Arkib

Archive for Mei 2011

~ seindah mawar berduri ~

ALHAMDULILLAH wassolltu-wassalam ‘ala rasulillah waba’d.
Allah SWT berfirman dalam surah an-Nur ayat 31 yang bermaksud: “Dan katakanlah kepada perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya. Dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka…”

Ayat ini jelas menerangkan kewajipan menutup aurat bermula usia baligh. Dalam sebuah hadis riwayat Abu Daud daripada Safiyyah binti Shaybah katanya: “Ketika kami bersama ‘Aisha RA, kami menyebut mengenai kelebihan wanita Quraisy, lalu ‘Aisha menyampuk: “Memang benar wanita Quraisy ada kelebihan, tetapi demi Allah sesungguhnya aku tidak pernah melihat wanita yang lebih baik daripada wanita Ansar dari segi kuatnya iman dan pegangan mereka terhadap kitab Allah. Apabila Allah turunkan ayat (yang bermaksud) …dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka…, serta-merta suami-suami mereka balik dan membacakan kepada mereka apa yang Allah turunkan kepada mereka, anak perempuan mereka, saudara perempuan mereka dan semua kaum kerabat mereka, sehingga tiada seorang perempuan pun daripada mereka melainkan bergegas mencari apa saja kain yang ada di sekeliling mereka lalu bertudung dengannya sebagai membenarkan dan membuktikan iman kepada apa yang Allah turunkan, maka jadilah mereka wanita yang bertudung bersama Rasulullah SAW, seperti sekumpulan gagak hitam berada atas kepala mereka.”
Lihatlah bagaimana wanita Ansar, apabila turunnya perintah menutup aurat, mereka terus melaksanakannya semata-mata mahukan keredaan Allah SWT. Namun banyak kita menyaksikan wanita masa kini yang berpakaian menampakkan aurat, bahkan ada yang seperti bertelanjang. Akibatnya tentu saja buruk.

  Wanita  seharusnya dinasihati dengan bijaksana, halus dan menyenangkan. Bukan dengan cara emosional. Yang paling penting diselamatkan dulu batin, jiwa dan nafsunya. Ditanam rasa iman ke dalam jiwa. Selepas kuat imannya, dia sendiri akan mencari perlindungan daripada godaan syaitan.

Jadi, ciptakan dulu ketenangan dalam batinnya, sesudah itu akan lahir iman dari dalam jiwanya sehingga mewujudkan penampilan lahiriah kesan dari iman itu. Keimanan batin hendaklah diberi keutamaan agar ia dapat tunduk untuk melaksanakan Islam. Ketika itu bukan saja ia akan menutup aurat, bahkan akhlak, budi pekerti dan tingkah lakunya akan menjadi baik.

Sebenarnya tuntutan syariat bagi kaum wanita seperti menutup aurat akan lebih memelihara keharmonian rumah tangga, menjaga ketenangan dan keharmonian masyarakat. Pemuda dan pemudi hakikatnya sama-sama mempunyai nafsu dan daya tarikan. Kerana itu, Islam memerintahkan wanita menutup tubuh yang boleh menimbulkan rangsangan bagi lelaki seterusnya dapat mencegah pandangan bebas lelaki.

Hasrat dan keinginan wanita untuk memiliki pasangan tidak dapat dielakkan apabila melihat lelaki yang bertubuh sasa dan gagah. Tetapi pendidikan agamanya yang memaksa menahan nafsu sehingga menekan dan menahan daya tarikan berkenaan. Kalau tidak mempunyai penahan, maka mudah saja hasrat dan keinginan lelaki yang akan tertarik bergabung bersama nafsu wanita, kemudian timbullah hubungan bebas.

Demikianlah, wallahua’lam .

Advertisements
Kategori:Uncategorized

~ ibrah Al-Fil ~

SURAH al-Fil mengandungi lima ayat. Ia termasuk dalam kategori surah Makiyyah dan diturunkan selepas surah al-Kafirun.

Hubungan surah ini dengan surah al-Humazah ialah dalam surah al-Humazah, Allah SWT menjelaskan bahawa harta tidak dapat menjauhkan daripada seksaan Allah SWT. Dalam surah ini Allah SWT menyatakan bukti tentang perkara di atas menerusi kisah tentera bergajah.

Seorang panglima tentera Habsyah yang menguasai Yaman bercita-cita menyerbu dan meruntuhkan Kaabah yang dimuliakan supaya orang Arab tidak melakukan ibadah haji di sana.

Dia menuju Mekah diiringi tentera yang ramai dan gajah yang banyak bagi menambahkan rasa takut pada orang ramai. Dia terus mara sambil mengalahkan sesiapa saja yang dijumpainya, sampai ke al-Mughammas iaitu suatu tempat yang berdekatan kota Mekah.

