Arkib

Archive for September 2011

~ leburkan keegoan ~

22 September 2011 Tinggalkan komen

EGO dan sombong adalah sifat mazmumah yang amat dimurkai oleh Allah SWT. Ia terlindung dan terhijab jauh dalam hati kecil. Namun, kesannya amat besar sehingga boleh memberikan kesan kepada tingkah-laku, gaya dan tutur-kata seseorang.

Ego dan sombong adalah sifat yang berakar umbi dari perasaan merasa diri lebih baik dari orang lain. Ia wujud apabila sikap tawaduk dan merendah diri tidak disemai dalam diri.

Akibatnya, seseorang yang mempunyai sifat ego dan sombong boleh membawa kepada kesesatan kerana biasanya dia akan menolak sesuatu kebenaran walaupun hati kecil mengakui akan kebenaran itu.

Demikianlah yang berlaku kepada golongan kafir Quraisy yang tetap berada dalam keadaan jahiliah kerana menafikan kerasulan Nabi SAW walaupun mereka sebenarnya mengakui bahawa baginda adalah orang yang amanah dan boleh dipercayai (al-amin).

Cuba kita perhatikan juga sikap iblis yang diarahkan Allah SWT untuk sujud kepada Nabi Adam. Namun, ia enggan sujud kerana sifat ego dan juga sombong. Lalu Iblis menjadi golongan yang ingkar dan kufur kepada Allah SWT.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam. Lalu mereka sekeliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; dia enggan dan takbur dan menjadilah dia dari golongan yang kafir(al-Baqarah: 34).

Mengapa timbul rasa ego dalam diri iblis? Sebabnya, iblis merasa dirinya lebih baik daripada Adam yang dicipta daripada tanah. Sedangkan iblis dicipta daripada api.

Bagi menghuraikan lebih lanjut sikap ego iblis, Allah berfirman yang bermaksud: Iblis menjawab: “Aku lebih baik daripadanya; Engkau (wahai Tuhanku) ciptakan daku dari api, sedang dia Engkau ciptakan dari tanah”. (Saad: 76)

Sifat ego dan sombong mungkin boleh berlaku kepada sesiapa sahaja sama ada kaya atau miskin, tua atau muda, lelaki atau perempuan. Kadang-kadang kita hampir tidak menyedari dalam diri kita mempunyai sikap ego dan sombong.

Justeru, kita perlu melihat jauh ke dalam diri dan melakukan muhasabah agar ia dapat dirawat secepat mungkin supaya tidak membarah.

Dalam organisasi, sifat ego dan sombong akan berlaku kepada kedua-dua belah pihak sama ada majikan atau pekerja.

 

Tanda seseorang itu ego

Antara petanda mereka yang mempunyai ego dan sombong adalah sukar menerima pandangan dan teguran dari orang lain. Ataupun, mungkin menerima pandangan tersebut tetapi secara terpaksa tanpa hati yang sejahtera.

Seorang majikan yang ego merasa dirinya seorang sudah cukup untuk membuat keputusan dan menentukan hala tuju organisasinya. Dia tidak akan menghiraukan pandangan, keluhan, idea serta teguran yang dibuat oleh orang bawahan.

Pekerja yang ego pula adalah yang tidak mahu menuruti arahan majikan dan tidak mahu berkongsi ilmu serta kemahiran dengan rakan sejawat.

Pekerja yang ego sentiasa merasa dirinya betul dan orang lain salah. Walaupun, hakikat yang kita perlu akui bersama ialah pandangan semua manusia boleh diterima dan ditolak kecuali Rasulullah. Kita semua tidak sunyi dari melakukan kesalahan.

Rasulullah mempunyai sifat rendah diri yang sangat hebat. Walaupun baginda terpelihara dari melakukan dosa serta dibimbing terus daripada Allah, namun baginda menunjukkan akhlak yang tinggi apabila meminta pandangan dari para sahabat khususnya dalam perkara yang melibatkan urusan keduniaan.

Sebagai contoh, dalam peperangan Badar, Rasulullah meminta pandangan para sahabat tentang strategi peperangan dan mengenai langkah yang sepatutnya dilakukan terhadap tawanan-tawanan perang Badar.

