Arkib

Archive for Julai 2011

~ aura citra Ramadhan ~

30 Julai 2011 2 comments

MASA berlalu pantas meninggalkan kita sehingga tidak terasa Ramadan menjelang lagi dengan cabaran baru bakal ditempuhi setiap Muslim. Sunnatullah terhadap masa yang berlalu dan bakal mendatang akan terus dirasai sehinggalah tibanya hari penentuan. 

Ramadan adalah bukti Allah memuliakan hambanya dengan rahmat dan keampunan. Tanda keimanan jelas terpancar pada wajah mereka yang beriman menandakan kegirangan menyambut bulan mulia ini.

Sabda Nabi SAW bermaksud: “Sesiapa bergembira apabila datangnya Ramadan, Allah akan mengharamkan jasadnya daripada api neraka.” (Al-Hadis).

Allah juga menyebut mengenai iman pada permulaan ayat puasa dalam firman bermaksud: “Wahai orang beriman, diwajibkan ke atas kamu menunaikan ibadat puasa seperti mana diwajibkan ke atas mereka yang datang sebelum kamu semoga kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183). 

Ibadat puasa dilakukan dengan penuh keikhlasan bagi menyahut seruan Allah serta menuntut keredaan-Nya menunjukkan keimanan seseorang. Hadis menyebut ibadat semua anak Adam adalah untuk dirinya kecuali puasa kerana puasa adalah untuk Allah dan Allah melipatgandakan pahala mengikut kehendak-Nya. 

Pembersihan jiwa serta pencetus amalan kebaikan wujud melalui ibadat puasa yang dilakukan bersungguh-sungguh.

Sabda Baginda SAW bermaksud: “Sesiapa berpuasa dengan penuh keimanan dan kesungguhan akan mendapat keampunan dari segala kesalahan dilakukan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). 
Jelaslah jiwa bersih daripada dosa akan melahirkan amalan baik dan mulia. Doa berterusan pada Ramadan amat digalakkan Allah sehingga ada ayat menyebut mengenai doa disusun selepas datangnya ayat puasa. 

Firman Allah bermaksud: “Apabila hambaku berdoa, maka aku amat hampir kepadanya.” (Surah al-Baqarah, ayat 186).

Ramadan diserikan lagi dengan pembebasan umat daripada musuh utama mereka iaitu syaitan dan pintu langit dibuka seluas-luasnya untuk menerima amalan kebajikan dilakukan. 

Sabda Nabi SAW: “Apabila tibanya Ramadan, dibuka pintu langit dan ditutup pintu neraka serta syaitan dibelenggu pada bulan itu.” (Hadis sahih). 

Orang beriman berhak mendapat keampunan dan janji syurga disebabkan kejayaan mengekang hawa nafsu yang sentiasa menginginkan kelazatan. Ulama menyebut kelazatan dunia empat perkara utama iaitu makan, minum, tidur dan bersetubuh. 

Bersempena Ramadan yang diturunkan al-Quran, maka puasa dan al-Quran memberi syafaat kepada umat pada hari kiamat. Sabda Baginda SAW bermaksud: “Puasa dan al-Quran memberi syafaat kepada tuannya pada Hari Kiamat.” (Al-Hadis). 

Ada riwayat menyebut, puasa akan menjadi saksi dengan berkata: Aku menghalangnya daripada makan dan minum pada Ramadan dan al-Quran berkata: Aku mengurangkan tidurnya. Maka kedua-duanya akan memohon syafaat daripada Allah untuk mereka yang berpuasa. 

Imam Malik yang juga ahli hadis terkenal meninggalkan pengajaran hadisnya dan beralih kepada tilawah al-Quran apabila tibanya Ramadan. 

Fakir miskin, anak yatim dan ibu tunggal sudah mula tersenyum kerana tangan mulia akan menghulurkan bantuan kerana gandaan pahala pada Ramadan. Semua kebajikan itu menolak bencana dan bala kerana sedekah akan memadamkan api kemurkaan Allah. 

Malam Ramadan dihiasi solat tarawih yang tiada pada bulan lain dan padanya ada satu malam lebih baik dari seribu bulan iaitu malam lailatul qadar. 

Diriwayatkan oleh Anas: “Sesiapa yang menghadirkan diri ke majlis ilmu pada Ramadan, Allah akan menulis pahala ganjaran pada setiap langkah selama setahun dan mereka yang berterusan solat berjemaah akan disediakan baginya sebuah singgahsana dipenuhi nikmat bagi setiap rakaat dilakukan.” (Hadis Fadilat Amalan). 

Marilah kita memanfaatkan Ramadan kali ini dengan ibadat berterusan dan memastikan kelainan berbanding tahun lalu. 

 

Advertisements
Kategori:Uncategorized

~ mungkinkah Ramadhan terakhir? ~

SEMINGGU lagi kita akan menyambut Ramadan dan diharap semua Muslimin di seluruh penjuru dunia mendoakan kedatangan bulan mulia ini akan membawa kebaikan terutama kedamaian serta perpaduan umat Muhammad. 

Masih ramai Muslimin, di Palestin, Chechnya, Kashmir, Turkestan Timur, Indonesia dan beberapa negara lain memasuki Ramadan ini dalam suasana kekerasan, konflik serta perang.

Keinginan mereka yang tidak berdosa yang terjebak dalam kemiskinan, kelaparan dan wabak penyakit ialah mereka ingin kedamaian, perpaduan serta hidup dalam suasana aman tanpa gangguan untuk beribadah pada Allah.

 

Alangkah bersyukurnya kita menyambut Ramadan dengan ketenangan dan semoga segala permasalahan yang muncul berakhir. Oleh itu, Muslimin harus bersatu dan menjadikan al-Quran panduan kehidupan. 

Ramadan adalah bulan yang berlimpah pahala seperti digambarkan dalam al-Quran dan dianugerahkan pada bulan ini satu malam yang lebih baik daripada seribu malam, supaya umat Islam berlumba-lumba mendapatkan ganjaran seperti dijanjikan. 

Menunaikan kewajipan berpuasa untuk mencapai reda Allah bukti keimanan yang kuat, kesucian jiwa, keikhlasan hati dan rasa takut kepada Allah. Puasa adalah suatu bentuk penyembahan khusus antara hamba dan Allah kerana hanya Allah mengetahui niat, keikhlasan, kemurnian dan perhatian hamba-Nya. 

Sebab itu rahsia dan pahala puasa itu hak Allah untuk menentukannya berdasarkan niat serta kesungguhan seseorang itu berpuasa kerana ada juga yang berpuasa tetapi akhirnya mendapat lapar dan dahaga saja. 
Rasulullah SAW memberi berita yang menggembirakan kepada umatnya dalam hadis yang bermaksud: “Sungguh! Berbahagialah bagi orang yang melalui bulan (Ramadan) ini dengan berpuasa, beribadah dan melakukan amal kebaikan (amal salih).” 

Allah menyampaikan kewajipan berpuasa dalam firman yang bermaksud: “Hai orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa seperti mana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa. (Surah al-Baqarah, ayat 183) 

Kebiasaannya apabila orang besar datang berkunjung ke kawasan atau kampung kita, sambutan rapi lagi terperinci akan dilakukan bagi menyambut tetamu terhormat itu. 

Sebenarnya, layanan sama patut diberi kepada Ramadan mulia yang datang setahun sekali, malah datang bersama pelbagai ganjaran sukar untuk ditolak bagi mereka bersedia memenuhi tuntutan serta syarat ibadat puasa yang sempurna. 

Muharam yang disambut sebagai tahun baru Islam tidak disebut dalam al-Quran, begitu juga Syawal iaitu bulan perayaan umat Islam tetapi Ramadan disebut serta diingatkan akan kelebihan serta kemuliaannya supaya umat Islam tidak ketinggalan menyambut kehadirannya. 

Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Jika umatku mengetahui apa ganjaran yang ada pada Ramadan nescaya mereka mengharapkan tiap-tiap bulan dalam setahun itu dijadikan Ramadan.” 

Masalahnya, orang kita belum lagi Ramadan tiba, sudah sibuk berkira mengenai hari raya, tempahan baju raya sudah dibuat sebulan dua lalu, ada yang sudah bercadang membeli langsir dan sofa baru. 

Bukan menghalang tetapi persiapan menyambut raya biarlah seiring dengan persiapan menyambut Ramadan, meningkatkan ilmu mengenai ibadat puasa dari segi ilmu, hukum dan amalan baik yang digalakkan seperti membanyakkan baca al-Quran serta menunaikan amalan sunat lain. 

Persediaan dari sudut kesihatan juga penting kerana badan yang sihat membolehkan kita beribadah dengan selesa. Ini termasuk menjaga makan, tidur mencukupi, supaya dapat menunaikan solat tarawih dan qiamullail. 

Sementara persediaan dari sudut kewangan, bagi yang bekerja makan gaji, simpanlah sedikit gaji bulan ini untuk bersedekah pada Ramadan nanti kerana sedekah RM1 di bulan lain tidak sama pahalanya bersedekah pada Ramadan. 

Banyak lagi perlu dilakukan supaya kehadiran Ramadan kali ini menjanjikan rahmat Allah serta berjaya mempertingkatkan keimanan kepada Allah. Jangan nanti, Ramadan berlalu tetapi kita tetap di tahap sama, tiada perbezaan apatah lagi peningkatan iman. 

 

Kategori:Uncategorized

~ mengiktiraf kepelbagaian ~

PENCIPTAAN manusia oleh Allah SWT adalah sesuatu yang amat menakjubkan. Walaupun hanya diciptakan daripada tanah liat dan seterusnya ditiupkan roh namun manusia adalah makhluk yang terbaik.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: (Ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku akan menciptakan manusia daripada tanah. Maka apabila telah Ku sempurnakan kejadiannya dan Ku-tiupkan kepadanya roh (ciptaan)Ku; maka hendaklah kamu tersungkur dengan bersujud kepadanya. (Sad: 71-72)

Selepas kejadian Adam, diciptakan pula ibu bagi sekelian manusia iaitu Hawa sebagai teman hidup kepada Adam. Daripada kedua-duanya dikembangbiakkan keturunan manusia.

Allah menyatakan perkara ini melalui firman-Nya dalam ayat 1 surah al-Nisa’.

Sayyid Muhammad Qutb, seorang pemikir Islam yang terkenal menghubungkan kejadian manusia secara keseluruhannya dengan beberapa gambaran yang boleh menyentuh perasaan.

Antaranya keperluan manusia kembali kepada ajaran Allah, hakikat kejadian manusia yang berasal daripada rahim yang satu, akhirnya berkembang biak menjadi pelbagai golongan.

Mereka sepatutnya kembali bersatu dalam tunduk dan patuh kepada-Nya dalam urusan kehidupan.

Semua manusia diciptakan Allah daripada keturunan yang satu, iaitu Adam. Justeru mereka perlulah berusaha untuk menjadi hamba Allah yang taat dan patuh kepada-Nya.

Manusia diciptaka dalam kepelbagaian sebagai sunnah Allah. Kepelbagaian itu patut diterima sebagai sesuatu yang baik. Walaupun ada golongan yang cenderung mentafsirkannya secara negatif dan menjadikannya alasan untuk terus berselisih.

Sesungguhnya Islam sejak mula diturunkan mengiktiraf secara eksklusif maruah dan martabat manusia. Islam juga menerima hakikat manusia itu hidupnya berlainan agama, sistem kepercayaan dan nilai.

Islam memberi garis panduan tatacara hubungan sesama Muslim dan menjalin hubungan bersama dalam membina kehidupan.

Manusia memiliki akal, personaliti, kesedaran diri, justeru mereka mampu membezakan dirinya berbanding makhluk-makhluk yang lain. Dengan akallah mereka dapat mencapai peradaban yang tinggi.

Kaum dan warna kulit dalam Islam tidak dijadikan dasar untuk diberikan sokongan atau bantuan, tetapi yang menjadi dasar dalam Islam ialah kebenaran dan keadilan.

Jika memperjuangkan kebenaran, maka mereka hendaklah disokong, meskipun daripada kaum dan menggunakan bahasa yang berbeza. Demikianlah sebaliknya.

Di alam ini ada pelbagai etnik atau kaum yang menghuni seluruh pelosok muka bumi dengan pelbagai budaya, bangsa, warna kulit dan agama.

Manusia sebagai makhluk sosial selalunya lebih menekankan hak-hak peribadi dan membangunkan sifat ego, autoriti dan lain-lain yang berpusat kepada kepentingan diri dan mengabaikan kepentingan orang lain. Ini adalah sifat yang tercela dalam pandangan Islam.

Oleh itu sifat terbuka, berlapang dada dan kesudian untuk saling memaafkan adalah sangat dipuji. Justeru gabungan antara hak peribadi dan kepentingan sosial itu menghasilkan jalan tengah seperti wasat, qist dan ‘adl yang sering diungkapkan dalam al-Quran.

Islam tidak menafikan semangat kepelbagaian yang melibatkan masyarakat pelbagai etnik, agama dan budaya hidup aman damai dan saling berdampingan.

 

Kategori:Uncategorized

~ Keistimewaan Nisfu Syaaban ~

Syaaban antara bulan mulia di sisi Allah SWT. Ia bulan yang membawa keberkatan, nikmat dan kesejahteraan bagi umat Islam seluruhnya. Dalam sebuah hadis riwayat Ahmad dan an-Nasa’i daripada Usamah bin Zaid RA, beliau berkata: “Aku bertanya Rasulullah SAW mengenai bulan Syaaban kerana aku tidak pernah melihat Baginda banyak berpuasa sunat seperti Baginda berpuasa pada bulan Syaaban. Baginda SAW menjawab, bulan di mana banyak manusia yang lalai dan padanya ialah bulan antara Rejab dan Ramadan. Pada bulan Syaaban, akan diangkat segala catatan amalan hamba kepada Allah SWT. Dengan itu aku amatlah suka supaya diangkatkan segala amalanku ketika aku sedang berpuasa.” 
Dalam riwayat an-Nasa’i daripada Saidatina Ummu Salmah pula berkata: “Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW berpuasa dua bulan berturut-turut melainkan Syaaban dan Ramadan.” Begitulah kelebihan Syaaban. 

Namun perlu diingat, Imam an-Nawawi meletakkan satu bab dalam kitab beliau Riadus Sholihin iaitu bab mengenai larangan mendahulukan Ramadan dengan berpuasa sesudah Nisfu Syaaban (pertengahan Syaaban) kecuali bagi orang yang biasa berpuasa atau membiasakan Isnin dan Khamis. Seperti hadis riwayat at-Tirmizi daripada Abu Hurairah ra, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila sudah sampai pada pertengahan Syaaban, maka janganlah kamu sekalian berpuasa”. 

Mengenai malam nisfu Syaaban lagi iaitu seperti yang disebut dalam sebuah hadis riwayat Ibnu Hibban daripada Muaz bin Jabal ra bahawa Rasulullah bersabda: “Allah SWT melihat kepada hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban dan Allah memberikan pahala kepada seluruh hamba-Nya melainkan mereka yang melakukan kesalahan syirik dan orang yang berzina.” 

Dalam hadis lain riwayat Ahmad daripada Abdullah bin Amru bin al-As bermaksud: “Allah SWT memandang kepada makhluk-Nya pada malam Nisfu Syaaban lalu diampuni dosa hamba-Nya kecuali dua orang, iaitu orang yang membunuh diri dan orang yang menyebarkan fitnah.” 

Dalam Syaaban juga, banyakkan taubat, berzikir, berdoa, membaca al-Quran, selawat dan sebagainya. Diriwayatkan daripada Umamah al-Bahili ra, berkata Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Bila masuk Syaaban, ceriakanlah dirimu dan perbaikilah niatmu.” Begitu juga hadis yang lain: “Sesiapa yang mengagungkan Syaaban, bertakwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri daripada perbuatan maksiat, maka Allah mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit.” 

Selain itu, dalam Syaaban juga berlaku peristiwa besar, iaitu pertukaran arah kiblat. Peristiwa ini satu tamparan hebat kepada kaum Yahudi yang selama ini begitu berbangga dengan kiblat mereka, iaitu Baitulmaqdis sehingga mereka mencemuh dan mengejek umat Islam kerana terpaksa bergantung dan mengikut mereka walaupun dalam menentukan arah solat pada ketika itu. Inilah sebenarnya konsep ketaatan dan kepatuhan yang mutlak hanya kepada Allah SWT dalam apa juga keadaan dan tidak boleh disamakan dengan ketaatan kepada makhluk. Peristiwa ini ada disebut al-Quran dalam surah al-Baqarah ayat 143. Begitulah secara ringkasnya. Wallahua’lam.

 

Kategori:Uncategorized

~ dunia baru Islam ~

20 Julai 2011 2 comments

PERKEMBANGAN Islam di dunia Barat kebelakangan ini agak pesat. Mengikut kajian, dalam setiap empat warga barat seorang daripadanya adalah Muslim. Bukanlah mustahil bahawa jumlah penduduk Muslim akan terus bertambah dan Islam akan menjadi agama terbesar di dunia suatu masa nanti.

Peningkatan terus menerus itu bukan kerana jumlah penduduk yang makin bertambah di negara-negara Muslim, tapi jumlah mereka yang memeluk Islam terus meningkat.

Ia merupakan satu fenomena yang menonjol terutama selepas serangan terhadap World Trade Center di New York pada 11 September 2001.

Serangan ini yang dikutuk oleh setiap orang terutama umat Muslim, tiba-tiba telah mengarahkan perhatian orang (khususnya warga Barat) kepada Islam.

Orang di Barat selalu bercakap mengenai agama Islam, macam manakah Islam itu, apakah yang dikatakan al-Quran, kewajipan apakah yang harus dilaksanakan sebagai seorang Muslim, dan bagaimanakah kaum Muslim dituntut melaksanakan urusan dalam kehidupan hariannya.

Daya tarikan itu secara semula jadi mendorong peningkatan jumlah warga dunia yang berpaling kepada Islam.

Antara perkiraan umum yang terdengar pasca selepas peristiwa 11 September itu adalah: “Serangan ini akan mengubah era sejarah dunia.” Nyata ia telah mulai nampak kebenarannya.

Proses kembali kepada nilai-nilai agama dan spiritual yang dialami dunia sejak sekian lama telah mengubah wajah dunia dan berpaling kepada Islam.

Islam di barat berada pada titik perkembangan yang pesat.

Ini dibuktikan oleh laporan-laporan tesis, tulisan sekitar Kedudukan Muslim di Eropah‘ danDialog antara masyarakat Eropah dan umat Muslim‘.

Suatu kisah yang ditayangkan oleh NTV News pada 20 Jun 2004 dengan judul Islam adalah agama yang berkembang pesat di Eropah membahas laporan yang dikeluarkan oleh Badan Perisikan Domestik Perancis.

Laporan tersebut menyatakan jumlah orang yang memeluk Islam di negara-negara Barat bertambah terutama pasca serangan 11 September. Di Perancis sahaja ia meningkat sebanyak 30,000 hingga 40,000 pada tahun 2009.

Jumlah umat Islam di Eropah akan meningkat menjadi 20 peratus menjelang tahun 2050 seperti yang dilaporkan oleh kajian mengenai Euro-Islam dalam jurnal Current History oleh William Finan. Pada ketika ini terdapat 72 juta orang Islam di Turki.

Perangkaan dan kajian menunjukkan beberapa negara Kesatuan Eropah (EU) seperti Britain, Sepanyol dan Belanda akan mempunyai penduduk Muslim yang lebih tinggi dalam tempoh terdekat.

Perangkaan tahun 2008 menunjukkan lima peratus daripada keseluruhan jumlah penduduk di 27 negara Eropah terdiri daripada kalangan umat Islam.

Philip K. Hitti dalam bukunya Orang Arab: Sejarah Ringkas (The Arabs: A Short History)menukilkan seperti berikut: “Orang Islam Sepanyol mengarang salah satu daripada bab-bab yang gemilang dalam sejarah intelektual pada zaman pertengahan Eropah.

Di antara pertengahan abad kelapan dan permulaan abad ke-13, orang Arab merupakan pemimpin utama dalam budaya dan peradaban di seluruh dunia. Mereka merupakan perantaraan untuk memulih, menambah dan menyebarkan sains dan falsafah yang telah merubah pembaharuan di Eropah Barat.”

Pada tahun 2008 direkodkan Rusia mempunyai jumlah orang Islam paling ramai di Eropah, iaitu kira-kira 27.04 juta, Perancis (6.12 juta), Jerman (3.05 juta), Itali (2.4 juta), Belanda (890,000), Sepanyol (550,000), Belgium (380,000), Austria (300,000), Sweden (280,000) dan beberapa negara Eropah lainnya yang terus mencatatkan peningkatan jumlah umat Islam di sana.

Kebanyakan Muslim di Eropah terdapat di bandar-bandar besar seperti 25 peratus di Rotterdam dan 24 peratus di Amsterdam (Belanda), 20 peratus di Marseille (Perancis), 17 peratus di Brussels (Belgium), 16 peratus di Bradford (UK), dan 10 peratus di Paris, London dan Copenhagen.

Seorang sarjana falsafah dan pengajian Islam di Switzerland, Tariq Ramadan dalam tulisannya mengenai peningkatan jumlah umat Islam di Eropah berpendapat, Islam kini telah menjadi sebahagian daripada budaya benua itu.

Masyarakat Islam di Eropah bukan lagi pendatang yang kemudian kembali semula ke negara asal mereka, tetapi ia telah menjadi warganegara Eropah yang beragama Islam.

Sarjana Barat tersohor, John Esposito, yang merupakan Pengasas Majlis Persafahaman Islam – Kristian di Washington, Amerika Syarikat (AS) pula berpendapat, Islam bukan saja agama kedua terbesar secara global, tetapi juga agama kedua atau ketiga terbesar di Eropah dan Amerika.

Ini akan membuka peluang dan ruang lebih besar kepada Islam untuk berkembang pesat di seluruh dunia.

Organisasi Muslim di AS juga memang banyak. Antaranya:

lPersatuann Masyarakat Islam Amerika pengganti Nation of Islam yang lebih dikenali sebagaiBlack Muslim.Persatuan Masyarakat Islam Amerika Utara pula adalah organisasi Muslim dan perseorangan untuk mewakili Islam.

lLingkaran Islam Amerika Utara adalah kelompok Islam yang tidak memandang kesukuan, terbuka bagi semua dan mandiri. Kelompok ini dibentuk oleh pendatang kulit putih dan Afro Amerika yang masuk Islam. Kelompok ini sedang pesat berkembang yang juga disebut sebagai Muslim muda.

lAmerican Society of Muslim Islamic Supreme Concil of America (Dewan Tertinggi Muslim Amerika) iaitu mewakili ramai Muslim AS. Tujuannya, menyediakan penyelesaian bagi Muslim AS yang berlandaskan hukum Islam dan bekerja keras untuk mengintegrasikan ajaran Islam dalam menyelesaikan isu-isu demi memelihara keyakinan Islam di tengah masyarakat sekular.

Menurut laporan Lembaga Kajian Pew 2007, dua pertiga Muslim AS adalah keturunan asing. Ada antara mereka berhijrah ke AS sejak tahun 1990. Sepertiga daripada Muslim AS adalah penduduk asli yang menganut Islam dan keturunan Afro Amerika.

Sementara itu, New York Times pada 2005 melaporkan lebih ramai orang dari negara-negara Muslim menjadi penduduk AS di mana hampir setiap tahun seramai 96,000 orang menganut Islam berbanding dua dekad sebelumnya.

Dalam pada itu, Pope Benedick XVI khuatir apabila 100,000 orang Jerman turut meninggalkan agama asal mereka untuk memeluk Islam setiap tahun.

 

Kategori:Uncategorized

~ mampu untuk bersatu ! ~

14 Julai 2011 2 comments

KEHIDUPAN dalam seminggu disibukkan lapangan kerjaya dan masih ada lebihan kerja yang perlu dibawa pulang ke rumah menjadikan ruang kehidupan bertambah sempit. Waktu hujung minggu dihabiskan di kompleks beli-belah atau tempat perkelahan. 

Umat Islam semakin lupa dan jauh dari Tuhan, seminggu berakhir dengan tujuan keduniaan melebihi persediaan keperluan akhirat. Fokus kepada ukhrawi tidak lagi diberi perhatian lantaran urusan dunia mengalpakan ruang perhambaan kepada Allah.

Firman Allah yang bermaksud: “Kemudian selepas selesai solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi dan cari apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatkan akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan) supaya kamu berjaya di dunia dan di akhirat.” (Surah al-Jumu’ah, ayat 10) Islam tidak menghalang umatnya mengumpulkan harta asalkan dia tidak meminggirkan pengeluaran zakat dan ruang pengabdian kepada Allah dijaga sebaik mungkin. Harta dicari lebih bermanfaat jika dijanakan bagi menguatkan agama Allah.

Dunia Islam amat bertuah jika ada hartawan membabitkan diri dalam gerakan dakwah kerana lebihan dana atau harta dimiliki boleh digunakan bagi tujuan mengembangkan Islam.

Berjemaah bersama saudara seagama amat digalakkan oleh Rasulullah SAW apatah lagi dengan tujuan beribadat. Sekurang-kurang ada jawapan yang perlu dijawab kepada malaikat yang menyoal siapa mengenai siapa saudara kamu di atas muka bumi.

Membina satu jemaah Islam dalam komuniti masyarakat perlu dimulakan dari sekarang dan masjid adalah landasan terbaik untuk menganjurkan aktiviti yang boleh menghubungkan sesama jiran dalam satu kariah.
Usaha itu juga boleh dilaksanakan dengan menubuhkan unit dakwah atau jemaah ibadat dalam satu kelompok masyarakat setempat. Penyertaan pelbagai golongan dan lapisan masyarakat dalam satu jemaah mampu menguatkan kekuatan umat Islam.

Gabungan itu juga memudahkan usaha semua pihak dalam mengatasi cabaran termasuk menangani masalah sosial yang berlaku dalam komuniti kerana apabila wujud perasaan tanggungjawab, semua akan bersedia melakukan tindakan sepatutnya.

Islam bertukar menjadi kuasa besar pada zaman Rasulullah SAW di Madinah adalah contoh terbaik bagaimana berjayanya konsep jemaah dalam membantu membangunkan umat Islam dalam pelbagai bidang.

Malah, usaha untuk mempertingkatkan kualiti hidup serta daya saing sesebuah masyarakat juga dapat dilaksanakan apabila seluruh ahlinya bersatu padu serta memikul amanah dengan rasa tanggungjawab.

Pada masa sama, persoalan mengenai akhirat juga dapat diterapkan secara langsung apabila pelbagai aktiviti keagamaan dapat dianjurkan serta mendapat sokongan semua pihak. Maka dengan itu akan wujud keseimbangan mencari kebaikan di dunia serta akhirat.

Kebanyakan jemaah yang berjaya kerana mereka berkongsi misi serta visi malah bersedia berkorban supaya setiap ahlinya tidak terpinggir daripada segala manfaat. 

Perlu diingat, setiap apa yang diusahakan manusia akan diperlihatkan Allah di akhirat kelak untuk diberi ganjaran setimpal. Kejayaan membina satu jemaah Islam yang akhirnya dapat membendung pelbagai penyakit serta keruntuhan sosial dalam masyarakat antara usaha boleh dipersembahkan di hadapan Allah.

Hidup keterasingan dari jemaah Islam boleh melalaikan dan melekakan seseorang kepada Allah, apatah lagi tugas dan kewajipan mencegah kemungkaran sudah pasti tidak boleh dilaksanakan secara sendirian. 

Firman Allah yang bermaksud: “Dan bahawa sesungguhnya tidak ada bagi seseorang melainkan apa yang diusahakannya. Dan bahawa sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan kepada-Nya pada hari kiamat kelak. Kemudian usahanya itu akan dibalas dengan balasan yang amat sempurna.” (Surah an-Najm, ayat 39-41) 

 

Kategori:Uncategorized

~ Promo Program Dialog Orang Muda ~

PROGRAM DIALOG ORANG MUDA : ISU SEMASA MALAYSIA.
BERSAMA DELEGASI PERSATUAN PEGUAM-PEGUAM MUSLIM MALAYSIA (PPMM)

TARIKH : 18 JULAI 2011 (ISNIN)

MASA : 8.15 MALAM (SELEPAS MAGHRIB)

ANJURAN : PERMATA DAN PPMM.

Hadith :
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:”Sesungguhnya apabila manusia melihat manusia lain melakukan kezaliman lalu dia tidak melarangnya, (maka dikhuatiri Allah akan menimpakan azab-Nya secara umum tanpa ada yang terselamat sama ada yang melakukan kezaliman atau yang melihatnya tanpa mencegahnya.”

 

Abu Daud dan at-Tirmidzi

Kategori:Uncategorized