Dia kemudian mengirim utusan kepada penduduk Mekah memberitahu bahawa tujuan kedatangannya bukan untuk berperang dengan mereka, tetapi meruntuhkan Baitullah.

Mereka ketakutan, lalu mencari perlindungan di puncak-puncak gunung sambil melihat apa yang akan dia lakukan. Pada hari kedua penyakit cacar dan campak mula menular di kalangan tentera Habsyah.

Ikrimah mengatakan, itu adalah permulaan penyakit cacar yang menular di negara Arab. Wabak itu menimpa mereka dengan kesan yang tidak ada tandingannya. Di mana daging mereka berguguran sehingga mereka dan panglima lari ketakutan.

Panglima mereka juga terkena wabak tersebut dan dagingnya terus tanggal sedikit demi sedikit, seketul demi seketul, akhirnya dada mereka terbelah dan mati di San’a.

Bagaimanapun pada ulama berkhilaf pendapat mengenai bilada itu berlaku. Ada tiga pandangan mengenai, iaitu:

i. Pada tahun kelahiran Rasulullah SAW. Ini pendapat yang asah yang dikemukakan oleh kebanyakan ulama seperti pendapat Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah.

ii. Ia berlaku selepas 40 tahun peristiwa serangan gajah. Ini pendapat Muqatil.

iii. Kelahiran berlaku 23 tahun selepas serangan tersebut. Ini pendapat al-Kalbi, Ubaid bin Umair dan Abu Soleh.

Firman Allah SWT: Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhanmu telah bertindak terhadap tentera bergajah? Bukankah dia telah menjadikan tipu daya mereka (untuk menghancurkan Kaabah) itu sia-sia?

Perkataan tidakkah kamu memperhatikan ditafsirkan dengan dua pendapat:

i. Tidakkah kamu diberitahu dan dikhabarkan seperti pendapat al-Farra’.

ii. Tidakkah kamu mempelajari sebagaimana kata al-Zajjaj.

Sayid Qutub berkata: “Tidakkah rancangan jahat mereka gagal dan tidak mencapai sasarannya sama seperti orang yang sesat jalan dan tidak sampai kepada tempat yang dituju.”

Mungkin dengan pertanyaan ini Allah mahu mengingatkan kaum Quraisy terhadap nikmat-Nya kepada mereka iaitu nikmat menjaga dan memelihara rumah Kaabah semasa mereka tidak berdaya menghadapi serangan tentera bergajah yang kuat.

Tentera Allah dalam bentuk burung

Firman Allah SWT: Dan dia mengirimkan kepada mereka burung yang berbondong-bondong.

Perkataan ababil ditafsirkan dengan lima pendapat:

i. Dalam bentuk berselerakan datangnya burung tersebut dari sana ke sini dengan segenap penjuru. Inilah pendapat Ibn Mas’ud dan al-Akhfash.

ii. Burung tersebut datang selepas satu kumpulan dan datang kumpulan yang lain. Inilah pendapat Ibn Abbas, Mujahid dan Muqatil.

iii. Burung tersebut datang dengan jumlah yang banyak. Inilah pendapat al-Hasan dan Thawus.

iv. Burung tersebut datang dalam bentuk berkumpulan diikuti dengan kumpulan yang lain. Inilah pendapat Ata’ dan Abu Soleh.

v. Ia mempunyai pelbagai jenis warna sebagaimana pendapat Zaid bin Aslam.

Para ulama khilaf berkenaan sifat burung tersebut iaitu:

i. Burung tersebut mempunyai belalai dan kuku seperti kuku anjing. Inilah pendapat Ibn Abbas.

ii. Ikrimah berkata: Kepala mereka seperti binatang buas.

iii. Ibn Ishak berpendapat: Mereka seumpama binatang helang yang menyambar.

Begitu juga mereka khilaf berkenaan warna burung tersebut:

i. Warnanya hijau sebagaimana pendapat Ikrimah dan Said bin Jubair.

ii. Warnanya hitam sebagaimana pendapat Ubaid bin Umair.

iii. Warnanya putih sebagaimana pendapat Qatadah.

Firman Allah SWT: Yang melempari mereka dengan batu (berasal) dari tanah yang terbakar.

Berkenaan dengan burung yang membawa batu seperti kata Qatadah: Setiap seekor burung membawa tiga biji batu, dua biji batu di kakinya, manakala sebiji lagi di muncungnya.

Al-Maraghi berkata: “Allah SWT mengirimkan sekawan burung yang membawa batu kering yang dijatuhkan kepada anggota-anggota tentera itu menyebabkan mereka menderita penyakit cacar atau campak dan membawa maut.”

Kemungkinan juga binatang yang terbang itu terdiri daripada jenis nyamuk atau lalat membawa kuman penyakit. Atau batu itu daripada tanah liat yang kering dan beracun yang diterbangkan angin lalu melekat pada kaki-kaki burung itu.

Jika tanah liat itu menyentuh tubuh maka racun itu akan meresap dan melukakan apa yang mengenainya dan berakhir dengan kerosakan tubuh serta keguguran dagingnya.

Jelas bahawa lalat membawa kuman penyakit. Seekor lalat yang membawa kuman boleh menyebabkan manusia dijangkiti penyakit dan menular kepada semua orang.

Oleh yang demikian, jika Allah SWT menghendaki membinasakan sejumlah besar tentera dengan seekor nyamuk sahaja, ia bukanlah suatu perkara yang mustahil bagi-Nya.

Ini mengandungi petunjuk yang lebih kuat terhadap kekuasaan Allah SWT dan kebesaran kekuasaan-Nya berbanding kebinasaan mereka yang disebabkan oleh burung-burung besar dan kejadian aneh yang boleh memusnahkan manusia.

Selain itu, ia juga menunjukkan kelemahan manusia dan kehinaannya di hadapan Allah SWT Yang Maha Kuasa. Sebabnya, mereka adalah makhluk yang dapat dibinasakan oleh seekor lalat, digigit nyamuk di tempat tidurnya dan ditimpa sakit oleh hembusan angin.

Imam Muhammad Abduh berkata: “Bagi orang yang kejam ini yang hendak merobohkan Baitu al-Haram, Allah SWT mengirimkan sesuatu yang dapat membawa kuman penyakit cacar atau campak yang kemudiannya akan membinasakannya dan kaumnya sebelum sempat masuk kota Mekah.”

Perkara ini merupakan nikmat Allah SWT yang dilimpahkan kepada penduduk Tanah Haram-Nya meskipun mereka penyembah berhala kerana melindunginya dengan kekuatan agama-Nya iaitu Nabi Muhammad SAW meskipun Allah SWT menimpakan bencana kepada musuh-musuhnya iaitu tentera bergajah yang ingin menghancurkan Baitu al-Haram yang tidak berdosa itu.

Firman Allah SWT: Lalu dia menjadikan mereka seperti daun-daun yang dimakan (ulat).

Selepas terkena batu, tubuh badan mereka jatuh berguguran sedikit demi sedikit sebesar hujung jari dan akhirnya terbelah dadanya hingga binasa.

Abdul Muttalib berkata: “Burung tersebut amat pelik.” Lalu beliau pernah menghantar anaknya Abdullah untuk melihat apa yang terjadi kepada puak Abrahah dan pulang seraya melaporkan semuanya binasa.

Kemudian Abdul Muttalib keluar bersama dengan rakannya untuk mengambil harta yang ditinggalkan. Ada pendapat mengatakan bahawa tidak seorang pun yang selamat kecuali Abu Yaksum, di mana burung sentiasa mengekorinya dari atas kepalanya, sedangkan dia tidak perasan sehingga sempat masuk bertemu al-Najashi dan mengkhabarkan dengan peristiwa yang berlaku.

Setelah selesai kata-katanya, burung tersebut melepaskan batu dan akhirnya dia mati. Ini menunjukkan bahawa Allah SWT memperlihatkan kepada al-Najashi tentang bagaimana Allah SWT membinasakan kaum tersebut.

Hanya Allah SWT sahaja yang dapat memberi hidayah dari kesesatan. Semoga Allah selamatkan kita dari sebarang bala dan bencana. Ameen… 🙂

Kategori:Uncategorized

~ kezaliman : merosakkan amalan ~

KETAATAN kepada Allah dapat digilap dengan adanya pelaksanaan lengkap untuk memastikan ubudiyyah serta pegangan mantap kepada Allah sentiasa terlaksana dalam kehidupan manusia seperti memelihara rukun Islam yang lima.

Imam Madinah Munawwarah, Syekh Abd Rahman Al-Huzaify, berkata sesungguhnya kemaksiatan serta dosa memberi kesan buruk kepada pelakunya bersesuaian dengan dosa serta kemudaratan dilakukan dan antara dosa besar diharamkan Islam ialah kezaliman terhadap manusia lain.

Katanya, mereka yang zalim menerima nasib malang kerana kezaliman merosakkan amalan dilakukan serta menghilangkan nikmat Allah di dunia dan akhirat.

“Oleh kerana sifat zalim mengundang kemudaratan besar, maka Allah meletakkan pengharamannya pada zat Allah sendiri,” katanya.

Hadis Qudsi menyebut: “Wahai hambaku, sesungguhnya Aku mengharamkan sifat zalim pada diri-Ku, justeru Aku mengharamkan ia dilakukan sesama kamu. Maka, jangan sekali-kali kamu melakukan kezaliman.”

Sifat ini milik mereka yang lemah dan tidak bertamadun. Allah teramat sunyi daripada sifat demikian. Diharamkan sesama manusia demi menjaga agama, kehidupan serta memperbaiki hubungan sesama manusia seterusnya memelihara hubungan dengan Allah.

Syekh Abd Rahman berkata, sifat zalim boleh memberi kesan kepada kemakmuran hidup manusia selain mengundang kemurkaan Allah dan boleh menyebabkan kemusnahan dalam sekelip mata.
Katanya, zalim bermaksud meletakkan sesuatu tidak kena pada tempatnya jelas menunjukkan pertentangan dengan apa yang disarankan agama.

Beberapa kezaliman yang dilakukan manusia ialah:

  • Kezaliman yang tidak diampunkan Allah kecuali dengan bertaubat iaitu syirik. Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik sedangkan Dia akan mengampunkan dosa lain kepada siapa yang di kehendaki. Sesiapa yang syirik adalah kesesatan yang amat jauh.” (Surah An-Nisa’, ayat 116)
  • Kezaliman dilakukan antara hamba dan Tuhannya iaitu perkara yang lain daripada syirik di mana Allah akan sentiasa memberi keampunan kepada mereka yang dikehendaki atau dihilangkan dosa dengan kecelakaan terhadap seseorang seperti kemalangan atau musibah.

    Penyucian dosa ini juga dapat dirasai melalui azab kubur, syafaat Nabi SAW atau diletakkan di dalam neraka buat seketika. 

  • Kezaliman yang dilakukan sesama manusia tidak dapat diampunkan melainkan dimaafkan oleh mereka yang dizalimi.
    Sabda Rasul SAW yang bermaksud: “Hendaklah dikembalikan hak mereka yang dizalimi sebelum datang hari kiamat di mana segala kebaikan orang yang zalim akan di berikan kepada mereka yang dizalimi seterusnya mengheret mereka ke neraka.” 
  • Kezaliman ini juga termasuk pembunuhan sesama manusia, mengambil harta benda orang lain dan memutuskan silaturahim, melakukan penderhakaan kepada ibu bapa, mencetuskan pergaduhan serta mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga.

    Demikianlah besarnya akibat zalim terhadap seseorang sehingga Allah tidak pernah leka terhadap kezaliman yang dilakukan. Firman Allah bermaksud: “Janganlah kamu menyangka Allah lupa terhadap kezaliman yang dilakukan.” (Surah Ibrahim, ayat 42)

Kategori:Uncategorized

~ ruhul fatayat ~

PASUKAN tentera Islam yang mendengar teriakan Ibnu Qam’ah bahawa Rasulullah telah terbunuh benar-benar menyangka baginda syahid sehingga menyebabkan keadaan jadi bertambah huru-hara.

Ini menyebabkan tentera Islam ketika itu dikatakan berpecah kepada tiga kumpulan yang menyebabkan kedudukan mereka menjadi semakin goyah.

Satu kumpulan mahu melarikan diri ke Madinah bagi menyelamatkan diri tanpa menghiraukan orang lain dan hanya mahu menunggu agar perang selesai.

Golongan ini terdiri daripada Walid bin Uqbah, Karijah bin Zaid dan Rifaah bin Ma’la.

Golongan kedua masih mahu bertempur dengan hebat dan bersemangat tinggi tanpa menghiraukan apa yang berlaku sama ada benar-benar baginda Rasulullah syahid mahupun tidak.

Ini kerana yang penting kemenangan kepada pasukan Islam.

Salah seorang daripada mereka, Tsabit bin Dahdah mengingatkan anggota tentera Islam dengan berkata: “Wahai kawan-kawanku kalangan Ansar! Sekiranya benar Muhammad sudah syahid, biarlah baginda syahid kerana Allah sahaja yang tidak akan mati buat selama-lamanya.

“Oleh itu berpeganglah kamu kepada agama kamu dengan kukuh dan kuat apatah lagi di medan perang ini.

“Allah sendirilah akan menolong dan memberikan kemenangan kepada kamu!”

Peringatan oleh Tsabiy ini sangat besar pengaruhnya kepada para tentera Muslimin yang tidak dinafikan ramai yang berada dalam keadaan bingung ketika itu.

Namun setelah mendengarkan kata-kata daripada Tsabit itu walaupun Tsabit bukannya kalangan pemimpin atau sahabat besar, ia berjaya membentuk kembali semangat juang yang tinggi untuk tentera Islam meneruskan peperangan dan cuba mengalahkan tentera Musyrikin.

Sementara golongan ketiga terdiri daripada 46 para sahabat dan panglima-panglima perang yang tetap teguh berada di sekeliling baginda Rasulullah.

Hanya mereka sahaja yang mengetahui keadaan dan kedudukan Rasulullah yang sebenarnya masih hidup. Golongan ini terus mempertahan dan melindungi baginda kerana itu lebih penting daripada segala-galanya.

Mereka membalas setiap serangan yang dilakukan terhadap baginda.

Kumpulan itu terdiri daripada Abu Bakar As Siddiq, Umar bin Al Khattab, Ali bin Abi Talib, Abdurrahman bin Auf, Zubair bin Al Awwam, Saad bin Abi Waqqas dan Abu Ubaidah bin Jarrah. Mereka terdiri daripada golongan Muhajirin.

Sementara golongan Ansar yang mengelilingi untuk mempertahankan Rasulullah terdiri daripada Abu Dujanah, Al Hubab bin Mundzir, Ashim bin Tsabit, Al Harits bin Shammah, Sahal bin Hanif, Saad bin Muaz dan Usaid bin Hudhair.

Namun dikatakan terdapat golongan keempat di saat-saat kedudukan tentera Islam mulai goyah.

Golongan itu ialah kaum wanita yang pada awalnya tidak ikut serta dalam pasukan tentera Islam. Tetapi apabila mereka mendapat tahu berita mengenai kematian Rasulullah dan begitu ramai tentera Islam yang terkorban, mereka bergegas ke medan Uhud.

Kaum wanita itu diketuai oleh Ummul Mukminin sendiri, Saidatina Siti Aishah dan rakan-rakannya yang lain iaitu terdiri daripada Nusaibah bin Kaab, Rumaisa bin Milhan dan ramai lagi.

Mereka membawa bersama uncang-uncang berisi air dan ubat-ubatan bagi merawat tentera-tentera Islam yang tercedera.

Kalangan wanita ini sebenarnya turut terdedah kepada bahaya dan ancaman serangan dari pihak musuh, sehinggakan dikatakan Nusaibah binti Kaab sendiri mengalami 12 luka di badannya.

Seorang lagi, Ummu Umarah iaitu daripada golongan Ansar, ikut terlibat dalam pertempuran. Pada awalnya dia hanya menyertai suaminya yang turut berperang bagi membantu menyediakan air untuk tentera Muslimin.

Namun apabila diketahui pasukan Islam dalam keadaan yang sangat terdesak, dia pun ikut bertempur melawan musuh dengan gagah berani.

Manakala Ummu Aiman daripada kalangan Muhajirin ikut bertempur melawan musuh sehingga dapat membunuh seorang askar Musyrikin bernama Hubab bin Arafah.

Walaupun mereka terdiri daripada golongan wanita yang sentiasa dilabel golongan yang lemah namun mereka tidak berganjak malah turut sama berjuang dengan barisan tentera lelaki yang lain bagi memastikan kemenangan tetap berpihak kepada Islam.

Kategori:Uncategorized

~ cabaran seorang pendidik ~

SETIAP anak dilahirkan suci ibarat kain yang bersih. Ibu bapa dan persekitaranlah yang mencorakkannya. Jika baik persekitarannya, maka baiklah perwatakan dan pembawaannya.

Jika sebaliknya maka banyak kesulitan akan timbul terutamanya apabila meniti zaman remaja dan dewasa.

Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa menuntut ilmu adalah kewajipan ke atas setiap Muslim. Justeru, ilmu membantu manusia menjalani kehidupan dengan sebaik-baiknya, menambahkan pengetahuan seseorang, meluaskan pandangannya terhadap kehidupan serta menyuburkan adab dan peribadi seseorang manusia.

Dengan ilmu, manusia menjadi tahu dan apabila disertai kemahuan, ia akan menjadi tindakan. Maka pendidikan yang baik dan sepadu memandu manusia untuk berfikir, merancang dan bertindak secara benar serta baik.

Rasulullah ada bersabda yang bermaksud: “Ya Allah, didiklah aku dengan didikan yang terbaik.”

Ia memberi dua asas yang amat penting dalam proses didik iaitu addaba dan taadibi. Justeru, maksud pendidikan dalam Islam antara lain adalah proses memperadabkan insan. Proses ini merujuk kepada faktor dalaman diri manusia iaitu hati.

Adab menyentuh tentang peri pentingnya disiplin hati bagi seorang manusia. Disiplin hati dapat menjadikan manusia lebih teguh dan bakal memancarkan amal yang baik. Adab yang baik juga dapat memberi kesan dan teladan yang baik terhadap orang lain.

Minda atau akal manusia memerlukan disiplin dan fokus supaya apa yang dibaca, difikir serta idea yang diperolehi akan memberi manfaat yang berguna. Pemikiran yang terjana daripada disiplin berfikir yang baik bakal menghasilkan akal budi yang tinggi.

Oleh itu, makna pendidikan bukan sekadar suatu proses bagaimana pemindahan maklumat, data dan fakta berlaku tetapi ia menyentuh bagaimana proses perubahan berjalan.

Ilmu yang benar dan disampaikan dengan kaedah yang baik bakal mencetuskan perubahan terhadap minda, sikap dan amal. Dalam konteks masa kini, remaja perlu memperlengkapkan diri dengan ilmu berbanding terutama sekali dalam ledakan maklumat dan jaringan telekomunikasi.

Ilmu yang diperoleh daripada sumber-sumber Barat misalnya bukan semuanya tidak baik. Malah banyak kemajuan terkini datangnya dari Barat. Tidak salah mengambil aspek-aspek yang boleh memberi manfaat kepada kemajuan kita.

Namun, negara-negara Barat mempunyai orientasinya sendiri bertunjangkan falsafah yang jauh lebih terbuka dan tidak terikat dengan nilai-nilai agama. Ia menuntut keupayaan menyaring maklumat yang tinggi.

Keteguhan sistem nilai amat membantu dalam proses penggunaan sumber-sumber ini. Tidak semua maklumat yang ditampilkan oleh sistem yang berkaitan sesuai dengan matlamat membina faktor-faktor manusiawi dan manusia beradab.

Bagaimanapun, ini bukan bermaksud apa-apa yang datang dari Barat harus disanggah. Cuma sebagai seorang remaja dan Muslim yang berilmu, hendaklah berhati-hati dan peka terhadap proses pembaratan.

Cabaran pendidik

Oleh itu, cabaran utama pendidik, pembina perisian dan maklumat ialah menghasilkan modul-modul pendidikan berasaskan acuan kita sendiri.

Perkara ini amat penting kerana kita tidak harus selamanya menjadi pengguna setia terhadap sumber maklumat dan ilmu dari orang lain tetapi sewajarnya bersikap menyumbang terhadap perisian yang berasaskan acuan kita sendiri.

Pembangunan perisian di luar lingkungan budaya dan resam kehidupan kita selalunya tidak berasaskan nilai.

Pengguna teknologi rata-ratanya terdiri daripada remaja yang meningkat dewasa dan mencari-cari erti kehidupan. Sekiranya medium ilmu tidak terisi dengan maklumat yang berasaskan nilai dan adab, maka kecelaruan dan krisis nilai akan wujud kerana ia tidak selari dengan tuntutan fitrah manusia yang inginkan sesuatu yang baik dan luhur.

Dalam konteks pendidikan, kewujudan tenaga untuk membina perisian berasaskan acuan kita adalah dituntut. Lebih dituntut lagi ialah kekalnya peranan pendidik yang bukan saja bertindak sebagai fasilitator tetapi juga mampu memanfaatkan kepentingan teknologi dan juga perisian untuk membangunkan generasi terdidik yang memiliki kekuatan maklumat, ilmu, keterampilan dan sistem nilai yang tinggi.

Memahami falsafah pendidikan dalam Islam adalah amat penting supaya dalam mempelajari ilmu-ilmu Barat, para remaja tidak lupa dengan sejarah dan tamadun sendiri.

Menghargai tamadun sendiri menjadikan kita yakin bahawa tradisi ilmu Islam sentiasa menghubungkan dirinya dengan nilai dan agama. Faktor-faktor ini amat penting bagi mengekalkan faktor-faktor manusiawi agar terpelihara dalam apa zaman pun.

Lantas dalam usaha menjadikan pendidikan sebagai proses mengadabkan insan, pendidikan itu sendiri haruslah bersifat integratif dan holistik.

Model pembelajaran yang terkini yang diadunkan dengan model Islami serta berasakan nilai wajar diperkembangkan dalam sistem pembelajaran kini.

Apatah lagi dalam zaman ledakan maklumat serta perkembangan persekitaran yang kurang sihat yang mendesak manusia supaya sentiasa berhati-hati dengan setiap maklumat serta pengaruh persekitaran.

Globalisasi yang sedang menyemarak pengaruhnya terhadap dunia hari ini bakal memberi kesan terhadap pola-pola kehidupan remaja. Faedah berbanding dari faktor globalisasi perlu diambil.

Pada masa yang sama, para remaja harus mempunyai daya saring yang tinggi membezakan yang bermanfaat atau sebaliknya. Tanpa asas ini globalisasi boleh menjadikan proses pembaratan terhadap umat Islam berlaku secara sistematik.

Oleh itu integrasi ilmu-ilmu kemanusiaan, sains dan teknologi amat perlu dilakukan secara bijaksana supaya corak kurikulum yang diajar sifatnya pelbagai disiplin.

Ia jika diolah dengan bijaksana bakal menghasilkan ahli falsafah atau sejarah yang faham mengenai asas sains dan teknologi dan dalam masa yang sama turut menghasilkan ahli sains yang memahami maksud perubahan dalam masyarakat dan faktor-faktor kemanusiaan.

Mengadabkan insan memerlukan lebih daripada sekadar pemindahan maklumat. Ia memerlukan satu bentuk disiplin terhadap akal, minda dan hati.

Harus ada tekad dan azam dalam kalangan remaja Islam untuk menyesuaikan keunggulan ilmu dan teknologi yang diterima ke arah binaan acuan sendiri.

Acuan sendiri mengambil kira faktor nilai dan falsafah supaya arah tuju pembinaan dan penyuburan ilmu dalam masyarakat Islam tidak mengenepikan faktor-faktor akidah, akhlak, ibadah dan syariah. 🙂

Kategori:Uncategorized

~ Siti Rufaidah bint Saad ~

KHIDMAT jururawat pertama Islam bermula pada zaman Nabi Muhammad SAW yang dikenali dengan nama Siti Rufaidah binti Saad. Beliau selalu memberikan rawatan terbaiknya terutama kepada pesakit yang cedera di medan perang.

Eropah dan Amerika Syarikat mengenali Florence Nightingale sebagai pelopor jururawat moden. Negara di Asia Barat memberikan kedudukan awal kepada Rufaidah, seorang jururawat Islam yang terkenal.

Perjuangan dan kemasyhuran Rufaidah secara berterusan daripada generasi ke generasi khususnya di Arab Saudi dan diteruskan ke generasi moden di Asia Barat sehingga ini.

Rufaidah (570-632 SM) tokoh jururawat Islam tersohor itu muncul pada masa peperangan dalam Islam. Prof Dr Omar Hasan Kasule, dalam kertas kerjanya pada Persidangan Antarabangsa Kejururawatan ketiga di Brunei Darussalam pada 1998 menyatakan, Rufaidah adalah jururawat profesional pertama dalam sejarah Islam.

Beliau hidup pada zaman Rasulullah SAW pada abad pertama hijrah dan diiktiraf sebagai jururawat teladan. Rufaidah adalah seorang pemimpin, penggerak, mampu memberi motivasi kepada orang lain. Beliau turut digambarkan memiliki pengalaman klinikal yang dapat disalurkan kepada jururawat lain untuk dilatih dan bekerja dengannya.

Rufaidah tidak hanya melaksanakan tugas sebagai jururawat dalam aspek klinikal semata-mata, namun melaksanakan tugas komuniti dan mencari punca pelbagai masalah sosial yang boleh menyebabkan timbulnya bermacam penyakit.

Rufaidah bertindak sebagai jururawat kesihatan komuniti, tidak memandang miskin atau kaya. Beliau adalah pekerja sosial yang cekap menjadi inspirasi bagi kerjaya jururawat dunia Islam.
Rufaidah tinggal di Madinah dan lahir di Yathrib termasuk dalam kaum Ansar, golongan pertama menganut Islam di Madinah. Ayahnya seorang doktor dan Rufaidah mempelajari ilmu perawatan ketika bekerja membantu ayahnya.

Rufaidah mengabdikan diri merawat kaum Muslim yang sakit di luar kawasan Masjidil Nabawi ketika perang Badar, Uhud, Khandak dan perang Khaibar dengan beliau menjadi sukarelawan dan merawat korban yang terluka dan cedera parah akibat peperangan. Beliau juga mendirikan hospital lapangan.

Nabi Muhammad SAW sendiri memerintahkan agar tentera yang cedera parah dirawat oleh Rufaidah. Pernah digambarkan saat perang Khandak, Saad bin Maadh yang terluka terkena panah di tangannya dirawat oleh Rufaidah hingga sembuh.

Rufaidah turut melatih beberapa wanita untuk menjadi jururawat dan dalam perang Khaibar mereka meminta izin Nabi Muhammad SAW untuk ikut serta di garisan belakang pertempuran bagi merawat mereka yang terluka dan Nabi mengizinkannya.

Rufaidah digambarkan memiliki keperibadian yang luhur dan simpati kepada semua orang dan melayani pesakit dengan baik. Sentuhan perikemanusiaan adalah hal yang penting bagi jururawat.

Sejarah Islam juga mencatatkan beberapa nama yang bekerja bersama Rufaidah seperti Ummu Ammara, Aminah, Ummu Ayman, Safiyah, Ummu Sulaiman dan Hindun. 🙂

Kategori:Uncategorized

~ hidayah itu milikNya ~

ALLAH berfirman yang bermaksud: “Sesiapa yang Allah kehendaki mendapat hidayah nescaya dilapangkan dadanya untuk menerima Islam dan sesiapa yang dikehendaki sesat nescaya dijadikan dadanya sempit dan sesak seolah-seolah naik ke langit. Demikianlah Allah menimpakan kehinaan kepada orang yang tidak beriman.” (Surah al-An’am, ayat 125).

Allah Maha Berkuasa untuk mengurniakan petunjuk dan hidayah-Nya kepada yang dikehendaki-Nya. Hanya dengan petunjuk dan hidayah Allah saja dapat mengubah manusia dan kehidupannya dari kekufuran kepada keimanan, kemaksiatan kepada ketakwaan, kezaliman kepada keadilan, kegelapan kepada cahaya kebenaran dan kegelisahan kepada ketenangan jiwa.

Hidayah itu ialah petunjuk yang dikurniakan Allah kepada manusia untuk mencapai kesejahteraan serta kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Islam menganjurkan umatnya supaya sentiasa memohon hidayah petunjuk daripada Allah ke arah jalan yang benar.

Lebih-lebih lagi perjalanan hidup berliku yang ditempuhi setiap insan menuntut ketabahan, kesabaran dan pertolongan Ilahi supaya dia berjaya dalam hidup. Oleh itu, Islam mensyariatkan amalan berdoa dan memohon petunjuk daripada Allah.

Hidayah petunjuk yang dianugerahkan Allah sebenarnya tidak boleh diukur berdasarkan keadaan lahiriah semata-mata. Sebaliknya, ia bergantung kepada keimanan dan ketakwaan yang bertapak kukuh dalam jiwa. Dalam erti kata lain, Allah mengurniakan hidayah kepada hamba yang beriman dan bertakwa.

Hidayah Allah tidak ada kaitan dengan hubungan pertalian darah atau kekeluargaan. Seseorang yang taat dan hidup bahagia dengan hidayah Allah, tidak semestinya anaknya juga begitu. Contohnya, Nabi Nuh dan anaknya serta Nabi Muhammad SAW dengan bapa saudaranya, Abu Lahab.

Ada juga orang fasik yang sentiasa bergelumang dosa tetapi anaknya seorang yang salih dan patuh ajaran Islam. Ini berlaku kepada Nabi Ibrahim dengan ayahnya, pengukir patung berhala.
Oleh sebab itu, kita tidak boleh menyangka orang yang selalu melakukan kejahatan tidak akan mendapat hidayah Allah kerana hanya Allah yang berkuasa memberi hidayah kepada sesiapa dikehendaki-Nya.

Nabi dan rasul, tugasnya menyampaikan kerana tidak ada siapa yang dapat memberi petunjuk melainkan Allah.

Firman Allah yang bermaksud: “Tidaklah kamu diwajibkan (wahai Muhammad) menjadikan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk, (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk) akan tetapi Allah juga yang memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya). Dan apa juga harta halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri. Dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah. Dan apa juga yang kamu dermakan dari harta yang halal akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan.” (Surah al-Baqarah, ayat 272)

Ibnu Kathir dalam kitab tafsirnya, Tafsir al-Quran al-Azim ada menyebut sebab turunnya ayat kerana ada beberapa orang Islam yang bersedekah kepada fakir miskin penduduk Madinah, kemudian setelah ramai bilangan yang masuk Islam, maka Rasulullah SAW menegah memberi sedekah kepada orang musyrikin.

Tujuannya ialah untuk menarik mereka supaya menganut Islam kerana Rasulullah SAW sangat mengambil berat akan hal ehwal mereka. Lalu turunlah firman Allah yang memerintahkan Baginda supaya terus memberikan sedekah kepada mereka.

Biarpun hidayah menjadi milik mutlak Allah, namun umat Islam dituntut untuk menyampaikan dakwah Islam kepada bukan Islam supaya beriman kepada Allah.

Dakwah yang baik dan berkesan hendaklah berpaksikan kepada tiga kaedah iaitu berdakwah secara hikmah atau bijaksana, memberi pengajaran atau contoh teladan baik dan bertukar fikiran atau berdialog dengan cara lebih baik.

Oleh itu, setiap Muslim perlu mempergiatkan usaha untuk berdakwah dan bersabar dalam menjalankan usaha dakwah Islamiah kepada bukan Islam supaya ia mencapai matlamat yang disasarkan iaitu keadilan Islam, keharmonian hidup serta kecemerlangan dalam hidup.

Hidayah dan petunjuk Allah akan sentiasa mengiringi setiap langkah dan jalan diterokai orang beriman dan bertakwa kepada-Nya dalam rangka untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini.

Kategori:Uncategorized