Demikian juga, semasa peperangan Khandak, Rasulullah telah menerima pandangan Salman al-Farisi supaya menggali parit untuk berhadapan dengan musuh.

Mengambil pedoman melalui beberapa contoh ini, sebenarnya tiada alasan untuk kita mempunyai ego dan sombong sehingga langsung tidak mengendahkan pandangan serta teguran orang lain.

Antara ciri-ciri lain orang yang ego adalah suka memandang rendah kepada orang lain. Mereka anggap orang di sekelilingnya sebagai saingan dan musuh dalam kehidupannya. Dia tidak akan senang dan tenang setiap kali melihat kejayaan orang lain.

Setiap kelebihan yang ada kepada orang lain akan diperlekehkan dan setiap keburukan yang ada pada orang lain akan ditonjol dan diuar-uarkannya.

Semuanya semata-mata untuk melihat orang lain jatuh dan dirinya naik, dipuja dan dipuji. Kegagalan orang lain adalah kepuasan bagi dirinya, sementara kejayaan orang lain adalah kesedihan bagi dirinya.

 

Kategori:Uncategorized

~ peduli krisis Somalia ~

16 September 2011 Tinggalkan komen

Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadaNya serta kelebihan kurniaNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa Meliputi PengetahuanNya. (Al-Baqarah 2:268)

Kategori:Uncategorized

~ kerana sekeping hati ~

14 September 2011 Tinggalkan komen

KITA selalu menghalakan tumpuan pada sudut pandang yang kurang tepat apabila melihat sesuatu. Kebanyakan kita melihat sesebuah institusi yang hebat dan gah itu apabila ia mempunyai aset yang besar, keupayaan mendatangkan pulangan yang lumayan, bangunan yang tinggi, kakitangan yang ramai dan nama yang terkenal.

Namun, sebenarnya tidak akan sempurna kehebatan institusi berkenaan tanpa organisasi yang mantap di dalamnya. Membina sebuah institusi yang kukuh dan teguh bukanlah satu perkara yang mudah.

Hakikatnya, membina organisasi yang mempunyai anggota yang bersatu adalah lebih sukar. Sebabnya, membina institusi dari sudut fizikalnya cukup dengan mempunyai dana dan melengkapi prosidur yang ditetapkan.

Sebaliknya, membina organisasi yang mempunyai ‘jiwa dan roh’ memerlukan kesatuan jiwa dan hati di kalangan anggotanya.

Tuntasnya, hati dan jiwa adalah merupakan komponen diri yang agak seni, tidak mampu dilihat dan disentuh untuk menjalani proses rawatan sekiranya mempunyai penyakit.

Akan tetapi, sekiranya hati anggota organisasi itu bermasalah, maka ia akan menyebabkan wujudnya wabak-wabak dan penyakit-penyakit lain di kalangan mereka.

Sebabnya, apabila wabak hati tidak dirawat, maka Allah SWT akan menambahkan wabak-wabak yang lain dalam hati mereka.

Firman Allah SWT ketika menceritakan perihal orang yang munafik: Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit, maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran). (al-Baqarah: 10).

Inilah cabaran besar kepada pemimpin sesebuah organisasi. Bukan sahaja perlu memastikan anggota organisasinya jelas dengan hala tuju yang disasarkan, bahkan pada waktu yang sama perlu membangunkan hati yang bersih dari sebarang wabak agar dapat mencapai visi dan misi yang disasarkan secara bersama (wehdatul hadaf) melalui gerak kerja secara sepakat (wehdatul amal) yang lahir dari pemikiran yang bersatu (wehdatul fikr).

Justeru, hati memainkan peranan penting dalam membina sesuatu organisasi. Rasulullah SAW mengambil masa lebih kurang 13 tahun di Kota Mekah untuk membina akidah dan hati yang yakin serta mempunyai keimanan yang jitu kepada Allah SWT.

Lalu Baginda SAW dapat melahirkan para sahabat yang mempunyai kesatuan dan perpaduan yang jitu, laksana sebuah bangunan yang berdiri teguh.

Ia sebagaimana yang terkandung dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berjuang untuk membela agama-Nya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh. (as-Saff: 4)

Bayangkan bagaimana Rasulullah SAW boleh menyatukan sahabat-sahabat dari pelbagai latarbelakang sama ada kaya atau miskin, hamba atau merdeka, Arab atau bukan Arab.

Baginda berjaya menyatukan Aus dan Khazraj yang bertelingkah selama beratus tahun. Demikian juga, golongan Muhajirin dan Ansar yang dipisahkan oleh jurang geografi sebelum itu.

Nama-nama sahabat yang hebat seperti Salman Al-Farisi yang berasal dari Parsi, Suhaib Al-Rumi yang berasal dari Rom, Huzaifah Al-Yamani yang datang dari Yaman dapat bersama-sama dengan sahabat-sahabat lain dalam satu akidah termasuklah Bilal bin Rabah yang merupakan seorang hamba Habsyi.

Mungkin tidak pernah disaksikan berlaku dalam sejarah peradaban manusia dapat menonjolkan kerukunan hidup bermasyarakat sebagaimana yang telah dibangunkan oleh Nabi SAW dan para sahabat r.a.

Dalam konteks syarikat, setiap individu mempunyai posisinya masing-masing. Setiap posisi ini mempunyai tanggungjawab serta peranan yang perlu dilaksanakan dalam menjayakan agenda termasuk visi dan misi yang disasarkan. Setiap posisi juga mempunyai perkaitan di antara satu sama lain.

Kesatuan dalam bekerja

Persoalannya, bagaimana boleh kita wujudkan kesatuan individu-individu yang menjadi warga kerja sedangkan mereka mempunyai latarbelakang yang berlainan serta matlamat berbeza.

Dapatkah mereka membina kesatuan dalam kelainan diri yang ada? Penyelesaian kepada kerangka perbezaan ini mestilah terlebih dahulu bermula dengan hati.

Oleh kerana hati tidak dapat dirawat sebagaimana organ-organ di badan manusia yang lain, maka cara rawatannya mesti dirujuk kepada pencipta kepada hati, iaitu Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai umat manusia, sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu dan juga menjadi hidayat petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman. (Yunus: 57)

Antara wabak-wabak hati yang boleh melemah dan merosakkan organisasi yang perlu dihindari oleh setiap anggota dalam organisasi ialah seperti berikut;

* Ego dan sombong

* Riak dan takbur

* Berprasangka negatif

* Cemburu dan iri hati

* Suka mencari kelemahan orang lain

* Kedekut dan tidak suka berkongsi

* Mementingkan diri sendiri

* Suka kepada pujian

Insya-Allah, tulisan-tulisan yang akan datang akan diperincikan wabak-wabak ini dan penawarnya yang telah disediakan oleh Allah SWT sebagai pedoman untuk kita bersama.

Mudah-mudahan ia akan menjadi sebuah muhasabah untuk kita membetulkan diri dari semasa ke semasa bagi membangunkan organisasi kita masing-masing.

Kategori:Uncategorized

~ hukum pembedahan batin ~

12 September 2011 Tinggalkan komen

ISLAM mementingkan kebaikan dan kesihatan. Di samping itu Islam menyuruh umatnya berikhtiar mengubat apabila dijangkiti sebarang penyakit. Ada banyak ayat al-Quran dan hadis berkaitan penjagaan kesihatan dan mengubati penyakit.

Malah ada enam kali sebutan syifa’ atau kesembuhan dalam al-Quran antaranya firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran, ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat kepadanya; dan al-Quran tidak menambah kepada orang yang zalim melainkan kerugian juga.” (Surah Al-Isra’, ayat 82)

Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran, ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat kepadanya; dan al-Quran tidak menambah kepada orang yang zalim melainkan kerugian juga. – Surah Al-Isra’, Ayat 82

Amalan perubatan menggunakan doa atau bacaan ayat al-Quran adalah satu daripada cabang rawatan diakui syarak sebagai amalan mulia. Ia dipanggil ruqyah ataupun jampi bersesuaian syarak. Malah ia diamalkan pada zaman Rasulullah dan salafussoleh.

Daripada Auf bin Malik katanya: “Kami pandai menjampi pada zaman jahiliah, maka kami bertanya Nabi SAW, Ya Rasulullah SAW apakah pandangan anda mengenai jampi? Lalu Baginda SAW meminta mereka memperdengarkan jampi digunakan sejak zaman jahiliah itu. Baginda SAW menyatakan harus dilakukan, selagi tidak menyebabkan syirik.” (Hadis riwayat Muslim) 

Kalangan masyarakat menamakan rawatan secara ruqyah saja dianggap perubatan Islam. Manakala rawatan secara saintifik di hospital adalah perubatan moden semata-mata. Hakikatnya perubatan moden sebahagian daripada perubatan Islam.

Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah sendiri dalam kitabnya Tibb al-Nabawi dan Zaad al-Ma’ad menceritakan bagaimana Nabi SAW merawat menggunakan kaedah berbekam, penggunaan biji habbatussauda, madu dan bermacam lagi makanan kesihatan. 
Namun, sejak akhir-akhir ini ada kaedah rawatan mula menjadi tumpuan masyarakat iaitu pembedahan batin. Selepas meneliti unsur terdapat dalam pembedahan batin diamalkan sesetengah perawat maka beberapa nas hukum perlu diperjelaskan agar tidak memberi kecelaruan kepada masyarakat dalam menilai benar atau salah.

Rawatan itu ada yang membedah tubuh badan dengan tangan kosong atau tanpa peralatan moden, membetulkan tulang tanpa sentuhan fizikal, menggunakan peralatan ghaib, perubatan jarak jauh dan seumpamanya.

Penggunaan ayat al-Quran atau doa diharuskan tetapi jika disertai dengan sihir, iaitu membabitkan jin, perbuatan itu salah kerana amalan berkenaan termasuk dalam kategori dosa besar yang membinasakan iaitu sihir. 

Walaupun pengamal perubatan batin menyatakan ia berpegang kepada ayat al-Quran dan kaedah syarak, namun difikir secara logik, ternyata bukan mudah seseorang itu, terutama orang awam memastikan status amalan itu.

Apabila sesuatu yang di luar adat kebiasaan itu dilazimi secara berterusan seperti upacara pembedahan batin, sekali gus jelas bagi kita ia sudah terkeluar dari kaedah asas perubatan yang diizinkan.

Ia jauh daripada perubatan secara saintifik moden, ruqyah serta tibb al-Nabawi yang menepati syarak. Jelaslah kaedah perubatan secara pembedahan batin ini meminta bantuan jin kerana sesuatu yang magis dan di luar adat tidak boleh berlaku secara berterusan.

Memang ada ulama membenarkan perubatan dengan meminta pertolongan jin antaranya Imam Ibnu Taimiyah dalam Majmu’ Fatawa dan ulama Saudi, Syeikh Ibn ‘Uthaimin dalam Fatawa al-Aqidah. Mereka mengharuskan khidmat jin dengan syarat penggunaan pada perkara diharuskan di samping wasilah juga diharuskan syarak.

Ini bermakna rawatan menggunakan khidmat jin diharuskan dengan syarat wasilah adalah harus. Hujah mereka ialah kisah Nabi Sulaiman yang mendapatkan khidmat jin untuk memindahkan istana Puteri Balqis dari Yaman dan ini adalah kurniaan Allah SWT.

Namun, ada pendapat menolak pandangan ini kerana peristiwa Nabi Sulaiman bukan syariat yang ditinggalkan kepada kita.

Pendapat ini dihuraikan Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz, Dr Ahmad bin Nasir bin Mohd al-Hamd dan ramai lagi. Bahkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-39 pada 21 September 1995 juga memutuskan bersahabat dengan jin dengan tujuan mendapatkan pertolongan dalam perubatan, mencari kekuatan dan kehebatan ditegah syarak dan haram.

Masyarakat Islam dinasihatkan meninggalkan rawatan syubhah seperti pembedahan batin. Umat harus memahami, setiap penyakit ada penawarnya tetapi setiap penawar tidak dijamin boleh menyembuhkan. Semoga Allah membebaskan kita dari segala penyakit dengan reda-Nya, bukan diberi kesihatan dengan kemurkaanNya.

 

Kategori:Uncategorized

~ ibadah itu tidak bermusim ~

10 September 2011 Tinggalkan komen

SELEPAS berlalu Ramadan, manusia terbahagi kepada beberapa bahagian, namun secara garis besarnya mereka terbahagi kepada dua golongan atau kelompok. 

Golongan pertama ialah orang yang pada Ramadan nampak bersungguh-sungguh melakukan amal ibadat, menunjukkan ketaatan beribadat hingga boleh dikatakan selalu dalam keadaan bersujud, bersolat, membaca al-Quran atau menangis, dan mereka juga tidak lupa akan ibadah orang terdahulu iaitu golongan salaf.

Namun itu semua berlalu apabila berakhirnya Ramadan. Selepas itu, mereka kembali lagi dengan sikap bermalas-malasan atau maksiat seolah-olah baru saja bebas daripada pelbagai larangan.

Selepas sebulan penuh ia hidup dengan iman, takwa dan serta amalan yang mendekatkan diri kepada Allah, tiba-tiba ia mengulangi perbuatan maksiatnya masa lalu. 

Mereka itulah hamba yang kurang mengenal Allah kecuali hanya pada musim tertentu iaitu Ramadan. 

Mereka mengenal Allah secara bermusim, atau ketika ditimpa kesusahan. Jika musim atau kesusahan itu telah berlalu, maka ketaatan pun ikut berlalu sama. 

Golongan kedua ialah orang yang bersedih ketika berpisah dengan Ramadan, mereka berasakan nikmatnya kasih dan pemeliharaan Allah SWT. 
Mereka melalui dengan penuh kesabaran, menyedari hakikat keadaan dirinya yang lemah dan hina di hadapan Yang Maha Berkuasa. Mereka berpuasa dengan sebenar-benarnya, bersolat dengan sungguh-sungguh. 

Perpisahan dengan Ramadan membuat mereka sedih, bahkan tidak ramai antara mereka yang menitiskan air mata. 

Apakah kedua-duanya itu sama? Dua golongan ini tidak sama, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. Firman Allah SWT bermaksud: Katakanlah, tiap-tiap orang berbuat menurut keadaan masing-masing. (Surah al-Israa’, ayat 84). 

Sesiapa yang berpuasa pada Ramadan dan bersolat pada malam harinya, melakukan kewajipannya, menahan pandangannya, menjaga anggota badan dan lain-lainnya untuk menyempurnakan ketaatannya, bolehlah berharap mendapat keredaan Allah, kemenangan di syurga dan selamat daripada seksa api neraka. 

Sebaliknya, orang yang tidak menjadikan keredaan Allah sebagai tujuannya, maka Allah tidak akan melihatnya. Orang yang seperti itu ibarat merosakkan tenunan yang kuat sehingga bercerai-berai kain yang ditenun. 

Firman Allah bermaksud: Dan bacakan kepada mereka (wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan) ayat-ayat Kami, kemudian ia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu ia diikuti oleh syaitan (dengan godaannya), maka jadilah ia orang-orang yang sesat. (Al-A’raaf, ayat 175). 

Rasulullah pernah ditanya, amalan apakah paling dicintai Allah. Baginda menjawab: Yakni yang terus menerus walaupun sedikit. 

Saidatina Aisyah RA ditanya: Bagaimana Rasulullah mengerjakan sesuatu amalan, apakah ia pernah mengkhususkan sesuatu sampai beberapa hari tertentu, Aisyah menjawab: Tidak, namun Baginda mengerjakan secara terus menerus, dan siapa pun di antara kamu hendaknya jika mampu mengerjakan seperti dikerjakan Rasulullah SAW. 

Daripada hadis ini memberi pelajaran antara lain, hendaknya semua kebajikan dilaksanakan secara keseluruhan tanpa memilih menurut kemampuan kita dan dikerjakan secara terus menerus. 

Amalan yang sedikit, tetapi berterusan pula akan memberi hasil dan nilai tambah yang berlipat ganda daripada amalan banyak yang terputus. 

Begitulah juga dengan amalan berpuasa adalah ibadah berterusan. Firman Allah bermaksud: Beribadahlah kamu kepada Tuhanmu hingga datang kepadamu al-yaqin (maut). (Surah al-Hijr, ayat 99). 

Walaupun Ramadan sudah berlalu, seorang Mukmin harus menjalankan puasanya seperti puasa enam hari Syawal, puasa Isnin dan Khamis, puasa tiga hari pada setiap bulan, puasa Arafah dan lain-lain. 

Demikian juga qiamulail hendaklah diteruskan walaupun Ramadan telah berlalu. Ini adalah sunnah dan amalan orang terdahulu. 

Ingatlah kisah dalam al-Quran, ketika Nabi Ibrahim AS pergi meninggalkan kaumnya, bapanya dan apa-apa yang mereka sembah selain Allah, akhirnya Allah mengurniakan Nabi Ishak, dan Nabi Yaakub AS serta keturunannya yang soleh dan semuanya menjadi Nabi. 

Begitu juga dengan Nabi Yusuf AS (daripada salasilah keturunan Nabi Ibrahim), yang mana ia boleh menahan hawa nafsunya dan mengawal keinginannya agar tidak tergoda rayuan daripada majikannya (Zulaikha), iaitu isteri pembesar Mesir. 

Yusuf bersabar bertahun-tahun dalam penjara. Akhirnya Allah menggantikan dengan kedudukan yang mulia di muka bumi iaitu menjadi Menteri Perbendaharaan Mesir. 

 

Kategori:Uncategorized

~ menangis keranaNya ~

9 September 2011 Tinggalkan komen

Diharuskan menangis dalam solat kerana takutkan Allah SWT, takut akan seksanya serta takut amalan tidak diterima oleh-Nya. Ia merupakan sifat ahli takwa, yang sentiasa mendambakan keredaan dah kasih sayang-Nya yang Maha Agung.

Tidak semua kita yang mampu mengalirkan air mata dalam solat. Malahan hanya sedikit yang menangis dalam solat. Tangisan dalam solat sangat bermakna di hadapan Allah SWT.

Menangis dalam solat adalah antara ciri orang yang beriman kepada Allah swt, firman-Nya yang bermaksud: …apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat (Allah) Ar-Rahman, mereka segera sujud serta menangis. (Maryam: 58)

Abdullah bin Syirkhir berkata yang bermaksud: “Aku melihat Rasulullah SAW mendirikan solat mendirikan solat sambil baginda teresak-esak bagaikan dadanya terdapat air yang sedang mendidih di dalam cerek”. (riwayat Ahmad, Abu Daud, Nasaie, dan al-Tirmidzi)

Begitulah apa yang digambarkan oleh para sahabat nabi SAW dalam memperakui sikap baginda dalam solat. Pernah juga diriwayatkan dalam beberapa athar bahawa tempat sujud baginda akan basah dek tangisan baginda dalam sujud. Baginda berpesan agar pembaca al-Quran itu menangis, kalau tidak boleh menangis buat-buatlah menangis.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Bacalah al-Quran serta menangis ketika membacanya, jika kamu tidak dapat menangis maka buat-buatlah menangis. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam banyak keadaan para sahabat menangis bersama Rasulullah SAW sama ada dalam solat, membaca al-Quran mahupun dalam keadaan umat Islam terhimpit dalam kesusahan. Ringkasnya, air mata, Rasulullah SAW dan para sahabat tidak dapat dipisahkan daripada al-Quran.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu kitab suci al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), Yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); Yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah. Kitab suci itulah hidayah petunjuk Allah; Allah memberi hidayah petunjuk dengan Al-Quran itu kepada sesiapa Yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan (ingatlah) sesiapa Yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepada-Nya. (al-Zumar: 23)

Ibn Kathir ketika mentafsirkan ayat ini menjelaskan bahawa di antara sifat-sifat al-abrar adalah mereka yang memiliki sifat-sifat yang dimiliki oleh para sahabat antaranya; apabila dibacakan ayat-ayat Allah (al-Quran) kulit badan mereka bergementar, kemudian menjadi luluh bersama kalbunya untuk berzikir kepada Allah SWT.

