Arkib

Archive for Januari 2012

~ dunia semakin tua ~

MAKHLUK dan alam luas ciptaan Allah SWT akan tiba masanya menempuh saat kemusnahan dan kehancuran. Lihatlah tumbuh-tumbuhan menghijau di sekeliling kita akhirnya akan kuning layu, besi yang keras berkarat dan menjadi reput, makanan segar menjadi basi, manusia dimamah usia, akhirnya menemui ajal.

Dunia yang kita duduki dan diami hari ini pun semakin tua. Suasana yang berlaku bukan terjadi secara kebetulan tetapi suatu perkhabaran dan petanda awal bahawa seluruh ciptaan Allah SWT akan menemui ajalnya pada suatu detik dinamakan kiamat.

Apabila matahari dilingkari cahayanya (dan hilang lenyap). Dan apabila bintang gugur berselerak dan apabila gunung-ganang diterbangkan ke angkasa (selepas dihancurkan menjadi debu). – Surah at-Takwir, Ayat 1-3

Tiupan sangka kala pertama tanda bermulanya kiamat, manakala tiupan sangka kala kedua menandakan kebangkitan manusia yang mati sejak zaman nabi Adam sehingga manusia terakhir ketika berlaku kiamat.

Roh dan tubuh badan manusia yang berpisah ketika di alam barzakh bercantum semula hingga lengkap seperti tubuh sebelum mati untuk menghadapi hari pengadilan.

Dahsyatnya kiamat dijelaskan Allah SWT dalam firman yang bermaksud: “Apabila matahari dilingkari cahayanya (dan hilang lenyap). Dan apabila bintang gugur berselerak dan apabila gunung-ganang diterbangkan ke angkasa (selepas dihancurkan menjadi debu).” (Surah at-Takwir, ayat 1-3)

Kebangkitan semula manusia selepas kiamat akan dihimpunkan di padang Mahsyar untuk menghadapi perbicaraan atau timbangan amalan di dunia. Setiap sudut padang Mahsyar penuh sesak dengan manusia dan jin untuk bersama mengharungi hari hisab.
Menurut Imam Ghazali, padang Mahsyar itu suatu dataran bumi yang luas, saujana mata memandang tidak dapat dihitung dengan ilmu manusia, keadaan bumi yang putih dan rata, tiada gunung ganang dan tiada pokok kayu untuk dijadikan tempat berteduh.

Pada dataran putih itulah manusia yang baru dibangkitkan semula dihalau ke sana seperti binatang ternakan keluar dari kandangnya atau seperti kanak-kanak baru lahir, dengan keadaan berkaki ayam dan bertelanjang bulat tanpa pakaian.

Dalam keadaan terlalu gawat menghadapi cabaran Mahsyar itu manusia terlupa dirinya tidak berpakaian kerana memikirkan bagaimana hendak menyelamatkan diri masing-masing.

Abu Hurairah berkata, beliau mendengar Rasulullah SAW berpidato di hadapan sahabat bahawa manusia di padang Mahsyar akan dibangkitkan kelak dalam tiga bentuk. Pertama, dibangkitkan dengan keadaan kenderaan sudah tersedia untuk membawa mereka.

Kedua, manusia yang berjalan kaki dan ketiga, manusia yang berjalan dengan mukanya tertungging ke tanah. Digambarkan juga suasana hiruk-pikuk dan kucar-kacir yang menyelubungi manusia kerana masing-masing sibuk dengan hal tersendiri.

Ada yang berjalan, merangkak dan bermacam lagi dalam suasana panas cahaya matahari berada hanya sejengkal di atas kepala. Ada sesetengah manusia ditenggelami dengan peluh yang banyak dan berbau busuk bergantung kepada tahap amalan semasa di dunia.

Ketika sedang terlalu dahaga, datang malaikat Zabaniah membawa air untuk ahli Mahsyar. Pada mulanya ahli Mahsyar amat gembira, malangnya air itu tersangat panas sehingga apabila mangkuk air didekatkan ke bibir, maka daging bibir luruh berguguran kerana air terlalu panas.

Persoalan besar timbul dalam kalangan ahli di padang Mahsyar ialah berapa lama mereka mesti berada di dataran itu? Ada pendapat mengatakan selama 300 tahun mengikut tahun akhirat.

Walaupun tidak ada pohon untuk memberi perlindungan dari bahan panas terik, tetapi Allah SWT menyediakan bayang Arasy yang redup. Mereka yang mendapat naungan Arasy antaranya ialah golongan al-Muqarrabun iaitu orang yang dekat dengan Allah SWT.

Golongan al- Muqarrabun merujuk kepada mereka ketika hidupnya di dunia sentiasa patuh arahan Allah SWT serta meninggalkan perkara yang dilarang sama ada dalam soal akidah atau syariah.

Yakinlah bahawa setiap manusia di padang Mahsyar nanti akan melalui perbicaraannya, disoal dan diperiksa satu persatu, tidak akan terkecuali sesuatu pun dari hidupnya di dunia sekalipun yang sulit dan tersembunyi. Bahkan semua anggota dan bahagian kecil tubuh pun ditanya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak berganjak kedua kaki seseorang dari tempat berdirinya di mahkamah Tuhan pada hari kiamat sehingga ia disoal empat perkara; umurnya pada perkara apakah ia habiskan; masa mudanya untuk apa digunakan; harta bendanya dari manakah ia dapati dan pada perkara apakah ia belanjakan dan amalan dilakukan sesuai dengan apa yang telah diketahuinya?” (Hadis riwayat At-Tirmizi)

Insaflah dan sedarlah bahawa kegawatan dan kesengsaraan di padang Mahsyar yang memakan masa ratusan tahun itu amat dahsyat. Marilah kita semasa masih sihat, bertenaga dan ada peluang melakukan muhasabah diri serta sentiasa bertaubat kepada Allah SWT.

Muhasabah penting supaya buku rekod catatan amalan menunjukkan amalan yang cemerlang dan digolongkan sebagai kumpulan al-Muqarabbun.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah engkau menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka. Mereka terburu-buru sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata tidak berkelip, dan hati mereka tidak bersemangat kerana bingung dan cemas.” (Surah Ibrahim, ayat 42-43)

 

Advertisements
Kategori:Uncategorized

~ mencari kesepakatan di sebalik virus perbezaan ~

DEKAD lamanya kita masih belum menemui jalan terang bagi menyinari maksud perselisihan. Perselisihan hari ini adalah disebabkan percaturan ego yang sering mahu menempatkan diri kita ditempat yang tinggi.

Oleh itu ruangan kali ini lebih untuk berkongsi isu khilaf dan perpaduan kita bersama. Kita perlu sedar bahawa perbezaan maksud ikhtilaf dan khilaf itu sendiri.

Ikhtilaf membawa maksud perselisihan yang tidak membawa kepada persengketaan dan perbalahan.

Khilaf pula bermaksud sesuatu perselisihan yang sangat ketara hingga membawa kepada persengketaan yang berlarutan.

Hal ini disebut dalam kitab Adab Ikhtilaf Pada Masalah Ilmu Agama yang dikarang oleh Syeikh Muhammad Awwamah r.a.

Perlu diingatkan di sini bahawa keadaan perbezaan pendapat mestilah berakar umbi daripada perkara yang bersifat pecahan bahagian (furu’) di dalam agama.

Ada pun, perbezaan pendapat yang bersifat pokok (usul), mesti dijauhi kerana ia mungkin membawa manusia ke jalan yang sesat.

Pemahaman dan perselisihan kepada perkara ‘pokok’ yang keterlaluan mampu mewujudkan sindrom ‘mengkafirkan’ (takfir) puak-puak tertentu.

Sindrom ini amat berbahaya kerana ia mampu meletakkan kepincangan yang hebat dalam generasi ummah.

Dunia hari ini berkecamuk angkara perbalahan pendapat yang sangat ketara, tidak kira soal politik, ekonomi dan sosial, para ilmuan daripada bidang-bidang tertentu akan terus menyerang pihak lawan dengan isu dan pendapat yang sering bersalahan dengan kotak pemikiran lawan.

Hal ini mampu mengakibatkan perpecahan ummah dan realitinya berlaku hingga ke hari ini.

Mengikut konsep Islam, ikhtilaf mampu membawa kepada kemurnian beragama. Ia juga seiring dengan konsep menuntut ilmu apabila ikhtilaf itu digunakan dalam ruang lingkup yang betul.

Hati manusia yang digodam melalui al-Quran pasti terukir makna pencerahan minda. Hakikatnya, asas sesebuah kehidupan itu bertitik tolak pada niat individu dan komuniti itu sendiri.

Adapun kita berhadapan dengan dunia global tanpa sempadan. Semuanya mampu menjadi medan fitnah yang nyata.

Perbalahan antara ummah dan bangsa sendiri mampu meletakkan kita di paras yang rendah, mahupun ke menara gading telah dicapai. Sertakan adab dan disiplin yang menarik ketika ‘berselisih’.

Antara adab yang selalu dianjurkan para agamawan adalah berbentuk ikhlas, rendah diri dan hati, berkonsep lapang dada, berbaik sangka dengan keputusan lawan dan meletakkan para agamawan sebagai sumber rujukan ilmu yang paling utama.

Namun andai kata segala perbalahan ini tidak boleh diatasi dengan paras logik akal kita, mahu tidak mahu kembalilah kita kepada ajaran tuhan Yang paling Esa.

Mengapa mahu dicari selain kata, andai kata hikmah dan pengajaran daripada Allah telah diturunkan.

Hayati ayat Allah SWT yang membawa maksud: Wahai orang-orang beriman, taatilah Allah SWT dan taati Rasul dan Ulil Amri (pemegang kekuasaan) di antara kamu, kemudian jika kamu berbeza pendapat tentang sesuatu maka kembalikanlah kepada Allah SWT (al-Quran dan sunnah Rasul SAW), jika kamu beriman kepada Allah SWT dan hari kemudian yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (an-Nisa: 59)

Kesepaduan yang dibina juga atas jalan hikmah. Hikmah juga terbina atas dasar perbezaan pendapat yang diertikan dengan ikhtilaf.

Semasa peperangan yang berlaku di zaman kenabian, ramai yang tidak setuju dengan pembahagian harta yang diberikan lebih kepada kamu Ansar, padahal dalam masa yang sama kaum Muhajirin juga bersusah payah membelah keringat menentang musuh.

Antara hikmah paling besar dalam perbezaan pendapat antara Nabi Muhammad SAW dan sahabat r.a adalah kenikmatan beragama yang baru sahaja berputik daripada hati kaum Ansar itu perlu dititikberatkan.

Maka dengan itu, Nabi Muhammad SAW melebihkan bahagian kepada puak Ansar bagi memenangi hati mereka.

Kaum Muhajirin sebenarnya tidak perlu merasa rugi walaupun kecewa dengan tindakan Nabi Muhammad SAW kerana mereka sekian lama bersama Nabi Muhammad SAW. Mana mungkin mereka berpaling daripada ajaran baginda.

Akhirnya, dengan penjelasan hikmah yang cukup ringkas itu, para sahabat berpuas hati dan terus tetap (thabat) dalam perjuangan islam.

 

Kategori:Uncategorized