Utama > Uncategorized > ~ teguran berhikmah ~

~ teguran berhikmah ~

SEMUA tahu bahawa fitnah boleh memusnahkan sesuatu peradaban. Sejarah membuktikan hanya dengan fitnah suatu peradaban yang ulung boleh tersungkur ke bumi. Malangnya fitnah pada masa kini sudah menjadi norma kehidupan masyarakat.

Amat menyedihkan budaya fitnah mendapat tempat utama dan dibincangkan oleh masyarakat arus perdana ketika ini. Masyarakat juga sudah tidak lagi segan silu memfitnah antara satu sama lain.

Mengikut undang-undang, fitnah boleh dilakukan melalui percakapan, dibuat dengan tulisan ataupun isyarat.

Mangsa fitnah pula berhak mendapat pembelaan di mahkamah dalam dua keadaan iaitu dengan mendapat gantirugi atau pampasan terhadap perbuatan yang menjatuhkan nama baik mangsa.

Dalam keadaan yang lain pula, mangsa fitnah juga boleh melaporkan perbuatan fitnah tersebut sebagai suatu kesalahan yang jika sabitannya boleh dijatuhkan hukuman.

Terdapat dua kategori fitnah di dalam undang-undang negara iaitu libel yang bermaksud kata-kata yang disajikan dalam bentuk kekal yang biasanya terlihat oleh mata, seperti dalam sebuah buku, e-mel atau gambar.

Manakala slander pula bermaksud kata-kata yang disajikan dalam bentuk sementara. Biasanya ketika diucapkan atau dibuat dengan gerakan tubuh yang boleh merendahkan martabat seseorang.

Dalam kes sivil, kes fitnah dimulakan apabila seseorang mangsa menyaman seorang yang lain di bawah Akta Fitnah 1957 bagi mendapat perintah halangan ataupun gantirugi.

Dalam kes jenayah pula apabila pendakwa mendakwa seseorang kerana melakukan jenayah fitnah sebagaimana yang terdapat di dalam Seksyen 499 hingga 502 Kanun Kesiksaan.

Islam mempunyai kaedah lebih ketat bagi memastikan kebenaran sesuatu berita supaya tidak terperangkap dengan berita berunsur fitnah. Ia sebagaimana firman Allah bermaksud: Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasiq membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan. (al-Hujurat: 6)

Berdasarkan ayat di atas fitnah adalah penistaan yang perlu dibendung dan dikawal dari awal lagi oleh orang Islam. Mempercayai sesuatu berita fitnah tanpa menyiasat kebenarannya akan menjadikan seseorang itu menghakimi seseorang yang lain dengan kejahilan dan prasangka.

Dalam perundangan Islam fitnah terjadi pada zaman Rasulullah iaitu terhadap Saidatina Aisyah. Amat besar bahaya fitnah terhadap kelangsungan dakwah Rasulullah sehingga Allah telah membersihkan nama Aisyah dengan menurunkan beberapa ayat di dalam surah an-Nur menjelaskan kesucian Aishah. (rujuk ayat 12-16 surah an-Nur)

Pada akhir tahun 34 Hijrah pula, pemerintahan Islam dilanda fitnah. Sasaran fitnah itu adalah terhadap Saidina Uthman hingga mengakibatkan beliau terbunuh tahun berikutnya.

Saidina Ali bin Abi Talib bermati-matian membela Saidina Uthman dan menyangkal tuduhan fitnah terhadap Saidina Uthman.

Antara fitnah terhadap Saidina Uthman adalah beliau membakar mushaf-mushaf, sembahyang tidak diqasar sewaktu di Mekah, mengkhususkan sumber air untuk kepentingan diri sendiri dan mengangkat pejabat daripada kalangan generasi muda. la juga mengutamakan kemudahan untuk Bani Umayyah (golongannya) melebihi orang lain.

Saidina Ali, mempertahankan Uthman dengan berkata: “Mushaf-mushaf yang dibakar adalah yang mengandungi perselisihan dan yang ada sekarang ini adalah yang disepakati bersama kesahihannya. Adapun sembahyang yang tidak diqasar sewaktu di Mekah, adalah kerana dia berkeluarga di Mekah dan dia berniat tinggal di sana. Oleh kerana itu solatnya tidak diqasar. Adapun sumber air yang dikhususkan itu adalah untuk ternak sedekah sehingga mereka besar. Bukan untuk ternak unta dan domba miliknya sendiri.

“Umar juga pernah melakukan ini sebelumnya. Adapun mengangkat pejabat dari generasi muda, hal ini dilakukan semata-mata kerana mereka mempunyai kemampuan dalam bidang-bidang tersebut.

“Rasulullah SAW juga pernah melakukan ini hal yang demikian. Adapun beliau mengutamakan kaumnya, Bani Umayyah, kerana Rasulullah sendiri mendahulukan kaum Quraisy daripada bani lainnya. Demi Allah seandainya kunci syurga ada di tanganku, aku akan memasukkan Bani Umayyah ke syurga.”

Berahsia menasihati pemimpin

Saidina Ali mempertahankan Uthman walaupun beliau adalah Khalifah selepas Uthman. Saidina Ali tidak cuba menjatuhkan Saidina Uthman yang menjadi Khalifah dengan menabur fitnah. Bukan matlamat untuk merampas kuasa menjustifikasikan membuat fitnah.

Berbalik kepada kisah Saidatina Aisyah yang difitnah termasuk oleh Hassan bin Thabit yang sangat berpengaruh tetapi terjebak dalam mempercayai fitnah terhadap Aishah.

Anak saudara Aisyah iaitu Urwah bin Zubair al Awwam yang sudah tidak tahan dengan fitnah tersebut mengadu kepada Aisyah. Namun Aisyah menjawab: “Anak saudaraku, biarkanlah dia. Dia pernah membela Rasulullah dengan syairnya.”

Begitulah cara Aisyah melihat pada Hassan. Keseluruhan hidupnya adalah mulia, tetapi satu ketika dia melakukan kesilapan, namun itu bukan alasan untuk merendahkannya. Aisyah telah membela Hassan ketika dia dicemuh oleh anak saudaranya.

Jelaslah dalam Islam ada cara memerangi fitnah sehinggakan orang yang difitnah juga membela orang yang memfitnah itu atas kesedaran dan keinsafan di dalam agama. Berbeza dengan apa yang berlaku sekarang. Fitnah dilawan dengan fitnah lain yang akhirnya akan menjadikan masyarakat awam yang terkeliru.

Dalam keghairahan menegur kesilapan pemimpin ramai kalangan kita yang terlalu obses mahu mengenengahkan kesalahan pemimpin. Sudah tiada adab lagi dalam menegur pemimpin pada ketika ini.

Sebenarnya Islam mengajar kita berahsia semasa menasihati pemimpin. Sama ada pemimpin di peringkat persatuan ataupun pemimpin negara. Ini penting demi mengelak tersebarnya rasa tidak puas hati dalam organisasi.

Kita boleh mengambil iktibar peristiwa Rasulullah membahagikan harta rampasan perang. Baginda tidak memberinya pada seorang sahabat yang baru memeluk Islam bernama Ju’ail bin Suraqah.

Mungkin baginda tidak menyedarinya ataupun ada sebab yang lain. Sa’ad ibn Abi Waqqas berkata: “Aku pergi berjumpa Rasulullah SAW dan memberitahunya perlahan-lahan mengapa baginda tidak memberi pada si Ju’ail itu. Demi Allah, saya kira dia seorang yang beriman.”

Dalam mengulas riwayat ini Ibn Hajar menegaskan bahawa memberi nasihat secara rahsia lebih baik dari secara terang-terangan. Ia menjadi wajib bila secara terang-terangan itu menimbulkan fitnah.

Adalah suatu yang haram memberi nasihat secara terbuka kepada seorang pemimpin. Semasa zaman para sahabat pula terdapat salah seorang amir yang melakukan kesilapan.

Lalu orang pun bertanya kepada Usamah bin Zaid, pemimpin tentera menentang Rom, mengapa dia tidak menegur amir tersebut. Lalu dijawab Usamah: “Anda menyangka saya tidak berbincang dengannya. Saya sering berbincang dengannya secara tertutup. Saya enggan membuka pintu fitnah dengan menegurnya secara terbuka.”

Dalam hal ini, menegur pemimpin negara secara terang-terangan bukanlah perkara yang amat dianjurkan oleh Islam kerana terdapat ruang-ruang dialog dan perbincangan.

Selagi ruangan ini masih tidak disekat oleh pemimpin masyarakat umum hendaklah menggunakan segala ruang dan peluang yang ada bagi menasihati pemimpin dengan cara yang dianjurkan itu.

Ia bagi memelihara keamanan dan kepentingan negara dikekalkan.

 

Kategori:Uncategorized
  1. Tiada komen.
  1. No trackbacks yet.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: