Arkib

Archive for November 2011

~ hijrah & fitrah ~

27 November 2011 Tinggalkan komen

HAK asasi manusia adalah sesuatu yang penting bagi menjamin keperluan dan kepentingan asasi setiap insan. Penakrifan hak asasi manusia berbeza dari satu negara ke satu negara lain.

Namun hak asasi seperti kebebasan menjalani kehidupan yang mengikut lunas undang-undang, agama dan budaya, hak untuk mendapat pelajaran dan mencari pekerjaan, hak bersuara dan hak beribadat misalnya adalah sesuatu yang asasi dan fitrah bagi setiap individu.

Hak kemanusiaan kadangkala dianggap sebagai tanggapan moral yang didukung oleh masyarakat dan sebahagian besarnya dilaksanakan dengan undang-undang.

Justeru, hak-hak yang digariskan oleh setiap perlembagaan sesebuah negara dan agama pelu diakui dan perlu ditegakkan secara adil, berhemah dan bijaksana.

Namun apabila disebut tentang hak asasi manusia, Barat sering dijadikan rujukan mutlak. Cara berfikir dan cara hidup orang Barat dijadikan penimbangtara mengenai jenis hak asasi manusia yang harus digunapakai.

Negara seperti Malaysia tidak sama dengan Sweden atau Amerika Syarikat yang perlu dijadikan rujukan mutlak mengenai gaya hidup dan cara berfikir masyarakatnya. Para remaja tidak harus menentang untuk menjadi negara maju tetapi biarlah maju dalam acuan kita sendiri.

Acuan kita sendiri tidak bermaksud untuk menolak faktor maju daripada Barat tetapi binaan negara Malaysia yang memiliki kepelbagaian budaya, agama dan system kepercayaan memungkinkan hak asasi ditegakkan atas faktor-faktor berkenaan.

Kemajuan ilmu pengetahuan serta kemajuan yang diperolehi daripada Barat misalnya, harus dijadikan sebagai faedah berbanding yang baik bagi Malaysia.

Walaubagaimanapun, para remaja harus sedar bahawa Barat kini sedang mengalami pengaruh pasca-modenisme dan neoliberalisme yang sifatnya anarki.

Krisis genetik yang mereka alami, penolakan terhadap sistem kekeluargaan, berkembangnya amalan gay dan lesbian, kebebasan tanpa batas yang berlaku di kalangan remaja dijadikan kriteria penting dalam menentukan hak asasi manusia.

Mereka tidak lagi dipandu oleh etika agama jauh sekali aliran falsafah yang membawa ke arah kemurnian. Hak asasi banyaknya hanya dihubungkan dengan faham individualistik, konsumeristik dan hedonisitik.

Hak asasi adalah fitrah

Islam menghubungkan hak asasi dengan sesuatu yang amat fitrah. Fitrah kejadian manusia tidak boleh sebebas-bebasnya berjalan tanpa pedoman nilai dan etika.

Kerana itulah Islam meletakkan kesejahteraan hidup manusia dengan batas pedoman yang terbaik supaya kehidupan manusia berjalan secara manusiawi dan mempunyai etika dan nilai yang sentiasa menjaga kepentingan adab dan kesantunan dalam kehidupan.

Justeru, apabila ada pihak ingin menganjurkan kegiatan Seksualiti Merdeka 2011 di Malaysia, ia adalah suatu kesongsangan dalam memahami makna kebebasan dan hak asasi dalam realiti Malaysia.

Setiap agama di Malaysia tidak mengizinkan kesongsangan seperti ini terjadi kerana ia sesuatu yang bertentangan dengan fitrah.

Kerosakan yang dibawa oleh budaya popular Barat terhadap generasi muda sudah cukup meresahkan banyak pihak, apatah lagi dengan budaya songsang ini.

Ibrah yang diperolehi daripada kisah hubungan sejenis oleh kaum Nabi Lut a.s yang termaktub dalam al-Quran memberi pedoman jelas kepada para remaja tentang kesan-kesan akibat kesongsangan dan pelanggaran terhadap hak-hak yang fitrah.

Pada masa itu, kaum Lut dibinasakan akibat kedegilan mereka. Pada hari ini budaya sedemikian yang berkembang di Barat antara lain menyebabkan musibah AIDS/HIV yang menjadi episod bencana yang belum terlerai yang berpunca daripada kerosakan oleh manusia sendiri.

Remaja harus peka bahawa antara agenda globalisasi yang sedang berjalan ialah mengembangkan faham liberal dan neo-liberalisme ke negara-negara Islam supaya perubahan yang dibawa ialah ke arah pembebasan diri dari ikatan agama.

Islam dengan strategi Islamophobia Barat dilihat sebagai ancaman kepada kelangsungan dunia Barat. Mereka tahu Islam yang dikembangkan dalam bentuk ketamadunan menjadi penggugat kepada tamadun Barat yang sudah berlangsung lebih 700 tahun.

Mereka tahu bahawa kekuatan tamadun Barat pernah terhutang ilmu kepada kekuatan tamadun Islam suatu ketika dulu di Andalusia yang juga berkembang lebih 700 tahun.

Kebangkitan kesedaran Islam di Barat hari ini menjadikan mereka bimbang tentang kemungkinan Islam dengan potensi yang ada padanya muncul sebagai order baru dunia masa depan.

Hak asasi islami

Hak asasi dalam Islam mengambil pendekatan syarie dalam memberikan batas dan pedoman terhadap sesuatu yang manusia lakukan.

Ia tidak sama dengan pendekatan Barat yang menjadikan faham liberal dan neo-liberalisme yang mengabaikan pertimbangan agama dan etika sebagai landasan mengungkapkan hak asasi manusia.

Pendekatan integratif dalam proses pengilmuan dan pendidikan ini amat dituntut supaya corak modal insan yang bakal dilahirkan mampu menjadikan landasan syariah sebagai rujukan utama.

Terdapat aspek positif dalam binaan hak asasi yang terdapat di Barat boleh diambil dan disesuaikan dengan iklim beragama dan berbudaya dan tradisi berfikir masyarakat Malaysia.

Kebebasan bersuara, berfikir, melakukan interaksi sosial, menentukan keadilan dan kesaksamaan tegak secara beretika adalah sumber hak asasi yang baik dan patut dicontohi.

Menghormati perbezaan anutan agama dalam masyarakat Malaysia, kelainan amalan tradisi dan budaya adalah sesuatu yang menepati maksud hak asasi manusia.

Secara dasarnya, hak asasi yang Islami atas asas maqasid syariah (maksud hukum syarak) mempunyai enam dasar atau usul. Enam dasar atau usul itu menjadi tunjang kepada pemahaman terhadap hak asasi yang Islami.

Pertamanya, pentingnya hak asasi yang dikembangkan atas maksud memelihara agama. Dalam erti kata yang luas hak asasi menjadi kepentingan akidah, ibadah, syariah dan akhlak supaya pembangunan dan pengurusan diri insan berlaku dengan menjadikan akidah sebagai ikatan manusia dengan Allah.

Kedua, kepentingan nyawa manusia yang melibatkan hukum dan perundangan supaya sistem kehidupan manusia diatur atas rasa saling menghormati faktor nyawa yang dikurniakan Allah yang dipedomankan atas asas syariah supaya tidak berlaku kacau bilau dan melampaui batas.

Ketiga, pentingnya dipelihara akal supaya akal menjadi sihat dan tangkas. Maksud memelihara akal ialah supaya akal itu diberikan ilmu yang benar yang bakal membangun suatu peribadi.

Ia menghasilkan insan yang mempunyai pertimbangan yang waras dan bijaksana dalam pemikiran dan juga amalan.

Para remaja mesti menyedari bahwa akal yang positif, sihat serta tangkas menjadi asas pembinaan etika dan tamadun. Kerana itulah pengharaman Islam terhadap arak, dadah serta perkara-perkara yang merosakkan adalah untuk memelihara akal manusia supaya kewarasan dalam diri dapat menghasilkan tindakan serta amalan yang bijak dan beretika.

Keempat, hak menjaga harta kerana ia adalah kurniaan Allah yang amat berharga supaya kecenderungan eksploitasi tidak berlaku dan manfaat harta apabila diurus mengikut pedoman syarak akan membawa kesejahteraan kepada umat manusia.

Kelimanya adalah mengenai keturunan yang perlu dipelihara supaya sistem keluarga terurus dengan baik dan memberi manfaat kepada umat manusia.

Faktor syarak dalam pertimbangan tentang pentingnya keturunan dijaga sangat ditekankan supaya hubungan sesama manusia berjalan dengan baik, tidak berlaku kemungkaran yang menyebabkan perkembangan keturunan menjadi rosak.

Misalnya, perintah Allah supaya jangan mendekati zina adalah kata kunci terbaik dalam memelihara keturunan yang baik.

Tuntutan keenam pula adalah menjaga maruah supaya jati diri manusiawi tidak hilang. Jati diri Islami memberi gambaran tentang imej dan kekuatan Islam itu sendiri.

Islam dan orang Islam menjadi sumber dakwah dan sumber contoh kepada orang lain.

Jika keindahan dan kesyumulan agama Islam tidak terlihat pada contoh pemeluknya dalam percakapan dan perbuatan, maruah Islam akan tercalar.

Justeru, menjaga maruah Islam adalah dengan menjaga maruah diri dan maruah diri terbina dengan kekuatan ilmu, pemikiran dan amalan agar selari dengan fitrah insan yang ingin menjadikan faktor manusiawi sebagai refleksi kehidupan. 🙂

 

Advertisements
Kategori:Uncategorized

~ menyemai cinta pada tempatnya ~

22 November 2011 Tinggalkan komen

Antara ciri-ciri organisasi yang berjaya ialah apabila mempunyai warga kerja yang cinta kepada organisasi. Rasa cinta itu sebenarnya sangat penting untuk melahirkan kesetiaan, ketaatan dan disiplin yang cemerlang.

Pendek kata, rasa cinta dapat menjadi pencetus semangat dan motivasi kepada pekerja untuk berdepan dengan susah atau senang bagi menjayakan segala matlamat, visi dan misi yang disasarkan oleh organisasinya.

Sekadar memetik sepotong dialog drama Melayu “Demi cinta, lautan api pun aku sanggup renangi”. Demikianlah, betapa besarnya kesan dan implikasi cinta.

Cinta kepada organisasi bermaksud seseorang itu mempunyai rasa kasih dan sayang kepada organisasi yang menaunginya dengan menunjukkan kesetiaan, ketaatan dan ketekunan untuk membina kejayaan organisasinya.

Cinta adalah perasaan yang tidak dapat dilihat dan dijelaskan, tetapi ia dapat dirasai kerana akan terkesan melalui perbuatannya. Kemuncaknya, seseorang itu apabila telah sampai kepada cinta yang sejati, dia akan sanggup berkorban demi mempertahankan cintanya itu.

Sebagaimana sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang sanggup mengorbankan harta, masa, tenaga bahkan diri mereka demi mempertahankan cinta kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW.

Banyak organisasi pada hari ini menghadapi masalah kekurangan pekerja yang mahir dan berpengalaman. Ini disebabkan ia gagal mengekang budaya cabut lari di kalangan tenaga kerja.

Akhirnya, pihak syarikat terpaksa mencari pengganti yang kurang berpengalaman atau sudah berpengalaman tetapi dengan bayaran gaji yang lebih tinggi. Walaupun telah dinaikkan gaji dan pangkat, namun tetap gagal membendung sikap cabut lari di kalangan pekerja.

Bahkan, ada segelintir pekerja yang lantang memburukkan organisasinya secara terbuka di facebook, twitter, blog dan medium-medium yang lain.

Malahan, ada juga yang sanggup mendedahkan rahsia organisasi kepada pesaing-pesaing dengan tujuan menjatuhkan organisasinya. Semua itu berlaku sebenarnya bertitik-tolak daripada tandusnya rasa cinta kepada organisasi.

Hakikatnya, menjaga sekumpulan pekerja supaya cinta, setia dan taat kepada organisasi bukanlah mudah sebagaimana yang disangka.

Ia memerlukan penerapan yang mengambil masa yang agak lama. Tidak cukup dan tidak memadai dengan cogan kata yang indah namun gersang dari sebarang erti.

 

Cara semai cinta

Justeru, beberapa langkah positif perlu diambil oleh majikan bagi membina dan menyemai perasaan cinta dalam diri warga kerjanya kepada organisasi.

Pertama, cinta kepada organisasi mestilah dibina di atas asas cinta yang betul iaitu cinta kepada Allah SWT dan cinta kepada Rasul SAW. Ini kerana cinta kepada kedua-duanya adalah paksi kepada cinta kepada selainnya.

Diriwayatkan daripada Anas r.a, katanya: Nabi SAW bersabda: Tiga perkara, jika terdapat di dalam diri seseorang maka dengan perkara itulah dia akan memperoleh kemanisan iman: Seseorang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih daripada selain kedua-duanya, mencintai seorang hanya kerana Allah, tidak suka kembali kepada kekafiran setelah Allah menyelamatkannya daripada kekafiran itu, sebagaimana dia juga tidak suka dicampakkan ke dalam neraka. (riwayat Bukhari, Muslim, Tirmizi dan Nasaie)

Sekiranya cinta kepada Allah dan Rasul diletakkan pada tempat yang paling tinggi, maka pekerja tidak akan melakukan penyelewengan, pecah amanah dan khianat kepada organisasinya.

Sebab itu, orang yang meletakkan cinta kepada dunia melebihi cinta kepada Allah dan Rasul akan menerima kehancuran.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah: “Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluarga dan harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq”. (at-Taubah: 24).

Seterusnya, bagi menyemai rasa cinta kepada organisasi, perlu diwujudkan suasana ukhuwah dan persaudaraan di kalangan warga kerja. Ia boleh bermula di peringkat majikan atau pengurusan tertinggi terlebih dahulu.

Sikap lemah-lembut, bertolak-ansur dan sayang-menyayangi adalah elemen paling penting agar hubungan kekeluargaan serta adik-beradik dapat diwujudkan.

Justeru, Allah SWT berfirman yang bermaksud: … Nabi Muhammad (SAW) adalah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaliknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam)… (al-Fath: 29)

Bagi menjayakan agenda pemurnian kasih sayang ini, strategi yang berkesan perlu dilaksanakan.

Antaranya, dengan mencipta cogan kata atau slogan yang boleh melahirkan sense of belonging atau rasa kepunyaan dalam diri setiap warga kerja sekali gus dapat mewujudkan budaya kerja yang amanah dan berdedikasi.

Majikan dan pekerja juga perlu menjaga tutur kata dan mengawal kemarahan. Gunakanlah perkataan yang sesuai pada tempatnya.

Maaf juga adalah budaya yang patut disemai dalam organisasi khususnya apabila melakukan kesalahan dengan sengaja atau tidak sengaja.

Ia mungkin kesalahan kecil, namun dapat memberikan impak terutamanya kepada perasaan orang lain. Justeru, lazimilah meminta maaf kerana ia tidak akan sekali-kali merendahkan martabat kita. Hanya orang yang ego sahaja yang tidak tahu meminta maaf.

Akhirnya, elemen yang juga penting untuk mewujudkan kesetiaan adalah ganjaran yang setimpal terhadap tanggungjawab yang diamanahkan. Ia juga menjadi faktor kesetiaan seseorang kepada organisasinya.

Kategori:Uncategorized

~ muhasabah solat kita ~

22 November 2011 Tinggalkan komen

SOLAT adalah komunikasi antara seorang hamba dengan Allah SWT yang seharusnya terjadi dengan suasana penuh mesra dan bahagia. Solat yang benar-benar diterima mendatangkan ketenangan dan kebahagiaan dalam kehidupan seseorang.

Solat yang sempurna juga melahirkan natijah kejayaan hidup di dunia dan di akhirat, sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah dalam firman-Nya; Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya. (al-Mukminun: 1-2)

Walaupun kita menunaikan solat setiap hari namun, sejauhmana keyakinan kita dalam melakukan amalan ibadah yang diperintahkan kepada kita dalam rukun Islam kedua itu dengan sempurna dan diterima oleh Allah. Atau mungkin sekadar mendatangkan penat dan letih sahaja.

Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Berapa ramai orang yang mendirikan solat, tetapi yang diperolehi hanya penat dan letih, kerana mereka itu lalai dalam sembahyangnya, Rasulullah SAW bersabda lagi yang bermaksud, “Tidak ada habuan bagi seseorang hamba dalam sembahyangnya kecuali sekadar mana yang ia ingat.” (riwayat an-Nasaie)

Untuk memperoleh solat yang sempurna perlu disertai dengan persediaan dari segi rohani dan juga jasmani.

Solat perlu dilakukan keadaan yang selesa di samping menumpukan sepenuh perhatian serta menghadirkan hati kepada Allah SWT sebagai persediaan rohani.

Daripada segi jasmani pula, solat adalah perbuatan anggota tubuh dan bacaan yang sempurna.

Justeru, untuk memperoleh solat yang sempurna yang menjanjikan ketenangan serta kebahagiaan hidup, maka amat penting kepada kita untuk menunaikan solat dengan penuh rasa khusyuk dengan memahami dan menghayati setiap patah perkataan yang diucapkan.

Maka proses komunikasi antara seorang hamba dan Penciptanya akan lebih bermakna dan memberikan kesan yang terbaik.

Kategori:Uncategorized

~ erti sebuah hijrah ~

22 November 2011 Tinggalkan komen

BULAN Zulhijjah 1432 Hijrah kian menghampiri penghujungnya dan tahun baru bakal menjengah tiba.

Pelbagai usaha dan cara dilakukan umat Islam dalam menyambut kedatangan Maal Hijrah yang mengingatkan kita kepada peristiwa penghijrahan Rasulullah SAW dan sahabat Baginda.

Hijrah ialah langkah strategik diambil Rasulullah SAW untuk menegakkan dakwah Islamiah.

Kejayaan hijrah menjadi jambatan tertegaknya Daulah Islamiah kerana hijrah dipandu dan didukung keimanan serta ketakwaan yang padu.

Kejayaan hijrah ini juga mengubah landskap akidah, ibadah, akhlak dan gaya hidup ummah ketika itu.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan sesiapa yang berhijrah di jalan Allah, nescaya ia akan dapati di bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur: dan sesiapa yang keluar dari rumahnya untuk berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian ia mati sesungguhnya sudah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah an-Nisa’, ayat 100)

Kejayaan Nabi SAW tiba di Madinah al-Munawwarah diteruskan dengan agenda membangun negara berteraskan petunjuk al-Quran.

Dalam masa 10 tahun saja, Madinah berjaya mengalahkan kuasa besar seperti Rom timur dan Parsi.

Pengajaran penting kepada kita daripada peristiwa hijrah Rasulullah SAW ini ialah mengikuti jejak langkah Baginda yang menjadikan tuntutan iman dan takwa sebagai faktor pendorong kepada tugas berhijrah.

Justeru, kita perlu berusaha menyuburkan iman dan takwa supaya menjadi panduan kehidupan.

Pemantapan iman berkait rapat dengan ilmu dan pendidikan.

Maka, Islam memberi penekanan terhadap penguasaan ilmu dan pendidikan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu, dan juga orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Mujadalah, ayat 11)

Pendidikan ialah matlamat utama melahirkan individu Muslim yang berilmu dan membina masa depan ummah contoh.

Peredaran zaman memberi kesan kepada perubahan gaya hidup manusia termasuklah cara bertindak dan berfikir.

Bagi menjana ummah berkualiti, pendidikan bersepadu dan menyeluruh membabitkan fardu ain, fardhu kifayah dan teknologi maklumat perlu dititikberatkan.

Umat Islam dituntut memperkukuh ilmu fardu ain dengan mendalami pengetahuan agama seperti dalam bidang tafsir al-Quran, hadis, fiqh, akidah dan sebagainya sebagai benteng kepada keutuhan, kekuatan iman serta pegangan agama Islam.

Berdasarkan pemerhatian dalam bidang tertentu seperti ilmu matematik, sains fizik, kimia, biologi, kejuruteraan, perubatan dan bidang sains lain, didapati bahawa umat Islam ketinggalan jauh berbanding pencapaian bangsa lain.

Ini cabaran hebat kepada umat Islam di negara ini dalam usaha membina masa depan cemerlang.

Memperkasa umat Islam sebagai umat yang unggul menuntut kebijaksanaan tinggi.

Dalam bidang ilmu dan pendidikan mestilah ada perubahan iaitu tajdid.

Pembaharuan ilmu dan pendidikan bersifat semasa mampu melepaskan seseorang itu daripada belenggu kebekuan bersifat tradisi.

Cara ini akan melahirkan ilmuwan selari dan senafas dengan zaman serta cabaran lingkungan terkini.

Memperkasa umat Islam haruslah bermula dengan contoh dan teladan supaya menjadi sumber ikutan baik dalam kalangan umat lain.

Umat Islam mestilah diberikan suasana kebebasan membuat pandangan supaya setiap pihak merasa selesa bahawa kritikan membina untuk kebaikan semua.

Kita semua sedia maklum pendidikan berkesan tidak akan terlaksana jika tidak dijayakan secara bersungguh-sungguh serta mendapat kerjasama dan sokongan semua pihak terutama institusi keluarga.

Bersempena kedatangan tahun baru hijrah, marilah bersama bertindak secara proaktif bagi memastikan masa depan generasi umat Islam lebih cemerlang dengan memperkasa sektor pendidikan yang menjadi teras membina masa depan keluarga, generasi dan negara.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah: adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui. Sesungguhnya orang yang dapat mengambil peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna.” (Surah Az-Zumar, ayat 9)

 

Kategori:Uncategorized