Utama > Uncategorized > ~ muslim itu bersaudara ~

~ muslim itu bersaudara ~

BIAR apa pun niat mereka memeluk Islam, para mualaf wajib disantuni lantaran mereka adalah saudara kita sendiri. Kini Ramadan dengan peluang ganjaran berganda menjadi medan terbaik untuk beramal bagi menyantuni golongan mualaf atau saudara baru.

Dari satu perspektif, tiada salahnya tujuan asal memeluk Islam itu berbaur dengan rasa cinta kepada pasangan beragama Islam. Sejarah Nusantara membuktikan bahawa Islam berkembang dengan pesat di rantau ini antara lain dengan jalan perkahwinan.

Malah ramai yang pada mulanya berbaur dengan rasa cinta sebagai asas mahu memeluk Islam. Namun akhirnya menjadi aktivis dakwah ataupun keturunannya kelak menjadi aktivis dakwah yang hebat.

Megat Iskandar Syah misalnya memeluk Islam terlebih dahulu sebelum bernikah dengan Puteri Pasai. Wajar dimaklum bahawa kerajaan Samudera-Pasai merupakan kerajaan Islam yang agung di Sumatera yang meliputi kawasan Aceh pada hari ini – Serambi Mekah di Sumatera.

Sehubungan itu, usahlah mahu menjadi juara sebagai penimbul masalah, sebaliknya jadilah juara dalam menyelesaikan masalah. Bukankah yang baru memeluk Islam itu perlu disantuni? Ini termasuklah soal kebajikan sebagaimana Allah SWT mengiktiraf mualaf sebagai golongan yang berhak mendapat bahagian zakat.

Mereka juga wajib disantuni dengan memberikan teladan yang baik. Amat tidak wajar jika orang Islam menakut-nakutkan mereka yang mahu mengenali Islam dengan kenyataan seperti ‘lelaki kalau masuk Islam anunya kena potong’.

Juga amat tidak wajar jika orang Islam sendiri rajin tinggalkan solat dan tidak berpuasa di samping tidak amanah dan tidak produktif dalam melakukan kerja. Semuanya ini hanya memberikan tanggapan negatif terhadap Islam itu sendiri.

Selain itu, amat tidak wajar juga jika kesilapan lampau mereka mahu dikorek dan dijaja. Amat tidak wajar jika mereka dihina hanya kerana ada tatu di lengan sedangkan mereka bertatu sewaktu belum mengucap dua kalimah syahadah.

Amat tidak wajar jika mereka dihina hanya ke masjid tanpa berkain pelikat dan berbaju Melayu sedangkan mereka masuk Islam dan bukannya masuk Melayu. Nah banyak perkara yang boleh dilakukan dalam menyantuni golongan mualaf tanpa langsung mengeluarkan sesen pun.

Sesungguhnya Allah meraikan mereka dengan sebaik mungkin dengan mengampunkan segala dosa dalam era kegelapan lalu sebelum mereka mengesakan Allah dan menerima kerasulan Muhammad SAW.

Segala pangkalan data mereka yang gelap gelita lagi jijik dan hanyir dipadamkan oleh Allah dalam haruman dan nur rahmat-Nya. Malah mereka yang bertanggungjawab kepada pengislaman seseorang di samping meladeninya dengan sebaik mungkin turut mendapat habuan besar daripada Allah dan begitulah sebaliknya.

Dalam hadis yang direkodkan oleh Muslim, Rasulullah SAW bersabda dengan maksud:Sesiapa yang mengajak kepada petunjuk, dia akan memperoleh ganjaran seperti mana ganjaran yang diterima oleh orang yang mengikut ajarannya, tidak kurang sedikit pun dari ganjaran tersebut. Bagi yang mengajak kepada kesesatan pula, dia akan memperoleh dosa seperti mana dosa yang diterima oleh orang yang mengikut kesesatannya, tidak kurang sedikit pun dari dosa-dosa tersebut.

Dari satu sudut, semua sahabat merupakan mualaf dan saudara kita. Ambil Umar ibn al-Khattab sebagai contoh. Beliau tidak lahir sebagai Islam dikenang dan diimbau sebagai tokoh pemimpin warak lagi berkaliber.

Begitu juga dengan Ikrimah bin Abu Jahal. Dialah yang bersama-sama Khalid ibn al-Walid membentuk dua kumpulan tentera musyrikin sewaktu Perang Uhud sehingga menimbulkan kucar-kacir dan huru-hara dalam kalangan tentera Muslimin di bawah pimpinan Rasulullah SAW.

Sewaktu zaman sebelum Islam, Ikrimah sungguh komited memerangi Islam dan Rasulullah SAW. Dia pernah bercita-cita membunuh Rasul terakhir itu, di samping membunuh ramai sahabat dalam peperangan. Dendam kesumatnya terhadap Islam sungguh membara lantaran menyaksikan kematian bapanya Abu Jahal dalam Perang Badar.

Sebelum memeluk Islam, Ikrimah meminta Nabi SAW berdoa agar Allah mengampunkan segala dosa dendam, kebencian dan permusuhannya terhadap Islam sebelumnya. Dia tahu bahawa segala dosanya akan diampunkan oleh Allah seusai mengucap dua kalimah syahadah, namun dia mahu mendengar sendiri munajat Nabi terhadapnya.

Baginda pun lalu berdoa dengan maksud: “Ya Allah, ampunilah dosanya atas setiap permusuhan yang pernah dilakukannya untuk bermusuh denganku, setiap langkah perjalanan yang dilaluinya untuk menyerangku yang tujuannya untuk memadamkan cahaya-Mu dan ampunilah dosanya atas segala sesuatu yang pernah dilakukannya baik secara langsung berhadapan denganku mahupun tidak.”

Mendengar doa yang dimohon oleh Nabi Muhammad itu, Ikrimah merasa senang hati dan gembira lalu berucap: “Wahai Nabi Muhammad, demi Allah setiap dinar yang pernah aku gunakan untuk menentang Islam, akan aku gantikan berlipat kali ganda demi membela agama-Nya. Begitu juga setiap perjuangan yang dahulu aku lakukan untuk menentang Islam, akan aku ganti dengan perjuangan dua kali ganda demi membela agama-Nya, Aku akan ikut berperang dan berjuang sampai ke titisan darah yang terakhir.”

Diriwayatkan bahawa, ‘Ikrimah selain daripada komited di medan perang cukup rajin ke masjid dan membaca al-Quran. Beliau lazim dilihat meletakkan al-Quran ke mukanya sambil berkata: “(Inilah) kitab Allah, (inilah) kalam Allah.”

Begitulah juga halnya dengan tokoh Muslim berbangsa Yahudi, Muhammad Asad (Leopold Weiss) dan Maryam Jameelah (Margaret Marcus) merupakan contoh tokoh penulis Islam bertaraf dunia berbangsa Yahudi. Muhammad Asad terkenal dengan maha karya The Road to Mecca, malah menghasilkan tafsir lengkap al-Quran, The Message of the Quran.

Oleh yang demikian, kita sungguh celupar bila mengatakan bahawa seluruh Yahudi itu laknat dan keparat lantaran gagal membezakan antara Yahudi dan Zionis, di samping ada ramai Yahudi yang mukmin.

Kita juga kadang-kadang celupar menghina kaum Cina sebagai si kafir sedangkan ramai yang lupa bahawa terdapat lebih 50 juta Muslim berbangsa Cina di dunia ini, jauh lebih ramai daripada jumlah Melayu di negara ini sebagaimana yang dijelaskan dengan baik oleh Ann Wang Seng dalam buku beliau, Rahsia Islam di Cina.

Sehubungan itu, ramai juga yang lupa kepada sejarah bahawa Laksamana Muhammad Cheng Ho (Zeng He) merupakan laksamana Muslim yang jauh lebih hebat berbanding Vasco da Gama, taat kepada ajaran agama termasuk teguh mendirikan solat berjemaah biarpun dalam pelayaran.

Akhir kalam, rebutlah peluang untuk menyantuni golongan yang istimewa di sisi Allah ini. Santunilah mereka dengan akhlak yang baik terutama menerusi kata-kata yang baik. Apa salahnya kalau sedikit daripada harta, masa dan tenaga dikorbankan sedikit buat mereka.

Berdasarkan hadis yang direkodkan oleh at-Tarmizi, nabi Muhammad membandingkan amalan kebajikan dalam Ramadan setara dengan amalan wajib dalam bulan yang lain.

Seterusnya sabda Rasulullah SAW dengan maksud: Sesiapa yang mendirikannya (Ramadan) dengan penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya segala dosa yang telah lalu.(riwayat al-Bukhari, Muslim dan lain-lain).

 

Kategori:Uncategorized
  1. Tiada komen.
  1. No trackbacks yet.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: