai wanita sekarang maklum mereka boleh menuntut harta sepencarian.

Apa yang kurang mendapat perhatian umum ialah tuntutan harta sepencarian bagi wanita kehilangan suami. Sepanjang hidup berumah tangga semestinya pengorbanan itu sesuatu yang lumrah.

Bukan hanya isteri bekerja yang berhak menuntut harta sepencarian, malah suri rumah tangga sepenuh masa juga berhak menuntut harta sepencarian selepas ditinggalkan suami buat selama-lamanya.

Ini berlandaskan pengorbanan isteri yang menguruskan rumah tangga dan anak sehingga suami begitu selesa mencari rezeki tanpa risau perkara berkaitan rumah tangga.

Pengorbanan isteri bukan saja dilihat dari segi wang dan harta benda, malah boleh diukur dengan usaha dan penat lelah menguruskan anak tersayang.

Penting untuk dijelaskan bahawa tuntutan terhadap harta sepencarian juga boleh dibuat oleh isteri yang kematian suami. Bahagian yang akan diterima isteri bergantung kepada sumbangan isteri terhadap suaminya mengikut pertimbangan mahkamah.

Selepas pengisytiharan harta sepencarian selesai, pembahagian harta akan dibuat secara faraid setelah diselesaikan hutang dan disempurnakan wasiat si mati (sekiranya ada).

Kategori:Uncategorized
  1. Tiada komen.
  1. No trackbacks yet.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: