Archive

Archive for Jun 2011

~ Ibn al-Jazari ~

PERKARA penting dalam menyelusuri sejarah ilmu qiraat adalah mengetahui sumbangan Imam-Imam qiraat sama ada dalam sudut pengajaran atau penulisan.

Sekali merenung hasil penulisan ulama silam maka menjelma dalam jiwa betapa hebat peninggalan mereka. Walaupun mereka telah meninggal ratusan tahun dahulu namun sehingga ke hari ini penulisan mereka masih digunakan sebagai subjek pengajaran.

Antara ribuan ulama silam yang menghasilkan penulisan yang berkualiti dan diterima pakai ulama mutakhir ini ialah Imam Ibn al-Jazari.

Nama penuhnya ialah Muhammad Ibn Muhammad Ibn Muhammad Ibn Ali Ibn Yusuf. Beliau lahir pada tahun 751 hijrah dan meninggal dunia pada tahun 833 hijrah.

Imam Ibn al-Jazari adalah seorang yang mempunyai ilmu yang melaut dalam beberapa disiplin ilmu seperti qiraat, hadis, fiqh dan lain-lain. Antara gurunya ialah Imam Ibn Kathir yang telah memberi ijazah kepadanya untuk berfatwa iaitu pada tahun 774 hijrah. Beliau juga memperoleh ijazah daripada gurunya Sheikh Islam al-Bulqini pada tahun 785 hijrah.

Dalam ilmu qiraat, penguasaan Imam Ibn al-Jari amat terserlah lantaran sanad-sanad yang diperolehnya daripada guru-guru al-Quran yang terkenal pada zamannya sama ada dari Damsyik, Madinah al-Munawarah dan juga Mesir. Imam Ibn al-Jazari menziarahi Mesir sebanyak tiga kali untuk bertalaqqi qiraat daripada ulamanya.

Di Mesir, ulama yang mempunyai sanad tertinggi ketika itu ialah Abi Abdillah Muhammad Ibn al-Saigh. Ibn al-Jazari bertalaqqi daripada gurunya ini, Qiraat Tujuh mengikut kitab Unwan, Taisir dan Syatibiyyah.

Beliau juga talaqqi qiraat daripada gurunya Ibn al-Baghdadi. Di Madinah al-Munawarah, beliau bertalaqqi qiraat daripada Imam Masjid Nabi yang bernama Abi Abdillah Muhammad Ibn Salih al-Khatib.

Setelah menguasai ilmu qiraat secara talaqqi daripada sejumlah guru yang pakar dalam bidang ini, menghalusi penulisan qiraat, memperoleh sanad yang tinggi, Imam Ibn al-Jazari membuat satu ijtihad dengan memasukkan Tiga Qiraat iaitu Abu Jaafar, Ya’qub dan Khalaf al-‘Asyir sebagai Qiraat Mutawatirah sebaris dengan Tujuh Qiraat yang dikumpulkan oleh Ibn Mujahid yang meninggal pada tahun 324 Hijrah.

Serentak dengan itu, Imam Ibn al-Jazari telah menulis satu matn yang dinamakan al-Durrah al-Mudhiah yang merangkumi usul tiga qiraat dan farsyu meliputi 30 juzuk al-Quran. Metod susunan nadhamnya ini dibuat mengikut metod Imam Syatibiy melalui Matnya al-Syatibiyyah. Antaranya adalah mengakhiri setiap rangkap syairnya dengan huruf lam.

Sebelum Matn Durrah ini dihasilkan kebanyakan ulama berpendapat bahawa qiraat yang mutawatirah hanya Tujuh Qiraat sahaja mengikut apa yang dikumpul oleh Ibn Mujahid melalui kitabnya al-Sab’ah.

Pendapat ini didokong kuat oleh Imam al-Dani(444 hijrah) melalui kitabnya al-Taisir. Apabila Imam Syatibiy(591hijrah) menghasilkan matnnya bersumber dari al-Taisir karangan Imam al-Dani maka bertambahlah keyakinan umat Islam bahawa Qiraat Mutawatirah hanya Tujuh Qiraat sahaja.

Namun hasil penelitian yang mendalam, pengajian daripada ramai guru, kajian berterusan terhadap penulisan ulama terdahulu dan juga kajian sanad setiap Tiga Qiraat, maka Ibn al-Jazari mengeluarkan pandangan yang sewajibnya umat Islam terima dan mengamalkannya.

Tiga Qiraat ini menepati tiga rukun yang diguna pakai untuk menerima Tujuh Qiraat. Matn Durrah mendapat sambutan ulama dan ramai di kalangan mereka yang menghurai kandungan Matn Durrah antara yang tersohornya ialah Imam al-Samanundi, Imam al-Zubaidi, Imam al-Nuwairi, Sheikh Fattah al-Qadhi dan lain-lain.

Sehingga ke hari ini, Matn Durrah menjadi sukatan pengajian qiraat di pusat pengajian tinggi Qiraat, seperti Maahad Syubra, Mesir dan pengajian qiraat tahun empat di Kuliah Quran, Universiti Islam Madinah al-Munawarah.

Ramai ulama memuji Imam Ibn al-Jazari, antaranya Sheikh Mustafa Ahmad yang berkata: “Dalam satu majlis Amir Taimur di Samarkand, Baginda meletak para pegawai kanannya di sebelah kiri dan barisan ulama di sebelah kanannya dan mendahului barisan ulama ialah Imam Ibn al-Jazari. Ramai yang tertanya susunan tersebut lalu Baginda menjawab beta tidak akan mendahului lelaki ini yang amat arif tentang al-Quran dan sunnah”.

 

Kategori:Uncategorized

~ teguran berhikmah ~

SEMUA tahu bahawa fitnah boleh memusnahkan sesuatu peradaban. Sejarah membuktikan hanya dengan fitnah suatu peradaban yang ulung boleh tersungkur ke bumi. Malangnya fitnah pada masa kini sudah menjadi norma kehidupan masyarakat.

Amat menyedihkan budaya fitnah mendapat tempat utama dan dibincangkan oleh masyarakat arus perdana ketika ini. Masyarakat juga sudah tidak lagi segan silu memfitnah antara satu sama lain.

Mengikut undang-undang, fitnah boleh dilakukan melalui percakapan, dibuat dengan tulisan ataupun isyarat.

Mangsa fitnah pula berhak mendapat pembelaan di mahkamah dalam dua keadaan iaitu dengan mendapat gantirugi atau pampasan terhadap perbuatan yang menjatuhkan nama baik mangsa.

Dalam keadaan yang lain pula, mangsa fitnah juga boleh melaporkan perbuatan fitnah tersebut sebagai suatu kesalahan yang jika sabitannya boleh dijatuhkan hukuman.

Terdapat dua kategori fitnah di dalam undang-undang negara iaitu libel yang bermaksud kata-kata yang disajikan dalam bentuk kekal yang biasanya terlihat oleh mata, seperti dalam sebuah buku, e-mel atau gambar.

Manakala slander pula bermaksud kata-kata yang disajikan dalam bentuk sementara. Biasanya ketika diucapkan atau dibuat dengan gerakan tubuh yang boleh merendahkan martabat seseorang.

Dalam kes sivil, kes fitnah dimulakan apabila seseorang mangsa menyaman seorang yang lain di bawah Akta Fitnah 1957 bagi mendapat perintah halangan ataupun gantirugi.

Dalam kes jenayah pula apabila pendakwa mendakwa seseorang kerana melakukan jenayah fitnah sebagaimana yang terdapat di dalam Seksyen 499 hingga 502 Kanun Kesiksaan.

Islam mempunyai kaedah lebih ketat bagi memastikan kebenaran sesuatu berita supaya tidak terperangkap dengan berita berunsur fitnah. Ia sebagaimana firman Allah bermaksud: Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasiq membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan. (al-Hujurat: 6)

Berdasarkan ayat di atas fitnah adalah penistaan yang perlu dibendung dan dikawal dari awal lagi oleh orang Islam. Mempercayai sesuatu berita fitnah tanpa menyiasat kebenarannya akan menjadikan seseorang itu menghakimi seseorang yang lain dengan kejahilan dan prasangka.

Dalam perundangan Islam fitnah terjadi pada zaman Rasulullah iaitu terhadap Saidatina Aisyah. Amat besar bahaya fitnah terhadap kelangsungan dakwah Rasulullah sehingga Allah telah membersihkan nama Aisyah dengan menurunkan beberapa ayat di dalam surah an-Nur menjelaskan kesucian Aishah. (rujuk ayat 12-16 surah an-Nur)

Pada akhir tahun 34 Hijrah pula, pemerintahan Islam dilanda fitnah. Sasaran fitnah itu adalah terhadap Saidina Uthman hingga mengakibatkan beliau terbunuh tahun berikutnya.

Saidina Ali bin Abi Talib bermati-matian membela Saidina Uthman dan menyangkal tuduhan fitnah terhadap Saidina Uthman.

Antara fitnah terhadap Saidina Uthman adalah beliau membakar mushaf-mushaf, sembahyang tidak diqasar sewaktu di Mekah, mengkhususkan sumber air untuk kepentingan diri sendiri dan mengangkat pejabat daripada kalangan generasi muda. la juga mengutamakan kemudahan untuk Bani Umayyah (golongannya) melebihi orang lain.

Saidina Ali, mempertahankan Uthman dengan berkata: “Mushaf-mushaf yang dibakar adalah yang mengandungi perselisihan dan yang ada sekarang ini adalah yang disepakati bersama kesahihannya. Adapun sembahyang yang tidak diqasar sewaktu di Mekah, adalah kerana dia berkeluarga di Mekah dan dia berniat tinggal di sana. Oleh kerana itu solatnya tidak diqasar. Adapun sumber air yang dikhususkan itu adalah untuk ternak sedekah sehingga mereka besar. Bukan untuk ternak unta dan domba miliknya sendiri.

“Umar juga pernah melakukan ini sebelumnya. Adapun mengangkat pejabat dari generasi muda, hal ini dilakukan semata-mata kerana mereka mempunyai kemampuan dalam bidang-bidang tersebut.

“Rasulullah SAW juga pernah melakukan ini hal yang demikian. Adapun beliau mengutamakan kaumnya, Bani Umayyah, kerana Rasulullah sendiri mendahulukan kaum Quraisy daripada bani lainnya. Demi Allah seandainya kunci syurga ada di tanganku, aku akan memasukkan Bani Umayyah ke syurga.”

Berahsia menasihati pemimpin

Saidina Ali mempertahankan Uthman walaupun beliau adalah Khalifah selepas Uthman. Saidina Ali tidak cuba menjatuhkan Saidina Uthman yang menjadi Khalifah dengan menabur fitnah. Bukan matlamat untuk merampas kuasa menjustifikasikan membuat fitnah.

Berbalik kepada kisah Saidatina Aisyah yang difitnah termasuk oleh Hassan bin Thabit yang sangat berpengaruh tetapi terjebak dalam mempercayai fitnah terhadap Aishah.

Anak saudara Aisyah iaitu Urwah bin Zubair al Awwam yang sudah tidak tahan dengan fitnah tersebut mengadu kepada Aisyah. Namun Aisyah menjawab: “Anak saudaraku, biarkanlah dia. Dia pernah membela Rasulullah dengan syairnya.”

Begitulah cara Aisyah melihat pada Hassan. Keseluruhan hidupnya adalah mulia, tetapi satu ketika dia melakukan kesilapan, namun itu bukan alasan untuk merendahkannya. Aisyah telah membela Hassan ketika dia dicemuh oleh anak saudaranya.

Jelaslah dalam Islam ada cara memerangi fitnah sehinggakan orang yang difitnah juga membela orang yang memfitnah itu atas kesedaran dan keinsafan di dalam agama. Berbeza dengan apa yang berlaku sekarang. Fitnah dilawan dengan fitnah lain yang akhirnya akan menjadikan masyarakat awam yang terkeliru.

Dalam keghairahan menegur kesilapan pemimpin ramai kalangan kita yang terlalu obses mahu mengenengahkan kesalahan pemimpin. Sudah tiada adab lagi dalam menegur pemimpin pada ketika ini.

Sebenarnya Islam mengajar kita berahsia semasa menasihati pemimpin. Sama ada pemimpin di peringkat persatuan ataupun pemimpin negara. Ini penting demi mengelak tersebarnya rasa tidak puas hati dalam organisasi.

Kita boleh mengambil iktibar peristiwa Rasulullah membahagikan harta rampasan perang. Baginda tidak memberinya pada seorang sahabat yang baru memeluk Islam bernama Ju’ail bin Suraqah.

Mungkin baginda tidak menyedarinya ataupun ada sebab yang lain. Sa’ad ibn Abi Waqqas berkata: “Aku pergi berjumpa Rasulullah SAW dan memberitahunya perlahan-lahan mengapa baginda tidak memberi pada si Ju’ail itu. Demi Allah, saya kira dia seorang yang beriman.”

Dalam mengulas riwayat ini Ibn Hajar menegaskan bahawa memberi nasihat secara rahsia lebih baik dari secara terang-terangan. Ia menjadi wajib bila secara terang-terangan itu menimbulkan fitnah.

Adalah suatu yang haram memberi nasihat secara terbuka kepada seorang pemimpin. Semasa zaman para sahabat pula terdapat salah seorang amir yang melakukan kesilapan.

Lalu orang pun bertanya kepada Usamah bin Zaid, pemimpin tentera menentang Rom, mengapa dia tidak menegur amir tersebut. Lalu dijawab Usamah: “Anda menyangka saya tidak berbincang dengannya. Saya sering berbincang dengannya secara tertutup. Saya enggan membuka pintu fitnah dengan menegurnya secara terbuka.”

Dalam hal ini, menegur pemimpin negara secara terang-terangan bukanlah perkara yang amat dianjurkan oleh Islam kerana terdapat ruang-ruang dialog dan perbincangan.

Selagi ruangan ini masih tidak disekat oleh pemimpin masyarakat umum hendaklah menggunakan segala ruang dan peluang yang ada bagi menasihati pemimpin dengan cara yang dianjurkan itu.

Ia bagi memelihara keamanan dan kepentingan negara dikekalkan.

 

Kategori:Uncategorized

~ solat bukti kesyukuran ~

FIRMAN Allah yang bermaksud: “Maha suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram (Makkah) ke Masjidil Aqsa (Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jugalah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Israk, ayat 1) 

Solat difardukan kepada umat Islam melalui pensyariatan secara langsung daripada Allah kepada Rasulullah SAW di Sidratul Muntaha tanpa penurunan wahyu dan perantaraan Jibril, berbeza dengan ibadat lain.

Pensyariatan ibadat solat secara langsung daripada Allah ini sekali gus mengangkat martabat dan nilai solat di sisi Allah.

Solat, kewajipan secara langsung dari Allah kepada Rasulullah dan umatnya adalah komunikasi yang menghubungkan antara manusia dengan Allah. Solat bukan sekadar rukuk dan sujud tanpa pengisian jiwa tetapi ibadah yang menuntut keikhlasan, ketakwaan dan rasa khusyuk ketika menghadap Allah. 

Muslim beriman ialah yang menghadapkan seluruh kalbunya ke hadrat Ilahi ketika mendirikan solat dengan disaksikan deria ketakwaan di samping keinginan mencari petunjuk dan memohon taufik demi meraih kebahagiaan hidup dunia akhirat. 

Muslim yang benar-benar beriman adalah yang berasa dirinya kerdil lagi daif di hadapan Allah yang Maha Besar. 

Selain mendekatkan diri kepada Allah, ibadat solat adalah manifestasi kesamarataan antara hamba kerana semua wajib menunaikan solat tidak kira status sosial. Oleh itu, persaudaraan dianjurkan Islam didasari takwa, hormat menghormati dan menghargai demi keredaan Allah semata-mata. 
Kesempatan Rasulullah menghadap Allah melalui peristiwa Israk dan Mikraj menunjukkan setiap Muslim dapat berhubung secara terus ke hadrat Ilahi tanpa perlu kepada sebarang alat komunikasi yang canggih. 

Memadailah seorang Muslim bermunajat dan berhubung ke hadrat Allah pada bila-bila masa dan di mana juga melalui solat. Melalui solat jiwa dan raga seorang Muslim langsung tersangkut pada Yang Maha Agung. 

Kepentingan ibadat solat dalam kehidupan Muslim dapat dilihat melalui tindakan Saidina Umar al-Khattab yang pernah menulis surat pekeliling untuk dikirimkan kepada semua gabenornya dengan katanya: “Wahai gabenor sekalian! Sesungguhnya tugas paling penting pada pandanganku ialah mendirikan solat. 
Oleh itu, sesiapa yang tidak mendirikan solat seperti sepatutnya, maka dia adalah orang yang tidak dipercayai. Sesiapa yang mendirikan solat dengan sebaik-baiknya, maka dia sudah memelihara agamanya. Dan sesiapa yang mensia-siakan ibadat solat bermakna dia telah mensia-siakan urusan lainnya.” 

Demikianlah keyakinan Saidina Umar al-Khattab bahawa kecurangan, kezaliman, kemunduran, kekalahan, kemelesetan ekonomi dan sebagainya mempunyai sebab musabab yang saling berkaitan. Hujung pangkal keadaan musibah menimpa umat Islam itu kerana lemahnya iman malas beribadat. 

Ketika peristiwa Israk dan Mikraj, Rasulullah SAW bertemu satu kaum yang memecahkan kepala dengan batu. Setiap kali kepala mereka pecah, keadaan akan kembali seperti sedia kala dan mereka akan mengulangi perbuatan itu. 

Rasulullah bertanya kepada Jibril berkenaan golongan itu, lalu dijelaskan mereka ialah sekumpulan orang yang berat kepala untuk bersolat fardu. 

Zaman ini penuh cabaran dan ujian. Sesiapa saja boleh terpengaruh melakukan perkara dilarang Allah. Jika dibiarkan maksiat dan kemungkaran berleluasa, akan ada yang sanggup menggadaikan akidah demi mengejar kemewahan dan kesenangan dunia yang sementara. 

Jika amal ibadah masih sedikit, maka berusahalah untuk meningkatkannya. 

Jika ada salah dan silap, mohonlah keampunan serta bertaubatlah kepada Allah. Muslim wajib menginsafi dan mengambil iktibar peristiwa Israk dan Mikraj untuk menjana persaudaraan unggul sekali gus mengorak langkah memahat sejarah mencipta tamadun diimpikan. 

 

Kategori:Uncategorized

~ sentuhan kasih Ayah ~

SEORANG insan unggul akan mudah mengatur urusan hidup keluarganya, merencana soal pendidikan, saraan, pergaulan dan pembangunan keluarga dengan tarbiah Islamiah serta dapat menjalankan tugas sebagai ketua keluarga dan menjadi hamba yang menjaga hubungan dengan Allah. 

Dalam sesebuah keluarga, aspek kesihatan fizikal sangat perlu kerana kesejahteraan pemikiran dan kerohanian bergantung rapat kepada kesejahteraan fizikal. Mukmin yang kuat adalah lebih baik daripada yang lemah. Minda yang sihat akan lahir dari tubuh badan sihat.

Oleh itu, tarbiah jasmaniah seperti dituntut syarak perlu dilaksanakan dalam keadaan teratur. Umpamanya, pemilihan makanan mesti yang bersih, baik dan dari sumber halal. Amalan boleh memudaratkan seperti merokok, minuman keras, menyalahgunakan dadah hendaklah dijauhi.

Jika ketentuan ini tidak dipatuhi, kesihatan jasmani akan terjejas serta boleh memberi kesan buruk kepada mental, fizikal dan spiritual. 

Pendidikan rohani pula adalah aspek penting merangkumi keimanan, pengamalan syariat, pelaksanaan tanggungjawab sebagai seorang muslim serta pembangunan mental dan spiritual. 

Seorang ketua keluarga bertanggungjawab membentuk dan mendidik keluarganya mengamalkan tuntutan dikehendaki Islam. Pada masa sama menjauhi perkara haram dan makruh selain memastikan ketulenan akidah keluarga dan membersihkan daripada sebarang bentuk kekufuran. 

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang (selepas menerima peringatan itu) berusaha membersihkan dirinya (dengan taat dan amal soleh) dan menyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya serta mengerjakan sembahyang (dengan khusyuk).” (Surah al-A’la, ayat 14-15) 
Ketua keluarga adalah model berkesan dalam pendidikan akhlak keluarga. Dia perlu membimbing ahli keluarga dengan akhlak Islamiah berdasarkan ilmu dan pengalaman ada padanya. 

Kegagalan sesetengah keluarga mengamalkan akhlak Islamiah berpunca daripada kegagalan ketua keluarga atau ibu bapa tidak mengamalkan nilai murni ditetapkan oleh Islam. 

Sebab itu ibu bapa perlu membentuk keunggulan diri mereka terlebih dulu sebelum amalan itu dapat diperturunkan kepada anak mereka. 

Ketua keluarga juga dapat mengatur ekonomi dan sosial keluarga berpandukan nilai baik seperti rasa tanggungjawab mempertingkatkan taraf hidup dengan mengamalkan sikap bersungguh-sungguh dalam kerjaya. 

Kesungguhan bekerja adalah suruhan agama yang perlu ditunaikan kerana ia akan membawa keluarga keluar dari ruang lingkup kemiskinan, salah satu musuh Islam yang boleh membawa kepada kekufuran. 

Setiap kelompok masyarakat perlu memberi perhatian berat kepada bidang pendidikan. Insan yang beruntung dalam sesebuah masyarakat akan memudahkan usaha dan perancangan meningkatkan kualiti masyarakat melalui aktiviti pendidikan, pengajian dan muamalat. 

Penghayatan agama juga sangat mustahak untuk mengembangkan penghayatan ajaran Islam melalui aktiviti berfaedah bagi melahirkan masyarakat harmoni, berdisiplin dan mempunyai imej tinggi serta mendapat keberkatan Allah. 

Seperti diketahui, keterampilan seseorang individu atau masyarakat dengan ilmu agama semata-mata tanpa ilmu duniawi adalah sesuatu yang tidak sempurna. Seorang Muslim perlu mendapatkan pengetahuan luas dan kemahiran tinggi dalam pelbagai bidang ilmu. 

Ia meliputi ilmu ekonomi, politik dan sosial untuk meletakkan diri dalam arus perdana kehidupan bermasyarakat dan beragama. Semua bidang itu mesti diketahui dan diceburi sekurang-kurangnya pada tahap paling asas. 

Firman Allah yang bermaksud: “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang dikurniakan Allah kepadamu (pahala dan kebahagiaan) hari akhirat dan jangan engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia.” (Surah al-Qasas, ayat 77) 

 

Kategori:Uncategorized

~ ibrah Israk & Mikraj ~

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad SAW) pada malam hari dari Masjidil Haram (di Makkah) ke Masjidil Aqsa (di Palestin), yang Kami (Allah) berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Israk ayat 1). 

Menurut ulama, sebelum terjadi peristiwa Israk dan Mikraj, Nabi Muhammad SAW terlebih dulu mengalami pembedahan dada dan perut yang dilakukan oleh malaikat Jibril dan Mikail AS. Hati Baginda SAW dicuci bersih dengan air zamzam, dibuang ketul hitam (alaqah), iaitu tempat syaitan membisikkan was-was. Kemudian dituangkan hikmah, ilmu, dan iman ke dalam dada Rasulullah SAW. Setelah itu dadanya dijahit dan dimeterikan dengan ‘khatimin nubuwwah’. Selesai pembedahan, didatangkan haiwan dari syurga bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan Israk itu.

Daripada peristiwa ‘pembedahan’ dada dan perut Nabi SAW itu, maka wujudlah ilmu pembedahan sekarang yang dilakukan kaji selidik oleh ilmuwan sains dan teknologi kedoktoran masa lampau.

Israk yang bererti perjalanan malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Sepanjang perjalanan itu Rasulullah diiringi dan ditemani oleh malaikat Jibril dan Israfil. Kemudian mereka singgah di tempat tertentu yang mulia dan berkat. Rasulullah berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. 

Lokasi itu ialah Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah. Bukit Tursina (Mesir), iaitu tempat Nabi Musa AS menerima wahyu daripada Allah, dan Baitullaham (Palestin), tempat Nabi Isa AS dilahirkan. 

Dalam perjalanan itu Baginda menghadapi gangguan Jin Ifrit dan dapat menyaksikan pelbagai peristiwa yang sangat ajaib, antaranya kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka, yang melambangkan kaum yang berjihad ‘fisabilillah,’ tempat yang berbau harum, iaitu kubur Mashitah, tukang sisir rambut anak Firaun bersama suaminya dan anak-anaknya yang dibunuh Firaun kerana tetap teguh beriman kepada Allah. 

Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh semula, kemudian dipecahkan lagi, demikian dilakukan berkali-kali. Jibril memberitahu Rasulullah: “Itulah orang yang berat kepala mereka untuk sujud bersembahyang.” 
Kemudian sekumpulan orang yang hanya menutup aurat kemaluan mereka dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti haiwan ternakan. Mereka makan bara api dan batu batan dari neraka Jahanam. Jibril berkata: “Itulah orang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.” 

Sekumpulan orang lelaki dan perempuan memakan daging busuk, daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibril: “Itulah lelaki dan perempuan melakukan zina, sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing ada isteri dan suami.” 

Sekumpulan lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibril: “Itulah orang yang memakan riba. Sekumpulan lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tidak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibril: “Itulah orang yang tidak dapat menunaikan amanah tetapi masih ingin menerima amanah yang lain.” Banyak lagi peristiwa berlaku sepanjang perjalanan Nabi itu. 

Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan gunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibril: “Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya. Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga. Kata Jibril: “Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang. Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tidak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibril: “Itulah orang yang bercakap besar (takbur), kemudian menyesal, tetapi sudah terlambat.” 

Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak mempedulikannya. Kata Jibril: “Itulah gambaran dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.” 

Seorang perempuan tua yang bongkok menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibril: “Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.” 

Setelah sampai di Masjidil Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq, kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbiya dan mursalin menjadi makmum. Rasulullah berasa dahaga, lalu dibawa Jibril dua bekas berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu. 

Kata Jibril: “Baginda membuat pilihan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat Baginda akan menjadi sesat.” 

Ketika Mikraj, iaitu Rasulullah naik ke Hadhratul Qudus menemui Allah SWT. Di langit pertama, Rasulullah berjumpa dengan Nabi Adam AS. Langit kedua, Nabi SAW bertemu dengan Nabi Isa dan Nabi Yahya AS. Langit ketiga, Nabi bertemu dengan Nabi Yusuf. Langit keempat, Nabi bertemu dengan Nabi Idris, langit kelima, Nabi bertemu dengan Nabi Harun, langit keeenam, Nabi bertemu dengan nabi-nabi dan seterusnya Nabi Musa AS. Rasulullah mengangkat kepala yang diperintah oleh Jibril, lalu dapat melihat umat Baginda yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab. 

Langit ketujuh, Nabi bertemu dengan Nabi Ibrahim yang sedang bersandar di Baitul Makmur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah, Nabi Ibrahim bersabda: “Engkau akan berjumpa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu daif, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu ‘La haula wala quwaata illa billah.’ 

Setelah melihat beberapa peristiwa lain yang ajaib, Rasulullah dan Jibril masuk ke dalam Baitul Makmur dan bersembahyang (Baitul Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Makkah). 

Ada riwayat menyatakan, setakat ini saja Jibril menghantarkan Nabi SAW untuk menemui Allah SWT. 

Tangga (mikraj) kelapan, di sini disebut ‘al-Kursi’, berbetulan dengan dahan pokok Sidratul Muntaha. Di sini Rasulullah melihat pelbagai keindahan seperti sungai Kauthar yang mengalir terus ke syurga dan lain-lainnya. 

Tangga kesembilan, Rasulullah masuk di dalam Nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul Aqlam, di sini dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berziikir. 

, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya. 
Tangga ke-10, Rasulullah SAW sampai di Hadhratul Qudus dan Hadhrat Rabbul Arbab dan bersujud ke hadrat Allah Taala dan terjadilah beberapa dialog dengan Allah SWT. Akhirnya Allah memfardukan sembahyang lima kali sehari semalam, yang pada mulanya difardukan sebanyak 50 kali. 

Kategori:Uncategorized

~ mujahadah & natijah ~

Kalimah takdir diambil daripada kata qaddara yang antara lain bererti memberi qadar atau ukuran. Jika kita berkata: “Allah mentakdirkan”, itu bererti “Allah memberikan kadar atau ukuran atau batas tertentu dalam diri, sifat dan kemampuan makhluk-Nya.”

Segala sesuatu sama ada kecil atau besar ditetapkan oleh Allah takdir baginya. Allah SWT berfirman dalam surah al-Furqan ayat 2 yang bermaksud: “(Allah) yang menciptakan segala sesuatu lalu Dia menetapkan atasnya Qadar (ketetapan) dengan sesempurnanya.” Dalam surah Yasin ayat 38, Allah SWT berfirman: “Matahari beredar di tempat peredarannya. Demikian itulah takdir/ukuran yang ditentukan oleh (Allah) Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui.”

Peristiwa-peristiwa yang terjadi di alam semesta ini, sama ada dari sudut kejadiannya, dalam kadar/ukuran tertentu, pada tempat dan waktu tertentu, itulah yang dinamakan takdir termasuk manusia. Peristiwa-peristiwa itu berada dalam pengetahuan dan ketentuan Tuhan.
Manusia mempunyai kemampuan terbatas sesuai dengan ukuran yang diberikan Allah kepadanya. Makhluk manusia sebagai contoh tidak dapat terbang. Ini adalah suatu takdir/ukuran batas kemampuan yang dianugerahkan Allah kepadanya. Manusia tidak mampu melampauinya kecuali jika dia menggunakan akalnya untuk mencipta sesuatu alat. Namun begitu, akalnya juga mempunyai ukuran/batas yang tidak mampu dilampaui. Manusia tetap berada di bawah hukum-hukum Allah sehingga segala yang kita lakukan pun tidak terlepas dari hukum-hukum yang mempunyai kadar dan ukuran tertentu.

Hanya kerana hukum itu cukup banyak dan kita diberi kemampuan memilih, tidak seperti matahari dan bulan sebagai contoh. Maka kita dapat memilih yang mana di antara takdir atau ukuran-ukuran yang ditetapkan oleh Allah itu sesuai dengan kita. Pilihan adalah hak kita.

Sebagai contoh ketika di Syam (yang dimaksudkan dengan Syam iaitu Syria, Palestin dan sekitarnya) berlaku wabak. Umar bin al-Khattab yang ketika itu mahu berkunjung ke sana, lalu membatalkan rancangannya. Ketika itu tampil seseorang bertanya: “Apakah kamu lari dari takdir Tuhan? Umar menjawab: “Saya lari dari takdir Tuhan ke takdir-Nya yang lain.” Berjangkitnya penyakit adalah berdasarkan hukum-hukum yang ditetapkan-Nya. Bila seseorang tidak menghindari daripadanya, dia akan menerima akibatnya. Akibat yang menimpa itu juga
dinamakan takdir. Bukankah Tuhan telah menganugerahkan kemampuan untuk memilih?

Syurga dan neraka adalah akibat daripada pilihan manusia masing-masing.
Bukankah Allah menegaskan dalam surah al-Balad ayat 10 yang bermaksud: “Kami telah memberikan petunjuk kepadanya (manusia) dua jalan (baik dan buruk).” Begitu juga dalam surah al-Kahfi ayat 29 yang bermaksud: “Katakanlah, kebenaran bersumber dari Tuhanmu, maka siapakah yang ingin (beriman), silakan beriman. Dan siapakah yang ingin (kufur), silakan kufur.”

Pilihan itulah yang dinilai Allah dan atas dasarnya, Allah menetapkan balasan dan ganjaran. Allah mengetahui segala sesuatu berlaku, sama ada sebelum, sedang dan akan berlaku. Tetapi pengetahuan ini tidak ada kaitan dengan pilihan manusia. Jika seorang pelajar yang diketahui malas dan tidak akan lulus ujian, apakah pengetahuan guru itu menyebabkan ia tidak lulus? Tentu saja tidak. Begitulah pengetahuan Allah yang meliputi segala sesuatu. Dalam masa kita bermujahadah yakinlah bahawa Allah jualah penentu segala natijah .  Demikianlah, wallahua’lam. 🙂

Kategori:Uncategorized

~ rawatan hati ~

SATU penyakit yang melanda masyarakat pada hari ini ialah sifat mengadu domba serta menyebarkan berita palsu. Dua perkara ini boleh memporak perandakan masyarakat, meruntuhkan rumah tangga, memutuskan hubungan persaudaraan serta menanam bibit kebencian antara satu sama lain. Pada masa sama teknologi juga digunakan seperti e-mel dan facebook bagi merealisasikan tujuan buruk ini.

Perkara ini dijelaskan Allah SWT bermaksud: “Dan janganlah engkau ikut sekalian orang yang suka bersumpah, menghina dan ke sana ke mari menyebarkan fitnah. Menghalang kebaikan, memperbanyakkan dosa maksiat, melampaui batas dan bersikap kasar”. (Surah al-Qalam, ayat 10-13)

Rangkaian sifat di atas dipisahkan Allah SWT antara satu sama lain kerana masing-masing mempunyai darjat kejahatan tersendiri. Ini termasuk bersikap talam dua muka seperti lalang yang ditiup angin mengikut suasana dan keadaan setempat.

Di samping itu, ada juga yang sibuk mencari kelemahan orang lain serta mendiamkan diri dengan kebaikan dilakukan. Jika tiada berita hendak dibawa, maka diciptakan pendustaan yang seburuk-buruk perangai. Ada yang mulut semanis madu ketika berhadapan seseorang, tetapi sepahit hempedu apabila berjauhan. Inilah antara sifat sampingan yang dimaksudkan ayat di atas.

Ulama bersepakat semua sifat ini antara dosa besar diharamkan Allah SWT. Ini dijelaskan Baginda SAW di dalam hadisnya bermaksud: “Sejahat-jahat makhluk di atas muka bumi ini ialah mereka yang suka menyebarkan fitnah, memutuskan hubungan kasih sayang serta mencipta permusuhan antara masyarakat”. (Hadis Riwayat Ahmad).

Semua sifat ini dicetuskan perasaan irihati di samping menunjukkan betapa sifat amanah semakin menipis. Rasulullah SAW melintasi dua kubur lalu bersabda: “Sesungguhnya mereka berdua sedang diazab kerana menyebarkan fitnah dan tidak menjaga kebersihan ketika membuang air kecil.” (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim).

Imam Muslim meriwayatkan hadis dari Ibnu Masud RA bahawa Baginda SAW bersabda bermaksud: “Tidakkah kamu ingin aku khabarkan kepada kamu sifat merosakkan iaitu mereka yang suka menyebarkan fitnah di kalangan masyarakat”. (Al-Hadis).
Hadis lain menyebut: “Kamu akan mendapati sejahat-jahat manusia di hari kiamat ialah mereka yang bersifat talam dua muka.” Sahabat Nabi SAW, Abu Hurairah menyebut ia adalah seburuk buruk perangai dalam komuniti umat.

Bagi Muslim tidak berburuk sangka terhadap saudara seagama dan berusaha menutup kelemahan orang lain kerana mereka menutup keaiban orang lain ketika di dunia, Allah SWT akan menutup keaibannya pada hari kiamat. Berita yang didengar tidak perlu dihebahkan kepada orang lain kerana ia mungkin mencetuskan permusuhan antara saudara seagama. Janganlah kita terlalu cepat menghukum disebabkan berita yang kita dengar.

Ulama feqah terkenal iaitu Imam Laith Bin Saad pernah didatangi seorang lalu berkata: “Wahai Imam, seseorang menyebut mengenaimu begitu dan begini…lalu dijawab Imam: “Mohonlah keampunan daripada Allah SWT untuknya.”

Seorang ulama sufi bernama Abd Wahab Munabbih mendengar berita daripada pemuda lalu beliau menjawab: “Apakah tiada syaitan lain yang menjadi posmen selain kamu”? Berapa ramai mereka yang tidak bersalah dihukum. Mereka yang baik telah dizalimi. Harta dirampas. Terputus hubungan ibu dan anaknya. Pasangan ideal dengan tunangnya. Semuanya gara-gara penyebar berita palsu.

Oleh itu, jalan selamat ialah bersikap mendiamkan diri dan jangan mudah menerima berita yang didengar serta menyebarkannya. Marilah kita sama-sama menggunakan segala nikmat yang dianugerahkan ke jalan yang diredai Allah SWT.  🙂

Kategori:Uncategorized