Mereka tidaklah berteriak seperti kena hasutan dan menangis yang dibuat-buat, akan tetapi mereka memiliki ketegaran, keteguhan dan kesopanan dan rasa takut yang tidak akan ada menyamai sifat seperti itu.

Oleh sebab itulah mereka beroleh kepujian yang sangat tinggi di sisi Allah SWT. (Ibn Kathir,Tafsir al-Quran al-‘Azim, jld: 4, hlm: 51)

Tidak semudah yang disangka bagi air mata mengalir di dalam mengenang nasibnya di hadapan Rabbul Jalil. Seseorang yang menangis di dalam solat kerana Allah SWT maka solatnya tidak batal selagi mana tangisannya tidak mengeluarkan suara yang kuat, seperti meraung sehingga mengganggu orang lain atau didengari oleh orang lain.

Sebab itu dalam banyak keadaan kita akan dapati imam-imam di Masjid Haram mahupun masjid-masjid yang lain apabila mereka mula menangis mereka akan cuba mengawal suara supaya tidak terkeluar suara tangisan yang kuat.

Bagi mengelakkan suara mereka tidak terkawal biasanya mereka akan berhenti bagi menenangkan perasaan sebelum menyambung bacaan ayat-ayat suci al-Quran. Maksudnya tangisan dalam solat harus dikawal supaya tidak melampuai keharusan.

Kadang-kadang saya hairan melihat jemaah yang solat bersama imam-imam di masjid al-Haram, bila imam menangis mereka pun turut menangis, kalau yang menangis itu jemaah dari kalangan orang arab mungkin kerana mereka turut faham sebab itulah mereka menangis, tapi kalau jemaah yang bukan berbangsa arab, yang tidak mempelajari bahasa arab juga turut menangis, kenapa?

Jawapannya ialah mukjizat al-Quran, nur al-Quran, ayat-ayat yang menembusi telinga manusia dan singgah di sanubari yang memang secocok dan rindukan al-Quran.

Itulah antara sebab kenapa yang tidak faham al-Quran juga turut menangis. Mata yang menangis di dalam solat dan ketika membaca al-Quran hanya kerana takutkan Allah SWT akan menjadi hujah di hadapan Allah SWT.

 

Kategori:Uncategorized

~ bumi hati ~

3 September 2011 Tinggalkan komen

RAMADAN sudah pun berlalu dan kini Syawal meriah dirai. Semoga hati, jiwa, akal dan fizikal yang dilatih sepanjang Ramadan dengan ibadat khusus dan kesabaran bekerja, membuahkan keriangan serta kepuasan berhari raya penuh kesyukuran.

Walaupun kemenangan yang diraikan itu cumalah sehari, amalan kunjung-mengunjungi, ziarah-menziarahi, bermaaf-maafan, saling mengucapkan selamat dan menjamu tetamu dalam rumah terbuka ada kala berlarutan kemeriahannya sehingga sebulan.

Budaya ini pula bukan sekadar dirai antara keluarga, sanak saudara serta jiran tetangga tetapi juga bersama golongan anak yatim, kurang upaya, rakan taulan serta teman sepejabat. Kemeriahan ini mengeratkan hubungan silaturahim dan persahabatan. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, tetangga dekat dan jauh, teman sejawat, ibu hamil dan hamba sahayamu.” (Surah al-Nisa’, ayat 36) 

Perlu diingatkan, nilai murni ini tidak sekadar diamalkan pada musim perayaan tetapi bulan selanjutnya. Ia juga janganlah hanya dizahirkan dalam kalangan sanak saudara dan jiran tetangga, sebaliknya hendaklah diamalkan sepanjang masa dan di mana juga berada. 

Inilah sebenarnya keindahan akhlak daripada ibadat Ramadan yang dituai buahnya dalam Syawal. Sesungguhnya nilai itu bukan sekadar mengeratkan tetapi juga mengundang keberkatan rezeki, masa dan umur. 
Sabda Rasulullah SAW daripada Anas bin Malik yang bermaksud: “Barang siapa suka untuk dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia menghubungkan silaturahim.” (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim) 

Menurut Imam al-Nawawi, yang dimaksudkan dengan pertambahan umur dan rezeki hasil daripada hubungan silaturahim ialah keberkatan serta taufik sebagai natijah masa diluangkan untuk kerja serta hubungan yang bermanfaat. 

Imam al-Syafie juga menekankan supaya manusia sentiasa menyibukkan diri dengan kebaikan kerana jika tidak, dirinya akan disibukkan dengan kebatilan. 

Walau bagaimanapun amalan berteraskan nilai akhlak ini perlu dilakukan dengan hati yang bersih, suci daripada sifat mazmumah seperti bertujuan membanggakan diri, menunjuk-nunjuk, memandang rendah kepada kurang berada, berpura-pura dalam persaudaraan, iri hati dan sifat berlebihan yang membawa kepada pembaziran. Kesemua sifat ini boleh memakan kebaikan yang dilakukan. 

Benarlah kata-kata Saidina Ali yang dipetik dalam buku Nahj al-Balaghah, hati ibarat bumi yang menerima apa saja yang ditanam. Dan apa yang dituai nanti adalah hasil daripada apa ditanam. Ertinya, jika hati ditanam dengan kemanisan hidup bersaudara nescaya itulah yang akan dirasai. 

Oleh itu, marilah kita berusaha memastikan apa juga benih ditabur dalam ‘bumi hati’ adalah benih yang subur dan bermanfaat supaya pintu rumah dan pintu pejabat yang terbuka luas menyambut kehadiran tetamu berkunjung disambut bersama hati luhur dan kaya dengan kesantunan diri. 

Sebab itulah Rasulullah SAW meletakkan tiga pantang larang dalam menjalinkan perhubungan iaitu tiga pantang larang untuk menjaga dirinya dan tiga pantang larang terhadap orang lain. 

Pantang larang untuk menjaga diri ialah jangan suka berdebat, menyombong diri dan melakukan perbuatan tidak bermanfaat, manakala terhadap orang lain pula ialah jangan mencela, mengejek dan mencari kesalahan orang lain. (Hadis riwayat al-Termizi) 

Pantang larang ini jika kita sama-sama mengawal diri serta menjaga supaya tidak melanggarinya akan melahirkan kebahagiaan dan keamanan dalam apa juga hubungan sosial. Pada masa sama, budaya ini perlu disemarakkan dalam kehidupan berorganisasi supaya dapat mengeratkan hubungan sesama rakan sekerja. 

Kesannya, pekerja ceria, pelanggan mendapat kepuasan manakala kerja dilakukan pula boleh menjadi sesuatu yang menyeronokkan walaupun ada kala berdepan dengan kerenah atau kesukaran. Ini menjadikan silaturahim antara warga organisasi tanpa mengira kedudukan umpama satu keluarga. 

Budaya hidup secara berakhlak dan harmoni adalah sunnah Nabi SAW yang amat dituntut kepada umat Baginda bagi mencerminkan keindahan ajaran Islam. Oleh itu, marilah kita bersama memelihara serta membudayakannya di mana juga kita berada dan dalam apa juga urusan yang dilakukan. 

Amalan baik apabila terus dilakukan akan menjadi budaya dan budaya baik akan mencerminkan kekuatan sesebuah masyarakat, bangsa yang kuat akan mampu menjadi contoh kepada yang lain. 

Apabila ‘kitaran amal salih’ ini berterusan, maka setiap daripada mereka sama ada yang mencetuskan idea, menunjuk cara, mengatur strategi, mengawal selia, melaksana, meniru cara, menerima manfaat manakala organisasi dan negara dilimpahi rahmat, keberkatan serta mendapat keampunan.

 

 

Kategori:Uncategorized