Arkib

Archive for Ogos 2011

~ minal aidil wal faizin ~

Umat Islam di Malaysia juga di Jordan merayakan Aidilfitri pada 30 Ogos 2011 yang jatuh pada hari Selasa.

Hari Raya Aidilfitri dirayakan oleh umat Islam di seluruh dunia dengan membawa satu sikap, jiwa dan tindakan yang menunjukkan keperibadian serta identiti umat itu sendiri.

Bersandarkan aspek sejarah, ketika Rasulullah berhijrah ke Madinah, Baginda melihat masyarakat Madinah merayakan dua Hari Raya yang mereka warisi sejak zaman jahiliah lagi.

Perayaan tersebut adalah Nairus dan Nahrajan iaitu hari besar yang berasal dari zaman Parsi Kuno. Perayaan ini dirayakan dengan mengadakan pesta, majlis tari-menari, meminum minuman yang memabukkan serta hidangan juadah yang mewah serta pelbagai.

Justeru, sebagai seorang pemimpin, Rasulullah SAW melihat jauh ke hadapan dan sentiasa mengambil kira faktor psikologi yang subur di kalangan masyarakat ketika itu. Atas dasar itulah, baginda mengubah sambutan perayaan itu supaya memberi manfaat kepada orang ramai serta menjadi ibadah.

Baginda Rasulullah menetapkan dua jenis hari besar yang perlu dirayakan oleh umat Islam iaitu seperti yang dijelaskan oleh hadis yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menukar kedua Hari Raya dengan hari besar yang lebih baik iaitu Hari Raya Aidil Adha dan Aidilfitri”. (riwayat Abu Daud dan an-Nasai)

Nikmat perundangan Aidilfitri itu juga disebut sebagai suatu Ilahi. Suatu nikmat besar yang menjadi asas kepada ciri-ciri pembinaan kemanusiaan dan sifat bersatu padu. Malah ia merangkumi asas yang satu iaitu kemurnian rohani, kebenaran dan keadilan, ilmu dan kebijaksanaan serta kebahagiaan dunia dan akhirat.

Hari Raya Fitrah adalah hari kemerdekaan iaitu hari pertama selepas Ramadan di mana orang beriman memperoleh kembali kebebasan diri dan kembali menikmati limpahan rezeki Ilahi selepas sebulan menyerahkan jiwa raga mereka kepada Allah.

Ia adalah hari kegembiraan kerana dapat melaksanakan kewajipan dan berkeyakinan memperoleh pahala yang besar di sisi Allah.

Aidilfitri juga puncak kemenangan manusia dalam pertentangan antara akal dan nafsunya, kerana puasa adalah keupayaan manusia untuk menundukkan dorongan nafsu yang sentiasa cenderung kepada pelanggaran ajaran Islam.

Berhari raya juga bererti kembali kepada jati diri manusia sebagai hamba Allah, kepada fitrah kejadian manusia. Di alam azali lagi iaitu sebelum wujud sebagai manusia, kita telah mengakui keesaan Allah SWT dan berjanji untuk mentaati perintahnya.

Mari kita lihat lebih jauh lagi apakah nilai-nilai yang dapat dipetik daripada peristiwa Aidilfitri ini? Unsur pertama adalah mewujudkan hubungan antara Khalik sebagai pencipta dengan makhluk sebagai objek.

Unsur kedua pula adalah berlegar sekitar hubungan habluminnas atau kasih sayang sesama makhluk.

Unsur pertama dilakukan dengan menghayati kekuasaan dan kebesaran Allah, mengagungkan asma-Nya, mengucapkan kalimah takbir, tahlil dan tahmid iaitu Allahu akbar, la ilaha illallah, wa lillahil hamd yang bermaksud Allah Maha Besar, tiada Tuhan melainkan Allah dan hanya Allah yang berhak menerima puji-pujian.

Kemudian, diikuti dengan sikap merendah diri dengan bersujud kepada-Nya dan melaksanakan solat sunat Hari Raya Aidilfitri.

Unsur kedua terlaksana pada saat menjelang Hari Raya Aidilfitri iaitu dengan menunjukkan simpati kepada kaum yang lemah dan melarat dengan membayar zakat fitrah untuk fakir miskin.

Dalam pada itu umat Islam dituntut mengeratkan hubungan sesama manusia dengan bermaaf-maafan antara satu sama lain.

Gabungan kedua-dua unsur yang terbit daripada hikmah Aidilfitri itulah yang memberikan jaminan menghindarkan umat manusia daripada kehinaan, kehancuran dan perpecahan.

Kunjung-mengunjung

Dalam tradisi kunjung-mengunjung, umat Islam saling mendoakan mudah-mudahan Allah akan menerima segala amal mereka, terutama ibadah puasa yang baru saja selesai dilaksanakan.

Semoga mereka dikurniakan Allah darjat insan muttaqin yang merupakan kesan dan nilai utama daripada ibadah puasa yang dilakukan.

Insan muttaqin adalah satu darjat yang tertinggi dalam kehidupan manusia yang beragama Islam. Insan yang bermakam di darjat ini adalah seorang yang memiliki watak dan sikap takwa.

Sifat takwa itu tidak ubah seperti mutiara yang bersinar-sinar yang dianugerahkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya yang taat menjalankan perintah-Nya dan sentiasa menjauhkan diri daripada larangan-Nya.

Sebenarnya perkataan takwa itu mencakupi seluruh kehidupan di alam maya ini. Antara sifat-sifat orang yang bertakwa (insan muttaqin) adalah pemurah dalam segala keadaan, baik waktu kaya mahupun ketika miskin, bersikap sabar dan tenang menghadapi masalah, pemaaf dan bukan bersifat pendendam, sentiasa berbuat kebajikan, sentiasa memohon keampunan daripada Allah dan menjauhkan diri daripada perbuatan maksiat.

Pergi ke kawasan lapang menunaikan solat Aidilfitri sebagai tanda kemenangan. Orang perempuan, kanak-kanak dan kaum wanita yang uzur akibat haid dan nifas, juga disarankan menghadiri solat Aidilfitri.

Persoalan pokoknya, bagaimanakah cara-cara merayakan hari besar ini yang merupakan sunah nabi?

Kemuncak merayakan Aidilfitri adalah menunaikan solat sunat Aidilfitri sebagai satu cara melahirkan rasa syukur kepada Allah yang telah memberikan kemenangan kepada umat Islam selama berpuasa melawan hawa nafsu.

Jika dilihat dari sudut hukum ubudiyyah, menunaikan solat Aidilfitri hanyalah sunat muakkad, satu sunat yang sangat dituntut.

Lebih-lebih lagi menurut pandangan Islam, Rasulullah telah menganjurkan supaya umat Islam dapat menunaikannya kerana uzur syarie. Sekurang-kurangnya, mereka dapat memanfaatkan khutbah Hari Raya yang dibacakan oleh khatib.

Seorang sahabat pernah bertanya kepada Rasulullah: “Bagaimana kalau kita tidak mempunyai pakaian untuk pergi ke tempat solat Aidilfitri itu?” Rasulullah menjawab: Orang yang mempunyai dua persalinan pakaian hendaklah meminjamkan kepada saudaranya”.

Menurut ketentuan sunah, pada Hari Raya Aidilfitri, kita dianjurkan mengucapkan Taqaballahu minna wa minkum yang bermaksud “mudah-mudahan Allah menerima ibadah puasa yang baru kita laksanakan”.

Selain itu, sudah menjadi kebiasaan kita saling mengucapkan Minal aidin wal faizin yang bererti “mudah-mudahan Allah menjadikan kita orang yang kembali dari medan perang dengan memperoleh kemenangan yang besar”.

Diceritakan bahawa mengucapkan Minal aidin wal faizin itu adalah kebiasaan para sahabat di zaman dahulu kerap mengucapkan kata-kata itu apabila mereka kembali dari medan perang dengan mengibarkan bendera kemenangan.

Dalam satu riwayat, para sahabat Rasulullah bertemu sesama mereka pada Hari Raya Aidilfitri mereka akan mengucapkan “Mudah-mudahan Allah menerima amal kami dan amal kamu.Taqabballahu minna wa minkum“. (riwayat Ahmad).

 

Kategori:Uncategorized

~ hamba Ramadhan vs hamba Tuhan ~

SYUKUR yang tidak terhingga kita panjatkan kepada Allah SWT kerana memberikan peluang sekali lagi dalam hidup kita untuk berada di sepuluh malam terakhir dalam bulan Ramadan.

Ini adalah peluang keemasan untuk kita rebut dan membuat ‘pecutan terakhir’ sebelum Ramadan meninggalkan kita dalam beberapa hari sahaja lagi.

Sahabat-sahabat meriwayatkan bahawa pada sepuluh malam terakhir inilah Nabi SAW dilihat menggandakan amalan baginda, beriktikaf di masjid serta menghidupkan malam-malam dengan qiamullail.

Sehinggakan baginda SAW digambarkan menjauhi seketika isteri-isteri dengan tidak menggauli mereka pada fasa terakhir Ramadan ini.

Aisyah r.a meriwayatkan: Baginda SAW apabila masuk sepuluh malam yang akhir Ramadan, baginda akan menghidupkan malam, membangunkan isteri baginda dan lebih bersungguh-sungguh dalam beribadat. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Lebih-lebih lagi kerana pada 10 malam terakhir inilah ruang yang masih berbaki untuk kita di bulan Ramadan. Bahkan, telah dijanjikan oleh Allah SWT dengan satu malam yang dinamakan sebagai Lailatul Qadr ataupun malam al-Qadr di mana Allah memberi ganjaran pahala beribadat pada malam berkenaan menyamai seribu bulan.

Allah SWT menghuraikan kelebihan malam ini secara jelas dan spesifik sehingga diturunkan sebuah surah mengenainya iaitu surah al-Qadr. Firman Allah SWT yang bermaksud:Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) pada malam al-Qadar. Dan apakah engkau mengetahui (kelebihan) malam al-Qadar? Malam al-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Para malaikat dan (Jibril) turun pada malam itu dengan izin Tuhan mereka membawa segala perkara. Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar. (al-Qadr : 1-5)

Nabi SAW juga memberikan pedoman dan nasihat kepada umat baginda supaya memperbanyakkan bacaan doa sebagaimana jawapannya kepada Aisyah r.a, apabila dia bertanya kepada Rasulullah SAW, Wahai Rasulullah, sekiranya saya berada pada malam al-Qadar, apakah yang patut saya ucapkan. Nabi SAW bersabda: Ucapkan: Allahumma innaka afuwun tuhibbul afwa fa’ fu anni (maksudnya, Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun, yang suka mengampuni, maka ampunilah aku ini).

Walaupun Nabi SAW telah diampunkan dosa-dosa yang telah lalu dan yang akan datang, namun tetap melakukan ibadah melebihi orang yang melakukan dosa besar yang sedang bertaubat.

Air mata baginda SAW tidak pernah kering ketika menadah tangan, merintih di hadapan Allah SWT dengan seribu satu permohonan. Tidak pernah lekang di bibir nabi SAW memohon keampunan kepada umatnya.

Demikian juga para sahabat r.a yang tidak pernah sepi hidup mereka dengan ibadah dan perjuangan. Walaupun sebahagian daripada mereka telah dijamin syurga dan diampunkan dosa-dosa yang lalu.

Jauh sekali sekiranya kita hayati perbezaan antara puasa yang kita kerjakan dengan apa yang dikerjakan oleh Rasulullah SAW serta para sahabat r.a.

Puasa mereka adalah ikhlas semata-mata kerana Allah SWT. Namun, puasa dan ibadah yang kita kerjakan adalah kerana bulan Ramadan, bukannya kerana Allah SWT.

Oleh sebab itu, kita tidak dapat dan tidak mampu meneruskan momentum ibadah puasa selepas berakhirnya Ramadan kerana semua ibadah yang dilakukan adalah hanya untuk tempoh sebulan sahaja.

Benarlah ungkapan Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi yang menyatakan bahawa ada di kalangan umat Islam yang menjadi hamba Ramadan dan bukannya hamba Allah SWT. Sedangkan Ramadan akan berlalu apabila sudah sampai tempohnya. Manakala Allah SWT sahaja yang kekal dan tidak sekali-kali akan lenyap.

Mereka yang benar-benar menjadi hamba Allah SWT akan diterima amalannya. Hamba-hamba yang sebenar adalah apabila melaksanakan segala ibadah, mereka akan lakukannya dengan penuh ketaatan semata-mata kerana Allah SWT, walaupun mungkin mereka gagal mencari hikmah di sebalik pensyariatan ibadah berkenaan.

Justeru, jadilah Rabbaniyyun bukannya Ramadhaniyyun. Pusatkan tumpuan peribadatan kita di bulan Ramadan ini mutlak kepada Allah SWT, bukannya untuk memenuhi tentatif di bulan Ramadan.

 

Kategori:Uncategorized

~ merdekakah kita dari nafsu sendiri ? ~

RAMADAN tahun ini melakarkan sejarah yang tersendiri apabila umat Islam di Malaysia menyambutnya serentak bersama dengan bulan kemerdekaan negara.

Walaupun jarang berlaku, ia sangat signifikan kepada umat Islam di Malaysia dalam menilai dan menghayati erti kemerdekaan negara dalam semangat ibadah Ramadan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183)

Nilai ketakwaan yang ditawarkan oleh Allah SWT adalah manifestasi daripada kehambaan yang jitu kepada-Nya dalam melaksanakan ibadah puasa Ramadan.

Namun apakah kaitannya dengan nilai dan erti kemerdekaan negara Malaysia? Apakah semangat Ramadan itu mampu diterjemahkan seiring dengan semangat kemerdekaan negara kali ini?

Pastinya Ramadan mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan kemerdekaan dalam pelbagai konteks. Ia bermula dengan bagaimana kita sebagai manusia membebaskan diri daripada belenggu penjajahan nafsu dan keinginan diri selama 11 bulan sebelum datangnya bulan Ramadan.

Kemerdekaan dicapai sebaik melangkah ke bulan Ramadan apabila nafsu tersebut dapat ditahan dan dijinakkan dengan amalan dan ibadah yang berterusan.

Segala runtunan nafsu yang selama ini dituruti berjaya dikawal sepanjang Ramadan. Bahkan ditambah dengan amalan-amalan sunat yang berlipat ganda dilakukan demi meraih ganjaran hebat sepanjang bulan berkat ini.

Segalanya dilakukan bagi meraih darjat takwa yang disebutkan oleh Allah SWT.

Kemerdekaan juga diraih dengan kejayaan mengekang sifat bakhil yang ada dalam diri dengan pensyariatan ibadah zakat dan juga galakan bersedekah di sepanjang bulan Ramadan.

Zakat fitrah yang diwajibkan kepada setiap umat Islam tanpa mengira usia menunjukkan betapa perlunya kita sebagai umat Islam menginfaqkan harta yang dimiliki bagi membantu golongan yang memerlukan.

Ini kerana harta adalah milik Allah SWT yang dipinjamkan kepada kita dan sebahagiannya merupakan hak golongan yang memerlukan.

Kewajipan zakat fitrah yang disyariatkan tersebut secara tidak langsung menghapuskan sifat cintakan harta dan mementingkan diri sendiri yang selama ini membelenggu hati manusia.

Sifat bakhil dan kikir di kalangan orang kaya ditundukkan oleh Allah SWT di samping jaminan bantuan kepada golongan yang memerlukan melalui pensyariatan zakat fitrah ini.

Ganjaran yang berlipat ganda juga dijanjikan oleh Allah SWT secara khusus di dalam Ramadan bagi sesiapa yang bersedekah. Ia diterjemahkan sendiri oleh baginda SAW apabila para sahabat mendapati bahawa baginda menjadi seorang yang sangat pemurah di bulan Ramadan berbanding bulan selainnya.

Kemerdekaan yang hakiki sebenarnya tercapai melalui keimanan yang jitu kepada Allah SWT. Keimanan tersebut diterjemahkan dengan pegangan akidah yang mantap yang meyakini bahawa tiada perhambaan sesama manusia.

Perhambaan hanya layak kepada Allah SWT, tuhan yang menciptakan manusia dan Maha Mengetahui apa yang terbaik bagi manusia.

Bertitik tolak dari keyakinan dan keimanan inilah yang menjadi pemangkin kepada gerakan kemerdekaan negara dan akhirnya berjaya mendaulatkan kembali bangsa yang telah dijajah.

Sejarah membuktikan bahawa gerakan awal menentang penjajahan dipelopori oleh golongan agamawan yang meniupkan semangat membebaskan diri dari penjajah.

Tokoh-tokoh pejuang menentang penjajah seperti Datuk Bahaman, Tok Janggut, Dol Said, Mat Kilau dan lain-lain merupakan tokoh agamawan tempatan yang berani menyatakan kebenaran dan berjuang menentang penjajahan berpaksikan ajaran Islam.

Mereka berpegang kepada paksi agama yang tegas menentang penghambaan dan penjajahan sesama manusia kerana jelas menzalimi golongan yang dijajah.

Intipati ayat kelima surah al-Fatihah difahami dengan sebaiknya oleh para pejuang kemerdekaan. Ayat tersebut menegaskan bahawa: Engkaulah sahaja (Ya Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan, dan bukan selain-Nya.

Pastinya Ramadan yang dilalui sepanjang proses menentang penjajahan tersebut menjadi pemangkin kepada penambahan kekuatan dan semangat mereka.

Ia dijadikan bulan mempersiapkan kekuatan dengan bermunajat kepada Allah, merintih dan memohon pertolongan daripada-Nya serta menjadi medan latihan bagi menghadapi dugaan dan cabaran sepanjang menempuhi perjuangan menentang penjajahan.

Lantaran daripada kesedaran agama tersebut, gerakan menentang penjajah diatur agar keadilan yang diwajibkan oleh Islam dapat dilaksanakan serta ditegakkan.

Rentetan daripada siri-siri penentangan penjajahan yang dimulakan oleh golongan agamawan ini diteruskan sehingga akhirnya negara kita berjaya memperoleh kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Kini, setelah hampir 54 tahun kita mencapai kemerdekaan, ia seolah-olah tidak dihargai lagi. Kemerdekaan yang dikecapi suatu ketika dahulu hasil pembebasan daripada penjajahan nafsu yang membelenggu diri, pembebasan diri dari semangat pentingkan diri kepada rela berkorban dan akhirnya memangkin kepada penentangan penjajahan sesama manusia, dilihat tidak wujud lagi.

Pengorbanan, kesusahan dan penat lelah para pejuang kemerdekaan seakan tidak dihargai apabila kita gagal menyelami dan memahami perjuangan mereka. Ucapan kemerdekaan hanya meniti di bibir namun gagal dihayati hikmah dan pengajaran di sebaliknya.

Ramadan kali ini seharusnya menjadi pemangkin kepada umat Islam di Malaysia menghayati kembali semangat kemerdekaan negara dalam konteks ibadah Ramadan.

Ini bermaksud, umat Islam di Malaysia harus bersemangat menghargai dan menyambut kemerdekaan negara di dalam suasana keghairahan melaksanakan ibadah kepada Allah SWT di bulan yang penuh berkat ini.

Ia seiring dengan arahan Allah SWT supaya membebaskan diri daripada segala bentuk penjajahan sama ada secara fizikal mahupun spiritual yang negatif. Malahan sangat bertepatan dengan perjalanan sirah baginda SAW.

Baginda dan para sahabat sentiasa cuba membebaskan diri daripada belenggu penjajahan sama ada secara fizikal iaitu melalui peperangan dan juga spiritual iaitu melalui solat, puasa dan juga pelbagai amal ibadah yang lain yang dilaksanakan dengan berterusan dan bersungguh-sungguh.

Marilah kita bersama menghargai kemerdekaan yang dikecapi dengan mengambil pengajaran dan iktibar di sebalik perjuangan menentang penjajahan tersebut.

Ditambah dengan semangat ibadah Ramadan yang penuh berkat, mudah-mudahan seluruh umat Islam di Malaysia sentiasa istiqamah dalam perjuangan membebaskan diri daripada penjajahan nafsu dan syaitan serta memahami serta mendalami makna dan hikmah di sebalik kemerdekaan negara.

 

Kategori:Uncategorized

~ puasa khusus al-khusus ~

 RASULULLAH SAW bersabda dalam satu hadis riwayat. Sudah jelas bahawa membuka atau mempertontonkan bahagian tubuh yang dapat menimbulkan rangsangan berahi adalah perbuatan yang haram dan haram pula untuk dilihat sama ada sengaja atau tidak sengaja. 

Sememangnya melihat aurat perempuan sekiranya itu pandangan pertama atau pandangan awal, tidaklah berdosa, tetapi pandangan kedua iaitu melihatnya secara sedar atau sengaja iaitu dengan niat melihatnya, itulah yang diharamkan.

Justeru, duduk di hadapan TV atau menonton gambar hidup lainnya yang mengandungi tayangan yang menonjolkan aurat, meskipun tidak sepenuhnya sama ada dengan melihatnya dalam bentuk yang nyata di hadapan mata, namun menonton TV yang mengandungi aksi yang mendatangkan keghairahan atau menonjol aurat adalah perkara buruk yang seharusnya dihindari atau dijauhi. 
Kalau kita melihat kepada takrif puasa iaitu menahan nafsu makan, minum, bersetubuh dan perkara yang membatalkan puasa bermula terbit fajar hingga terbenam matahari yang disertai. Apatah lagi perkara yang haram. 

Menonton tayangan yang menonjolkan aurat atau yang menimbulkan rangsangan bertentangan dengan makna puasa, walaupun ia tidak membatalkan puasa. 
Perkara yang membatalkan puasa dari segi hukum antaranya makan, minum dan melakukan hubungan seks pada siang puasa. Namun demikian, oleh kerana ia bertentang dengan makna puasa, sudah tentu ia mengurangkan pahala puasa.

Imam al-Ghazali membahagikan puasa kepada tiga tahap iaitu puasa umum, puasa al-Khusus dan puasa khusus al-Khusus. 

Tahap pertama adalah tahap puasa orang awam iaitu menahan perut dan kemaluan dari mengikut kehendak syahwat.

Tahap kedua, puasa orang khusus iaitu orang yang menahan pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki dan seluruh anggota daripada perkara-perkara dosa. Tahap ketiga adalah puasa kalangan Nabi, as-Shiddiqin, orang salih dan seumpamanya. 

Puasa mereka adalah menahan hati daripada keinginan yang buruk dan daripada memikirkan sesuatu selain Allah SWT secara sepenuhnya. 

Puasa akan terbatal pada tahap ini disebabkan memikirkan perkara-perkara selain Allah SWT dan Hari Akhirat. 

Puasa tahap ketiga inilah puasa yang paling khusus kerana mereka bukan saja memelihara diri daripada daripada perkara membatalkan puasa tetapi juga yang membatalkan pahala puasa.

Rasulullah SAW bersabda: “Banyak orang yang berpuasa tetapi tidak memperoleh dari puasanya selain dari rasa lapar dan dahaga. Akhirnya, mari bertanya pada diri, apakah menonton tayangan TV itu benar-benar tidak sedar atau tidak tahu bahawa ia perkara yang dilarang atau sebenarnya ia sedar dan memang sengaja menontonnya? Wallahua’lam.

 

Kategori:Uncategorized

~ muhasabah Ramadhan ~

BEGITU pantas masa berlalu. Ramadan cuma tinggal beberapa hari saja lagi. Jika diibaratkan beberapa hari yang tinggal itu seperti kita mengetahui sesuatu yang buruk akan berlaku atau seperti suatu peluang keemasan akan berakhir, sudah tentu kita akan bersiap sedia untuk menghindarkan yang buruk dengan segala persiapan atau berebut-rebut mengambil peluang keemasan seberapa daya.

Begitulah harapnya sikap kita terhadap anugerah keemasan Ramadan yang kita tidak tahu sama ada akan berjumpa dengannya lagi pada tahun depan atau tidak. Oleh itu, marilah kita merebut baki hari yang ada dengan penuh kesungguhan sebagaimana umat Islam diingatkan supaya beribadat kepada Allah SWT seolah-olah akan mati keesokan hari dan bekerja untuk dunia seolah-olah akan hidup selamanya.

Namun, usaha ini tidak akan sempurna jika hati tidak diketuk untuk merenungi dan menilai apa yang telah dilakukan melalui muhasabah. Ia adalah kitaran penilaian yang tiada penghujung. Apatah lagi apabila berada di penghujung Ramadan yang mana Allah memberi rangsangan sangat kuat kepada hamba-Nya dengan janji nikmat yang tidak boleh ditunaikan oleh manusia seperti pengampunan, penghindaran daripada seksa api neraka dan dianugerahkan dengan malam lebih baik daripada 1,000 malam iaitu malam lailatul- qadar. 

Allah juga menegaskan berkali-kali dalam surah al-Rahman nikmat manakah yang dikurniakan kepada hamba-Nya yang didustakan. Sesungguhnya rahmat Allah itu Maha Besar dan Dia Maha Pengasih lagi Penyayang melimpahkannya. 

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang bermaksud: “Allah memiliki seratus rahmat. Satu rahmat diturunkan kepada jin, manusia dan binatang. Dengan rahmat itu mereka saling mengasihi, saling menyayangi dan dengannya haiwan melindungi anaknya. Sedangkan sembilan puluh sembilan rahmat yang lain, Allah simpan untuk hamba-Nya pada hari kiamat.” (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim). 

Inilah antara gambaran kasih sayang Allah terhadap makhluk-Nya dan ditegaskan oleh Rasulullah SAW bahawa umatku adalah umat yang dikasihi. 
Antara aspek penting yang perlu dimuhasabahkan adalah muhasabah waktu iaitu bagaimana detik, masa dan hari pada Ramadan telah dimanfaatkan. Muhasabah waktu, Rasulullah SAW mengingatkan dalam sabdanya yang bermaksud: “Bagi orang yang berakal hendaklah ia mempunyai empat waktu: Iaitu pertama, waktu untuk bermunajat kepada Allah. Kedua, waktu untuk muhasabah dirinya, ketiga, waktu untuk berfikir mencari hikmah pada penciptaan Allah SWT, dan keempat waktu untuk memenuhi keperluan kehidupannya di dunia dan mencari rezeki.” (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim) 

Malah, Saidina Umar bin al-Khattab juga mengingatkan yang bermaksud: “Hitunglah (amalan) kamu sebelum nanti (waktu) kamu dihitung, timbanglah (berat amalan) kamu sebelum nanti (waktu) kamu akan ditimbang.” (Hadis riwayat Ibn Majah). 

Oleh itu, marilah kita memuhasabah diri dan menilai kasih sayang kita kepada-Nya melalui amalan khusus serta kerja seharian sama ada sudah berjaya ditunaikan dengan penuh kesyukuran dan kesungguhan atau sebaliknya. Keperluan muhasabah ini ditambah suasana dan waktu kita yang semakin sibuk dengan pelbagai persiapan menyambut Syawal. 

Dalam konteks pengurusan, usaha muhasabah hasil kerja juga adalah satu kaedah utama dalam proses penilaian berterusan dan menjadi kunci kejayaan. Sama ada sesuatu usaha itu dinilai secara berjadual melalui penilaian suku tahun atau penggal, penilaian mingguan, bulanan atau tahunan, ia memberi dua matlamat penghasilan. 

Pertama, untuk merancang tindakan masa depan sama ada menambahbaik atau membetulkan sebarang kekurangan dan kekhilafan daripada tindakan lalu. Kedua, untuk mengenal potensi diri. 

Begitulah juga apabila muhasabah setiap waktu pada Ramadan ini, sama ada telah dimanfaatkan serta dapat mengukur sejauh mana potensi dan kekuatan diri dengan amal ibadat dan kerja berkualiti dalam keadaan berpuasa. Usaha muhasabah bukan sekadar untuk mencapai kedua-dua penghasilan, tetapi yang utama untuk mensyukuri nikmat dan meraih keredaan Allah. 

Mereka yang sering bermuhasabah adalah insan yang memandang ke depan dengan hasrat untuk lebih berjaya dan mereka adalah yang cintakan kecemerlangan. Mereka sanggup berkorban dan bersedia untuk bersusah payah bagi mencapai kejayaan. 

Imam Ahmad dalam Musnadnya menyebut: “Dan sesungguhnya kemenangan itu bersama kesabaran, kesenangan itu bersama kesusahan dan sesungguhnya pada kesulitan itu ada kemudahan.” 

Justeru, marilah kita muhasabah waktu untuk mengenal potensi diri pada Ramadan ini supaya terisi dengan keempat-empat perkara demi persiapan hari esok seperti mana firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang akan dilakukan untuk hari esok (akhirat).” (Surah al-Hasyr, ayat 18) 

 

Kategori:Uncategorized

~ tatkala menanti berbuka ~

KEMERIAHAN bulan puasa di negara kita dikaitkan dengan penganjuran bazar Ramadan yang menyediakan pelbagai juadah untuk berbuka puasa. Dari satu sudut, ia memberi kemudahan kepada mereka yang tidak sempat menyediakan makanan dan membuka peluang perniagaan. 

Namun, yang tidak sedapnya apabila bazar Ramadan terlalu menjadi tumpuan hingga menghilangkan hikmah di sebalik perintah umat Islam berpuasa yang menuntut mereka mengawal diri daripada makan, minum serta melakukan perkara membatalkan puasa.

Pada masa sama, adanya bazar Ramadan yang terlalu banyak bilangannya menjurus kepada pembaziran. Maklumlah, apabila rambang mata, kita lebih cenderung mengikut nafsu ketika membeli tetapi tiba masa makan, banyak mana sangat yang terlarat.

Terlalu memikirkan juadah yang sudah dibeli untuk berbuka puasa juga menyebabkan kita lupa mengambil kesempatan memohon doa sebelum masuknya waktu berbuka puasa atau azan Maghrib, iaitu waktu mustajab berdoa. 

Sementara menanti alunan azan, sebaiknya waktu lima minit direbut bagi memohon hajat kepada Yang Maha Esa. Alangkah ruginya jika waktu itu dibazirkan dengan berbual kosong atau hanya menonton televisyen. 

Sepanjang Ramadan langit dibuka setiap saat, pintu syurga dibuka seluas-luasnya sementara pintu neraka ditutup. Justeru, mintalah apa saja yang kita hajatkan kerana dengan izin Allah, permintaan itu akan dimakbulkan. 

Jika kita belum pernah berdoa sementara menanti waktu berbuka, dalam minggu akhir Ramadan ini, marilah jadikan ia amalan wajib. Luahkan segala apa yang terbuku dalam hati, mudah-mudahan Allah memakbulkan permintaan kita. 
Begitu juga apabila menjamah juadah, hendaklah dilakukan mengikut tertib, jangan terlalu gelojoh walaupun tidak dinafikan sudah penat seharian kita menahan nafsu makan. Sebaiknya dimulakan dengan makan kurma mengikut sunnah Rasulullah SAW. Kemudian berhenti sekejap untuk menunaikan solat Maghrib sebelum menikmati juadah berat bagi menjana tenaga untuk menunaikan tarawih. 

Bagi mereka yang menghidap penyakit, pastinya perlu berhati-hati di bulan puasa ini supaya kesihatan terpelihara. Tambahan pula bagi yang berkemampuan berpuasa, akan berdepan cabaran hebat. 

Rasanya banyak kali sudah saya ulangi, yang penting ialah mereka perlu reda dengan ujian penyakit yang Allah datangkan kerana Allah tidak akan menguji hamba-Nya melebihi kemampuan mereka. 

Dari aspek penyembuhan pula, itu semua terserah kepada Allah kerana jika esok kata-Nya seseorang itu sembuh daripada penyakit, maka esok datang berita baik itu dan begitu juga jika sepuluh tahun lagi, selama itulah seseorang itu perlu mengharunginya. 

Namun, walaupun tempoh ditetapkan, kita hendaklah reda, berusaha, yakin dan seterusnya bertawakal kepada Allah. Kata kuncinya ialah kesabaran dan bagi sesetengah kita, sabar ada hadnya yang akhirnya menyebabkan mereka berputus asa. 

Lagi satu, hendaklah yakin dengan mukjizat al-Quran bagi yang beramal dengan al-Quran sebagai kaedah rawatan. Ada yang mengharap cepat sembuh dan apabila hasilnya tidak seperti diharapkan, mereka mengambil keputusan mencuba kaedah lain pula. 

Jika dulu kebas lima jari, sekarang tiga jari sudah boleh digerak-gerakkan. Dulu sakit tengkuk disebabkan gangguan, sekarang sudah boleh tidur dengan selesa. Seperti saya kata, kita hanya berusaha tetapi semua terserah kepada Allah yang lebih Mengetahui. 

Mungkin ada yang sedang menanti temu janji yang sudah dibuat. Sementara menanti, anda juga boleh mengamalkan ayat al-Quran yang umum untuk penyakit tertentu seperti surah al-Israk, ayat 40-45 bagi penyakit jantung. 

Untuk penyakit kencing manis boleh baca surah al-Anbiya, ayat 62 hingga 73 dan bagi penyakit saraf atau tulang boleh amalkan surah al-Mukminun, ayat 60 hingga 80. 

Semoga kesungguhan kita menjiwai mukjizat al-Quran pada Ramadan yang menjanjikan rahmat, keampunan dan pembebasan dari api neraka, Allah meringankan ujian yang diberi kepada kita dan beroleh kesihatan diharapkan. 

 

Dan Kami jadikan mereka ketua-ketua ikutan, yang memimpin (manusia ke jalan yang benar) dengan perintah Kami, dan Kami wahyukan kepada mereka mengerjakan kebaikan, dan mendirikan sembahyang, serta memberi zakat; dan mereka pula sentiasa beribadat kepada Kami. (Al-Anbiyaa’ 21:73

Kategori:Uncategorized

~ zakat : sempurnakan Ramadhanmu ~

Alhamdulillah, kita masih dipanjangkan usia sehingga dapat lagi bertemu dengan tetamu istimewa, iaitu Ramadan al-Mubarak ini. Mudah-mudahan kita dapat mentransformasi diri menjadi manusia bertakwa setelah menjalani kursus fizikal dan disiplin rohani selama sebulan penuh di madrasah Ramadan.

Menyentuh mengenai ibadah zakat fitrah dan zakat harta, maka Ramadan memang waktunya bagi umat Islam menunaikan zakat fitrah.

Ibnu Umar r.a pernah meriwayatkan: Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah di bulan Ramadan kepada setiap orang Muslim, sama ada dia merdeka atau hamba, lelaki mahu pun perempuan. Iaitu (jumlahnya) segantang kurma atau gandum. (riwayat Imam Muslim)

Namun begitu, ulama khilaf bilakah waktu yang paling utama atau menjadi wajib menunaikannya. Sama ada di awal Ramadan, pertengahan mahu pun sejurus sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Maka dalam hal ini, fuqaha telah membahagikan waktu pembayaran zakat fitrah kepada empat segmen. Iaitu harus yang bermula dari awal Ramadan, menjadi wajib sebelum menunaikan solat Aidilfitri, makruh seandainya dikeluarkan selepas solat dan haram selepas terbenam matahari satu Syawal.

Bagi hikmahnya pula, Ibnu Abbas r.a berkata (maksudnya): “Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah dengan tujuan untuk menyucikan orang yang yang berpuasa daripada perkara buruk yang tidak berfaedah dan juga sebagai bantuan kepada fakir dan miskin.” (riwayat Abu Daud)

Oleh itu, bagaimana pula statusnya zakat harta? Jika Ramadan bulan khusus menunaikan fitrah, maka apakah zakat harta lebih baik ditunaikan pada bulan-bulan yang lain?

Maka, demi menjelaskan hal ini, sukacita dinyatakan bahawa zakat harta itu hukum asalnya tertakluk kepada haul. Iaitu tempoh matang terhadap pemilikan harta. Jika haulnya pada bulan Zulhijjah, maka saat itulah baharu datangnya waktu wajib mengeluarkannya sebagai zakat dan inilah waktu paling utama. Selama belum cukup masanya, maka ia dianggap harus mendahulukan zakatnya. Samalah kesnya jika kita mahu menunaikan zakat fitrah pada awal Ramadan, ia dianggap waktu yang harus.

Pun begitu, kita memang dianjurkan agar mengambil kesempatan Ramadan sebagai medan melipatgandakan sedekah, termasuklah zakat. Ini sesuai dengan tindakan nabi SAW sendiri yang memperbanyakkan sedekahnya pada bulan Ramadan. Bahkan nabi menyatakan: “Sebaik-baik sedekah itu adalah pada bulan Ramadan.” (riwayat at-Termizi)

Ramadan memang bulan keberkatan yang menjanjikan pahala berkali ganda dalam segala jenis amalan. Ada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah bahawa nabi pernah menyatakan dalam sebuah hadis yang panjang, iaitu setiap amalan sunat diganjari pahala wajib dan setiap satu amalan wajib diganjari 70 kali ganda pahalanya jika dilakukan di dalam bulan Ramadan. Ulama hadis ada yang menyatakan hadis ini daif. Namun ia masih boleh dijadikan motivasi dalam beramal.

Maka, kita umat Islam wajar merenggut faedah bersedekah pada bulan Ramadan dengan melebarkannya kepada zakat harta, yakni tidak sekadar zakat fitrah semata.

Bayangkan, jika kita menunaikan zakat pendapatan RM1,000 pada bulan Ramadan, maka di sisi Allah SWT kita sebenarnya telah mendapat pahala berzakat RM70,000!

Untuk itu, sungguh pun haul kita mungkin belum sampai pada Ramadan ini, namun kita boleh sahaja menunaikannya lebih awal demi merebut gandaan pahala ini.

Bahkan daripada aspek fiqh zakat, proses mengawalkan haul zakat ini adalah diharuskan oleh Rasulullah SAW, justeru memang sudah pernah berlaku pada zaman baginda.

Saiyidina Ali kwj menyatakan, Abbas bin Abdul Mutallib dikhabarkan pernah meminta izin daripada Nabi Muhammad SAW untuk mempercepatkan haul zakatnya, lalu Nabi Muhammad SAW telah memberikan keizinan kepadanya. (Mafhum hadis riwayat Abu Daud)

Kesimpulannya, kita hendaklah merebut segala ganjaran pahala yang begitu besar yang telah pun disediakan oleh Allah SWT dalam bulan Ramadan dengan melakukan pelbagai sedekah sunat, seperti menaja majlis berbuka puasa, juga menunaikan sedekah wajib iaitu membayar zakat fitrah dan tidak sesekali melupakan zakat harta di sisinya.

Mudah-mudahan, puasa kita diterima Allah dan zakat kita juga digandakan pahala yang melimpah-ruah. Wallahua’lam.

 

Kategori:Uncategorized