Utama > Uncategorized > ~ ingat insan tersayang ~

~ ingat insan tersayang ~

NYAWA adalah tanda hidupnya manusia. Selagi seseorang itu bernyawa selagi itulah ia berpeluang meneruskan kehidupan. Tetapi apabila nyawa sudah tiada lagi maka berakhirlah episod kehidupan manusia.

Memberi dan mencabut nyawa adalah hak mutlak Allah yang tiada sesiapapun boleh mempertikaikannya. Lantaran itu, Allah boleh memendekkan dan memanjangkan umur seseorang dengan kehendak dan kuasanya.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan Allah yang menciptakan kamu; kemudian Ia mewafatkan kamu; dan ada pula antara kamu yang dikembalikannya kepada peringkat umur yang lemah sehingga menjadilah ia lupa akan sesuatu yang telah diketahuinya; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.” (Surah al- Nahl, ayat 70)

Kita hendaklah bersyukur kepada Allah kerana menghidupkan kita melalui nyawa yang diberikan dan dengan nyawa itulah kita dapat menikmati kehidupan, keindahan alam, merasai sedapnya makanan dan menggunakan segala nikmat kurniaan Allah.

Berdasarkan laporan dan pemerhatian mimbar ketika ini, isu kemalangan jalan raya penyebab terbesar kepada kematian. Menurut laporan Jabatan Keselamatan Jalan Raya, lebih daripada 6,000 orang mati akibat kemalangan jalan raya dengan purata 18 kematian sehari atau 1 kematian setiap 1 jam 20 minit.

Kajian Kementerian Kesihatan, kemalangan jalan raya adalah punca keempat kematian di negara ini dan jika tidak dibendung, kemalangan jalan raya boleh menjadi punca utama kematian menjelang 2020.

Pada 2010, sebanyak 6,872 kematian akibat kemalangan jalan raya, 4,036 membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal. Kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), 30 peratus kematian membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal berumur 16 hingga 25 tahun dan daripada jumlah itu 40 peratus tidak mempunyai lesen memandu. Perbuatan menimbulkan mudarat yang boleh membawa kematian seperti menunggang motosikal secara berbahaya, tidak mematuhi peraturan jalan raya, tidak memiliki lesen memandu adalah tindakan tidak menghargai nyawa.

Walaupun tindakan seperti itu tidak menyebabkan kehilangan nyawa secara langsung, lama kelamaan atau silap percaturan boleh menyebabkan kematian atau memusnahkan keselesaan dan kesempurnaan hidup.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan berbuat baiklah kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 195)

Jalan raya adalah kemudahan awam yang menjadi penghubung bukan tempat menunjukkan kehebatan atau keberanian. Menjadi tanggungjawab pengguna menjaga dan memelihara kemudahan ini dan menjadikannya tempat selamat bukan tempat kecelakaan.

Satu perkara lagi yang menjadi punca utama kehilangan nyawa di negara kita ialah kebakaran. Menurut laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, pada 2010 jumlah kebakaran adalah sebanyak 5,240 kes.

 Keselamatan kebakaran hendaklah diberi perhatian kerana ia boleh membunuh. Api ketika kecil menjadi kawan, tetapi besar menjadi lawan.

Pelbagai cerita sudah dipaparkan oleh media berkaitan kebakaran dan yang menyedihkan apabila kebakaran bukan saja memusnahkan harta benda, tetapi juga menyebabkan kehilangan nyawa yang tidak boleh ditukar ganti.

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya, itulah ungkapan yang sewajarnya difikirkan bersama bagi mengambil langkah keselamatan secara berterusan, pemeriksaan ke atas semua kelengkapan keselamatan kebakaran perlulah dijalankan dari masa ke semasa.

Bertindaklah dengan cermat , ingat insan tersayang .🙂

Kategori:Uncategorized
  1. Tiada komen.
  1. No trackbacks yet.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: