Utama > Uncategorized > ~ istiqamah bukti kehambaan ~

~ istiqamah bukti kehambaan ~

 

FIRMAN Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap teguh (istiqamah) di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berduka cita dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.” (Surah Fussilat, ayat 30)

Istiqamah membawa maksud tetap teguh dan terus mempertahankan pendirian yang asal, tidak berganjak dan tidak mundur ke belakang biar selangkah pun. Biar apa terjadi dan bakal dihadapi, pendirian asal tetap dipertahankan walaupun nyawa dan jasadnya akan menjadi bahan pertaruhan.

 

Beristiqamah bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan biarpun lidah tidak bertulang ini begitu petah melafazkannya kerana istiqamah menuntut pengorbanan tulus daripada seorang Muslim dan ada kala jasad, harta dan nyawa menjadi pertaruhan demi menjayakan cita-cita Islam. Situasi seumpama inilah ditunjukkan generasi Rasulullah SAW iaitu sahabat yang tetap teguh dalam perjuangan menegakkan Islam ketika itu.

Contohnya, Bilal bin Rabah tetap beristiqamah dengan Islam yang baru dianutinya biarpun jasadnya dikelar, disiat dengan besi panas membara dan tidak cukup itu, beliau dijemur sambil batu besar diletakkan di atas tubuhnya di tengah padang pasir bawah terik panas matahari.

Namun semuanya itu tidak melunturkan pendirian dan menggoyahkan keimanannya yang kudus kepada Allah SWT, malah beliau melafazkan berulang kali perkataan Ahad bermaksud Allah Maha Esa sebagai manifestasi apa yang bertapak kukuh di dasar hatinya.

Yang penting baginya, beliau yakin dengan janji Allah SWT bahawa orang beriman kepada-Nya akan berbahagia di akhirat kelak.
Begitu juga yang berlaku kepada keluarga Yasir, beliau dan isterinya Sumaiyah syahid kerana mempertahankan Islam. Tragedi pilu dan menyayat hati ini menempa tinta emas dalam sejarah Islam.

Selain beristiqamah mempertahankan kebenaran dan kepercayaan di jiwa, Muslim juga dituntut beristiqamah melaksanakan segala perintah Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya. Beristiqamah mengerjakan amalan soleh amat afdal dan disukai Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Amalan yang paling disukai di sisi Allah ialah amalan yang dilakukan secara berterusan (istiqamah) biarpun sedikit.” (Hadis riwayat Bukhari)

Setiap Muslim dianjur sentiasa menggilap hatinya supaya sinaran iman bergemerlapan dengan memperkukuhkan keyakinan kepada Allah SWT. Dengan itu, istiqamah akan terpantul secara langsung iaitu cerminan yang lahir daripada lubuk hati dengan keimanan tulus kepada Allah SWT.

Orang yang beristiqamah dalam hidupnya dijanjikan anugerah Allah SWT iaitu turunnya malaikat menyampaikan khabar gembira nikmat lebih besar dan istimewa menanti di akhirat dan kemuncak kejayaan insan yang bertakwa iaitu syurga penuh kenikmatan.

Justeru, setiap Muslim perlu menginsafi kehidupan penuh pancaroba ini menuntut sedikit sebanyak persediaan untuk menghadapinya. Persediaan itu tidak lain tidak bukan ialah iman dan istiqamah.

Kategori:Uncategorized
  1. Tiada komen.
  1. No trackbacks yet.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: