~ selamat berjuang ! ~

22 Disember 2011 Tinggalkan komen

SIKAP manusia banyak juga dipengaruhi budaya dan sosial yang dibina dalam proses mereka ditarbiah. Sekiranya sentiasa diajar bermalas-malasan, mereka tidak tahu rajin itu lebih baik. Sekiranya sentiasa diajar bermusuhan, mereka tidak tahu silaturahim itu lebih baik. Bahkan sekiranya mereka diberi kelonggaran untuk tidak menuntut ilmu, mereka tidak tahu belajar itu satu-satunya jalan keluar daripada kesusahan dan kepapaan. Mereka hanya akan menyedari ruginya menjadi jahil apabila mereka jauh ketinggalan.

 

Di dalam Islam, perkataan pendidikan atau tarbiah itu antara lain bermaksud suatu pendekatan yang terbaik sekali dalam bertafa’ul (berinteraksi) dengan fitrah insan dan melaksanakan proses pendidikan melalui tunjuk ajar dan teladan.

Satu teori pendidikan tidak akan sampai kepada matlamat yang dihajati jika ia gagal berfungsi dan tidak berkesan. Keberkesanan itu diukur dengan melihat sejauh mana hasil yang dihajati bertunas dan berkembang dalam diri individu yang dididik. Hasil pendidikan juga dapat dilihat melalui perubahan tingkah laku, tindakan dan hasil pemikiran mereka. Pendidikan yang tidak berkesan bukan saja merugikan tenaga, waktu dan wang, tetapi yang lebih dibimbangi apabila hasilnya bertentangan dengan apa yang dihajati.

Walaupun dengan menggunakan cara yang berbeza, tujuan tarbiah cuma satu, iaitu untuk memperelokkan peribadi dan menjadikan seseorang itu tahu membezakan apa yang baik dan buruk, juga yang halal dan haram. Setiap modul tarbiah yang digunakan pula adalah pemangkin untuk menyampaikan ilmu secara tidak langsung. Kehidupan seharian seorang anak yang bermula dengan bangun tidur secara beradab sehinggalah berakhir dengan pelukan dan ciuman sebelum tidur waktu malam penuh dengan modul tarbiah yang akan membina peribadinya kelak.

Malangnya, kekangan demi kekangan dalam kehidupan hari ini mengganggu proses tarbiah anak-anak. Ibu bapa bukan lagi menjadi pentarbiah yang konsisten, yang lengkap dengan modul rohani dan jasmani demi mencapai objektif yang digarap untuk kecemerlangan sahsiah anak-anak. Faktor sara hidup yang tinggi terutama menjadi halangan, sehingga kebanyakan ibu turut menanggung beban mencari nafkah dan mempertanggungjawabkan tugas tarbiah anak-anak dengan modul kehidupan seharian kepada pembantu rumah atau penjaga di pusat asuhan. 

Kalau pun pendapatan seorang bapa sudah cukup untuk menanggung keluarga, ramai pula yang hidup melampaui kemampuan. Justeru, ibu turut menunaikan tanggungjawab seorang bapa untuk mencukupkan segala keperluan. Bahkan ada ibu yang terpaksa bekerja kerana suami tidak mahu menunaikan tanggungjawab itu, suami dipenjarakan, suami hilang dan sebagainya. Yang menjadi mangsa ialah anak yang baru mengenal dunia. Tarbiah yang dibina dengan mempelajari bahawa seorang ibu perlu bekerja dan menunaikan tanggungjawab biologi serta taat sebagai isteri menjadikan anak-anak mengalah dan menjauhkan diri. Mereka anggap mereka bukan tergolong dalam sasaran yang perlu diberi perhatian oleh seorang ibu. 
Dalam konflik tanggungjawab ini, ibu bukanlah satu-satunya insan yang harus dipersalahkan apabila proses tarbiah anak terganggu. Banyak perkara yang harus disemak dan dipertimbangkan. Apabila Islam memberi tanggungjawab yang tidak sama kepada seorang suami dan seorang isteri atau seorang ibu dan seorang bapa dalam sesebuah keluarga, ia bukan bermakna Islam meninggikan atau merendahkan mana-mana pihak. Tanggungjawab seorang suami untuk mencari nafkah dan seorang isteri untuk mengandung, melahirkan serta mentarbiah anak sama penting dan sama payahnya.

Justeru, apabila seorang isteri menunaikan tanggungjawab sebagai isteri dan juga suami, yang menjadi masalah ialah apabila suami tidak mampu menunaikan tanggungjawab sebagai suami dan isteri. Sebab itulah ramai yang menggunakan khidmat pembantu rumah untuk menggantikan suami membantu tugas isteri. Akibatnya, tidak semua anak-anak ditarbiah untuk menjadi baik dan tahu membezakan yang halal dan haram.

Seorang bapa perlu mengetahui setiap perincian tanggungjawab sebagai pemimpin keluarga. Setiap tugas ada hikmahnya dan setiap amanah ada ganjarannya. Dalam konteks agama, seseorang itu menjadi pemimpin kerana banyaknya tanggungjawab yang harus ditunaikan, bukan banyaknya hak yang harus dituntut. Apabila hakikat ini tidak difahami, maka tugas dan fungsi sebagai bapa menjadi sebaliknya. Daripada menjadikan isteri dan anak-anak sebagai amanah yang harus dijaga dengan baik, mereka menjadikan isteri dan anak-anak sebagai pekerja yang sentiasa dikerah bertugas untuk kepuasan dirinya sebagai ‘ketua’. 

Hakikatnya, persefahaman antara suami dan isteri amat penting untuk melengkapkan proses pembinaan identiti anak. Gabungan antara akhlak baik yang diwarisi daripada ibu bapa dan ilmu yang dipelajari adalah pertautan yang lengkap untuk menjadikan seorang itu mempunyai sahsiah yang baik. Setiap insan apabila boleh berfikir, mereka perlu insaf bahawa kewujudannya mempunyai matlamat, perjalanannya mempunyai haluan dan hidupnya mempunyai tugas dan tanggungjawab. Justeru, umat Islam selaku sebahagian daripada entiti penting di dalam masyarakat juga tidak boleh lari daripada meningkatkan kesedaran tentang persoalan ini dan seterusnya bingkas bangun memuhasabah diri ke arah mengurus kejayaan hidup di dunia dan di akhirat.  🙂

 

 

Kategori:Uncategorized

~ penyakit hati ~

20 Disember 2011 Tinggalkan komen

ADA empat penyakit dalam diri individu yang semestinya dibasmi kerana jika dibiarkan, penyakit itu akan membarah dan membudaya kukuh sehingga menenggelamkan perwatakan individu sebagai seorang mukmin sebenar. Penyakit itu seperti kata Saidina Ali Abi Talib: “Kelak akan menimpa umat ini penyakit umat terdahulu iaitu penyakit sombong, kufur nikmat, mensia-siakan masa dan lupa diri dalam memperoleh harta dan bermegah-megah dengan harta. Mereka terjerumus ke dalam jurang kemenangan dunia, saling bermusuhan, dengki-mendengki dan dendam sehingga melakukan kezaliman.”

 

Ini senario dalam masyarakat Islam hari ini yang sentiasa lupa akibat perbuatan dan tingkah laku mereka yang menyeleweng daripada landasan agama, sedangkan Allah dan Rasul-Nya banyak memberi peringatan serta pesanan supaya berwaspada. Sikap pertama mesti dibendung ialah sombong kerana ini senjata syaitan untuk menjerumuskan seseorang ke jurang kehinaan.

Allah menegaskan dalam firman bermaksud: “Dan jangan engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan jangan engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong. Sesungguhnya Allah tidak suka orang yang sombong takbur lagi membanggakan diri.” (Surah Luqman, ayat 18) 

Sombong ialah penyakit hati yang akan memudaratkan hubungan dengan manusia lain. Bayangkan seandainya dia seorang peniaga. Bagaimanakah perniagaannya hendak berjaya dan dihormati pelanggan? 

Tentu peniaga sebegini dibenci dan dijauhi. Jadi, siapakah yang rugi? Sebaliknya, jika seseorang peniaga itu sentiasa berwajah manis dengan senyuman, sudah tentu ia akan menjadi faktor tarikan dan secara tidak langsung mampu melonjakkan keberkesanan perniagaannya. 
Perkara kedua kata Saidina Ali ialah kufur nikmat. Ini penyakit sangat berbahaya. Kufur nikmat ialah cepat lupa diri hingga lupa bersyukur kepada Allah yang memberikan nikmat. Ini warisan penyakit Firaun dan Qarun yang dilaknat Allah kerana sombong dan kufur dengan nikmat dikecapi. 

Seseorang itu dikategorikan sebagai kufur nikmat apabila bakhil terhadap harta kekayaannya. Jiwa terasa kaku untuk menghulurkan sedekah jariah buat insan lain yang memerlukan, apatah lagi berzakat? 

Ini semua akan mengundang padah dan laknat Allah serta bakal berhadapan seksa sengsara di akhirat nanti. Allah sudah memberi amaran keras terhadap orang yang kufur nikmat. 

Ditinjau dari perspektif psikologi, sikap kufur nikmat mencerminkan corak hati yang tamak dan rakus sehingga terbuai dalam keenakan harta dunia. Dari sisi pandang sosiologi pula, mereka dilihat insan yang ingin melihat hanya dirinya saja memperoleh nikmat. 

Ingat pesanan Rasulullah SAW yang bermaksud: “Seorang hamba berkata: Hartaku, hartaku! Sesungguhnya harta yang punya itu hanya ada tiga, iaitu apa yang ia makan hingga habis, apa yang ia pakai hingga usang dan apa yang ia berikan hingga ia mendapatkan pahalanya. Sedangkan harta selain itu akan menghilang dan ditinggalkan untuk orang lain (diwariskan).” (Hadis riwayat Muslim) 

Penyakit ketiga yang perlu dihindari ialah lalai dalam pengurusan masa. Jika diperhatikan, majoriti kaum muslimin yang leka dan melalaikan aspek mengurus masa. Lihat saja bagaimana anak muda saban malam berlumba haram, merempit di jalanan dan yang suka melepak di pusat beli belah. 

Ibnu Mas’ud meninggalkan wasiat berguna buat kita semua, katanya: “Demi Allah, aku tidak menyesali sesuatu pun seperti penyesalanku terhadap suatu hari yang matahari terbit di dalamnya, di mana ajalku semakin dekat dan amalku tidak bertambah.” 

Sementara, pesan Ibnu Umar pula: “Jika kamu memasuki waktu petang, maka jangan menunggu pagi. Apabila kamu memasuki waktu pagi, maka jangan menunggu datangnya petang.” Kedua-dua pesanan sahabat Rasulullah SAW itu wajar direnungi untuk memperkasakan kualiti pengurusan masa kita. 

Penyakit umat akhir zaman yang keempat sangat sinonim dengan situasi semasa yang sedang kita lihat iaitu bermegah dengan harta benda dunia. Manusia tidak lagi mempedulikan aspek etika dan aturan wajib dalam memperoleh harta, janji asal dapat. 

Bagaimana cara atau kaedahnya tidak diberikan perhatian disebabkan rakus dan berlumba mengejar harta dunia. Apa dinyatakan Saidina Ali ada kebenarannya. Oleh itu, kita perlu sentiasa berhati-hati supaya diri, keluarga, masyarakat dan negara tidak berada dalam bahaya. 

 

Kategori:Uncategorized

~ dunia menanti pemuda kita ~

15 Disember 2011 Tinggalkan komen

ANDAINYA setiap individu muslim memahami dan menyedari betapa cintanya Allah SWT kepada orang yang berbuat baik, sudah tentu dia akan merebut cinta Allah itu dengan mengisi setiap ruang waktu kehidupannya berbuat amal salih.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mencintai orang yang berbuat kebajikan.” (Surah al-Baqarah, ayat 195)

Dan sesiapa mengerjakan sesuatu dosa, maka sesungguhnya dia hanya mengerjakannya untuk (menjadi bala bencana yang) menimpa dirinya sendiri dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. – Surah al-Nisa, ayat 111
Jika setiap muslim itu benar-benar menginsafi betapa Allah SWT sangat membenci perlakuan jahat dan maksiat, sudah tentu dia akan berasa takut untuk mendekati segala perbuatan jahat dan mungkar. Jika sudah terlanjur, dia akan segera meninggalkannya dan bertaubat kepada Allah SWT.

Mukmin yang menjerumuskan dirinya dalam perlakuan jahat dan amalan mungkar sebenarnya terdedah kepada dosa, kemurkaan serta balasan Allah SWT sama ada di dunia atau akhirat kelak. Inilah perlu ditakuti muslim yang masih tidak mengendahkan tegahan Allah SWT. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan sesiapa mengerjakan sesuatu dosa, maka sesungguhnya dia hanya mengerjakannya untuk (menjadi bala bencana yang) menimpa dirinya sendiri dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Nisa’, ayat 111) 

Mereka yang meninggalkan larangan Allah SWT melalui fasa perubahan yang dinamakan hijrah atau transformasi diri. Tindakan ini perlu dilakukan setiap masa kerana amalan muhasabah memang digalakkan dan diterjemahkan usaha berubah kepada lebih baik dalam bentuk perlakuan. 
Mukmin yang sengaja tidak menghiraukan tegahan Allah dibimbangi ajal menjemputnya lebih dulu sebelum sempat bertaubat. Dinyatakan dalam hadis, Allah SWT cemburu kepada hamba-Nya yang melakukan perkara ditegah.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT memiliki sifat cemburu, dan kecemburuan Allah itu ialah apabila orang mukmin melakukan perbuatan yang diharamkan oleh-Nya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim) 

Sesungguhnya akhlak yang mulia adalah buah daripada ibadah yang sempurna. Ibadat yang difardukan Allah SWT seperti solat lima waktu, puasa, zakat fitrah dan ibadah haji, selain bukti kepatuhan kepada Allah SWT, juga membentuk pelakunya menjadi manusia berakhlak mulia. 

Dengan kemuliaan akhlak itulah, manusia mampu menjauhi segala amalan mungkar yang ditegah Allah SWT. 

Mukmin yang insaf bahawa hidup ini sementara dan amat singkat, sedangkan masa berlalu setiap saat adalah usianya, akan memandang umurnya masih berbaki itu sangat bernilai dan tidak wajar dibazirkan kepada perkara sia-sia.

Apalagi menjerumuskan diri ke kancah kejahatan dan maksiat. Hidup ini sebenarnya adalah kesempatan emas untuk memburu dan berlumba-lumba mengejar amal kebajikan sebagai bekalan menemui Allah SWT kelak.

Diceritakan, suatu hari seorang lelaki yang gemar berbuat maksiat datang menemui ahli sufi bernama Ibrahim bin Adham untuk meminta nasihat (dengan harapan ia dapat meninggalkan amalan maksiatnya). 

Ibrahim bin Adham lalu menasihati lelaki itu dengan berkata: “Jika kamu mahu menerima lima syarat dan mampu melaksanakannya, maka boleh kamu lakukan maksiat.”

Syaratnya ialah, jika kamu bermaksiat kepada Allah, jangan (kamu) makan rezeki-Nya; jika kamu berbuat maksiat, jangan tinggal di bumi-Nya, jika kamu masih bermaksiat, carilah tempat tersembunyi yang tidak dapat dilihat oleh-Nya.

Jika malaikat maut datang hendak mencabut rohmu, katakan kepadanya, ketepikan kematianku dulu kerana aku masih mahu bertaubat dan melakukan amal salih. Jika malaikat Zabaniah datang hendak mengiringimu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau ikut bersamanya. 

Nasihat Ibrahim bin Adham itu amat menusuk kalbunya, membuatkan lelaki berkenaan insaf. Air matanya bercucuran kerana tidak tahan mendengar nasihat sangat mengesankan dan sedar bahawa semua syarat itu tidak mampu dilaksanakannya. Mulai saat itu dia bertaubat kepada Allah SWT .

Kategori:Uncategorized

~ hijrah & fitrah ~

27 November 2011 Tinggalkan komen

HAK asasi manusia adalah sesuatu yang penting bagi menjamin keperluan dan kepentingan asasi setiap insan. Penakrifan hak asasi manusia berbeza dari satu negara ke satu negara lain.

Namun hak asasi seperti kebebasan menjalani kehidupan yang mengikut lunas undang-undang, agama dan budaya, hak untuk mendapat pelajaran dan mencari pekerjaan, hak bersuara dan hak beribadat misalnya adalah sesuatu yang asasi dan fitrah bagi setiap individu.

Hak kemanusiaan kadangkala dianggap sebagai tanggapan moral yang didukung oleh masyarakat dan sebahagian besarnya dilaksanakan dengan undang-undang.

Justeru, hak-hak yang digariskan oleh setiap perlembagaan sesebuah negara dan agama pelu diakui dan perlu ditegakkan secara adil, berhemah dan bijaksana.

Namun apabila disebut tentang hak asasi manusia, Barat sering dijadikan rujukan mutlak. Cara berfikir dan cara hidup orang Barat dijadikan penimbangtara mengenai jenis hak asasi manusia yang harus digunapakai.

Negara seperti Malaysia tidak sama dengan Sweden atau Amerika Syarikat yang perlu dijadikan rujukan mutlak mengenai gaya hidup dan cara berfikir masyarakatnya. Para remaja tidak harus menentang untuk menjadi negara maju tetapi biarlah maju dalam acuan kita sendiri.

Acuan kita sendiri tidak bermaksud untuk menolak faktor maju daripada Barat tetapi binaan negara Malaysia yang memiliki kepelbagaian budaya, agama dan system kepercayaan memungkinkan hak asasi ditegakkan atas faktor-faktor berkenaan.

Kemajuan ilmu pengetahuan serta kemajuan yang diperolehi daripada Barat misalnya, harus dijadikan sebagai faedah berbanding yang baik bagi Malaysia.

Walaubagaimanapun, para remaja harus sedar bahawa Barat kini sedang mengalami pengaruh pasca-modenisme dan neoliberalisme yang sifatnya anarki.

Krisis genetik yang mereka alami, penolakan terhadap sistem kekeluargaan, berkembangnya amalan gay dan lesbian, kebebasan tanpa batas yang berlaku di kalangan remaja dijadikan kriteria penting dalam menentukan hak asasi manusia.

Mereka tidak lagi dipandu oleh etika agama jauh sekali aliran falsafah yang membawa ke arah kemurnian. Hak asasi banyaknya hanya dihubungkan dengan faham individualistik, konsumeristik dan hedonisitik.

Hak asasi adalah fitrah

Islam menghubungkan hak asasi dengan sesuatu yang amat fitrah. Fitrah kejadian manusia tidak boleh sebebas-bebasnya berjalan tanpa pedoman nilai dan etika.

Kerana itulah Islam meletakkan kesejahteraan hidup manusia dengan batas pedoman yang terbaik supaya kehidupan manusia berjalan secara manusiawi dan mempunyai etika dan nilai yang sentiasa menjaga kepentingan adab dan kesantunan dalam kehidupan.

Justeru, apabila ada pihak ingin menganjurkan kegiatan Seksualiti Merdeka 2011 di Malaysia, ia adalah suatu kesongsangan dalam memahami makna kebebasan dan hak asasi dalam realiti Malaysia.

Setiap agama di Malaysia tidak mengizinkan kesongsangan seperti ini terjadi kerana ia sesuatu yang bertentangan dengan fitrah.

Kerosakan yang dibawa oleh budaya popular Barat terhadap generasi muda sudah cukup meresahkan banyak pihak, apatah lagi dengan budaya songsang ini.

Ibrah yang diperolehi daripada kisah hubungan sejenis oleh kaum Nabi Lut a.s yang termaktub dalam al-Quran memberi pedoman jelas kepada para remaja tentang kesan-kesan akibat kesongsangan dan pelanggaran terhadap hak-hak yang fitrah.

Pada masa itu, kaum Lut dibinasakan akibat kedegilan mereka. Pada hari ini budaya sedemikian yang berkembang di Barat antara lain menyebabkan musibah AIDS/HIV yang menjadi episod bencana yang belum terlerai yang berpunca daripada kerosakan oleh manusia sendiri.

Remaja harus peka bahawa antara agenda globalisasi yang sedang berjalan ialah mengembangkan faham liberal dan neo-liberalisme ke negara-negara Islam supaya perubahan yang dibawa ialah ke arah pembebasan diri dari ikatan agama.

Islam dengan strategi Islamophobia Barat dilihat sebagai ancaman kepada kelangsungan dunia Barat. Mereka tahu Islam yang dikembangkan dalam bentuk ketamadunan menjadi penggugat kepada tamadun Barat yang sudah berlangsung lebih 700 tahun.

Mereka tahu bahawa kekuatan tamadun Barat pernah terhutang ilmu kepada kekuatan tamadun Islam suatu ketika dulu di Andalusia yang juga berkembang lebih 700 tahun.

Kebangkitan kesedaran Islam di Barat hari ini menjadikan mereka bimbang tentang kemungkinan Islam dengan potensi yang ada padanya muncul sebagai order baru dunia masa depan.

Hak asasi islami

Hak asasi dalam Islam mengambil pendekatan syarie dalam memberikan batas dan pedoman terhadap sesuatu yang manusia lakukan.

Ia tidak sama dengan pendekatan Barat yang menjadikan faham liberal dan neo-liberalisme yang mengabaikan pertimbangan agama dan etika sebagai landasan mengungkapkan hak asasi manusia.

Pendekatan integratif dalam proses pengilmuan dan pendidikan ini amat dituntut supaya corak modal insan yang bakal dilahirkan mampu menjadikan landasan syariah sebagai rujukan utama.

Terdapat aspek positif dalam binaan hak asasi yang terdapat di Barat boleh diambil dan disesuaikan dengan iklim beragama dan berbudaya dan tradisi berfikir masyarakat Malaysia.

Kebebasan bersuara, berfikir, melakukan interaksi sosial, menentukan keadilan dan kesaksamaan tegak secara beretika adalah sumber hak asasi yang baik dan patut dicontohi.

Menghormati perbezaan anutan agama dalam masyarakat Malaysia, kelainan amalan tradisi dan budaya adalah sesuatu yang menepati maksud hak asasi manusia.

Secara dasarnya, hak asasi yang Islami atas asas maqasid syariah (maksud hukum syarak) mempunyai enam dasar atau usul. Enam dasar atau usul itu menjadi tunjang kepada pemahaman terhadap hak asasi yang Islami.

Pertamanya, pentingnya hak asasi yang dikembangkan atas maksud memelihara agama. Dalam erti kata yang luas hak asasi menjadi kepentingan akidah, ibadah, syariah dan akhlak supaya pembangunan dan pengurusan diri insan berlaku dengan menjadikan akidah sebagai ikatan manusia dengan Allah.

Kedua, kepentingan nyawa manusia yang melibatkan hukum dan perundangan supaya sistem kehidupan manusia diatur atas rasa saling menghormati faktor nyawa yang dikurniakan Allah yang dipedomankan atas asas syariah supaya tidak berlaku kacau bilau dan melampaui batas.

Ketiga, pentingnya dipelihara akal supaya akal menjadi sihat dan tangkas. Maksud memelihara akal ialah supaya akal itu diberikan ilmu yang benar yang bakal membangun suatu peribadi.

Ia menghasilkan insan yang mempunyai pertimbangan yang waras dan bijaksana dalam pemikiran dan juga amalan.

Para remaja mesti menyedari bahwa akal yang positif, sihat serta tangkas menjadi asas pembinaan etika dan tamadun. Kerana itulah pengharaman Islam terhadap arak, dadah serta perkara-perkara yang merosakkan adalah untuk memelihara akal manusia supaya kewarasan dalam diri dapat menghasilkan tindakan serta amalan yang bijak dan beretika.

Keempat, hak menjaga harta kerana ia adalah kurniaan Allah yang amat berharga supaya kecenderungan eksploitasi tidak berlaku dan manfaat harta apabila diurus mengikut pedoman syarak akan membawa kesejahteraan kepada umat manusia.

Kelimanya adalah mengenai keturunan yang perlu dipelihara supaya sistem keluarga terurus dengan baik dan memberi manfaat kepada umat manusia.

Faktor syarak dalam pertimbangan tentang pentingnya keturunan dijaga sangat ditekankan supaya hubungan sesama manusia berjalan dengan baik, tidak berlaku kemungkaran yang menyebabkan perkembangan keturunan menjadi rosak.

Misalnya, perintah Allah supaya jangan mendekati zina adalah kata kunci terbaik dalam memelihara keturunan yang baik.

Tuntutan keenam pula adalah menjaga maruah supaya jati diri manusiawi tidak hilang. Jati diri Islami memberi gambaran tentang imej dan kekuatan Islam itu sendiri.

Islam dan orang Islam menjadi sumber dakwah dan sumber contoh kepada orang lain.

Jika keindahan dan kesyumulan agama Islam tidak terlihat pada contoh pemeluknya dalam percakapan dan perbuatan, maruah Islam akan tercalar.

Justeru, menjaga maruah Islam adalah dengan menjaga maruah diri dan maruah diri terbina dengan kekuatan ilmu, pemikiran dan amalan agar selari dengan fitrah insan yang ingin menjadikan faktor manusiawi sebagai refleksi kehidupan. 🙂

 

Kategori:Uncategorized

~ menyemai cinta pada tempatnya ~

22 November 2011 Tinggalkan komen

Antara ciri-ciri organisasi yang berjaya ialah apabila mempunyai warga kerja yang cinta kepada organisasi. Rasa cinta itu sebenarnya sangat penting untuk melahirkan kesetiaan, ketaatan dan disiplin yang cemerlang.

Pendek kata, rasa cinta dapat menjadi pencetus semangat dan motivasi kepada pekerja untuk berdepan dengan susah atau senang bagi menjayakan segala matlamat, visi dan misi yang disasarkan oleh organisasinya.

Sekadar memetik sepotong dialog drama Melayu “Demi cinta, lautan api pun aku sanggup renangi”. Demikianlah, betapa besarnya kesan dan implikasi cinta.

Cinta kepada organisasi bermaksud seseorang itu mempunyai rasa kasih dan sayang kepada organisasi yang menaunginya dengan menunjukkan kesetiaan, ketaatan dan ketekunan untuk membina kejayaan organisasinya.

Cinta adalah perasaan yang tidak dapat dilihat dan dijelaskan, tetapi ia dapat dirasai kerana akan terkesan melalui perbuatannya. Kemuncaknya, seseorang itu apabila telah sampai kepada cinta yang sejati, dia akan sanggup berkorban demi mempertahankan cintanya itu.

Sebagaimana sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang sanggup mengorbankan harta, masa, tenaga bahkan diri mereka demi mempertahankan cinta kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW.

Banyak organisasi pada hari ini menghadapi masalah kekurangan pekerja yang mahir dan berpengalaman. Ini disebabkan ia gagal mengekang budaya cabut lari di kalangan tenaga kerja.

Akhirnya, pihak syarikat terpaksa mencari pengganti yang kurang berpengalaman atau sudah berpengalaman tetapi dengan bayaran gaji yang lebih tinggi. Walaupun telah dinaikkan gaji dan pangkat, namun tetap gagal membendung sikap cabut lari di kalangan pekerja.

Bahkan, ada segelintir pekerja yang lantang memburukkan organisasinya secara terbuka di facebook, twitter, blog dan medium-medium yang lain.

Malahan, ada juga yang sanggup mendedahkan rahsia organisasi kepada pesaing-pesaing dengan tujuan menjatuhkan organisasinya. Semua itu berlaku sebenarnya bertitik-tolak daripada tandusnya rasa cinta kepada organisasi.

Hakikatnya, menjaga sekumpulan pekerja supaya cinta, setia dan taat kepada organisasi bukanlah mudah sebagaimana yang disangka.

Ia memerlukan penerapan yang mengambil masa yang agak lama. Tidak cukup dan tidak memadai dengan cogan kata yang indah namun gersang dari sebarang erti.

 

Cara semai cinta

Justeru, beberapa langkah positif perlu diambil oleh majikan bagi membina dan menyemai perasaan cinta dalam diri warga kerjanya kepada organisasi.

Pertama, cinta kepada organisasi mestilah dibina di atas asas cinta yang betul iaitu cinta kepada Allah SWT dan cinta kepada Rasul SAW. Ini kerana cinta kepada kedua-duanya adalah paksi kepada cinta kepada selainnya.

Diriwayatkan daripada Anas r.a, katanya: Nabi SAW bersabda: Tiga perkara, jika terdapat di dalam diri seseorang maka dengan perkara itulah dia akan memperoleh kemanisan iman: Seseorang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih daripada selain kedua-duanya, mencintai seorang hanya kerana Allah, tidak suka kembali kepada kekafiran setelah Allah menyelamatkannya daripada kekafiran itu, sebagaimana dia juga tidak suka dicampakkan ke dalam neraka. (riwayat Bukhari, Muslim, Tirmizi dan Nasaie)

Sekiranya cinta kepada Allah dan Rasul diletakkan pada tempat yang paling tinggi, maka pekerja tidak akan melakukan penyelewengan, pecah amanah dan khianat kepada organisasinya.

Sebab itu, orang yang meletakkan cinta kepada dunia melebihi cinta kepada Allah dan Rasul akan menerima kehancuran.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah: “Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluarga dan harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq”. (at-Taubah: 24).

Seterusnya, bagi menyemai rasa cinta kepada organisasi, perlu diwujudkan suasana ukhuwah dan persaudaraan di kalangan warga kerja. Ia boleh bermula di peringkat majikan atau pengurusan tertinggi terlebih dahulu.

Sikap lemah-lembut, bertolak-ansur dan sayang-menyayangi adalah elemen paling penting agar hubungan kekeluargaan serta adik-beradik dapat diwujudkan.

Justeru, Allah SWT berfirman yang bermaksud: … Nabi Muhammad (SAW) adalah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaliknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam)… (al-Fath: 29)

Bagi menjayakan agenda pemurnian kasih sayang ini, strategi yang berkesan perlu dilaksanakan.

Antaranya, dengan mencipta cogan kata atau slogan yang boleh melahirkan sense of belonging atau rasa kepunyaan dalam diri setiap warga kerja sekali gus dapat mewujudkan budaya kerja yang amanah dan berdedikasi.

Majikan dan pekerja juga perlu menjaga tutur kata dan mengawal kemarahan. Gunakanlah perkataan yang sesuai pada tempatnya.

Maaf juga adalah budaya yang patut disemai dalam organisasi khususnya apabila melakukan kesalahan dengan sengaja atau tidak sengaja.

Ia mungkin kesalahan kecil, namun dapat memberikan impak terutamanya kepada perasaan orang lain. Justeru, lazimilah meminta maaf kerana ia tidak akan sekali-kali merendahkan martabat kita. Hanya orang yang ego sahaja yang tidak tahu meminta maaf.

Akhirnya, elemen yang juga penting untuk mewujudkan kesetiaan adalah ganjaran yang setimpal terhadap tanggungjawab yang diamanahkan. Ia juga menjadi faktor kesetiaan seseorang kepada organisasinya.

Kategori:Uncategorized

~ muhasabah solat kita ~

22 November 2011 Tinggalkan komen

SOLAT adalah komunikasi antara seorang hamba dengan Allah SWT yang seharusnya terjadi dengan suasana penuh mesra dan bahagia. Solat yang benar-benar diterima mendatangkan ketenangan dan kebahagiaan dalam kehidupan seseorang.

Solat yang sempurna juga melahirkan natijah kejayaan hidup di dunia dan di akhirat, sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah dalam firman-Nya; Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya. (al-Mukminun: 1-2)

Walaupun kita menunaikan solat setiap hari namun, sejauhmana keyakinan kita dalam melakukan amalan ibadah yang diperintahkan kepada kita dalam rukun Islam kedua itu dengan sempurna dan diterima oleh Allah. Atau mungkin sekadar mendatangkan penat dan letih sahaja.

Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Berapa ramai orang yang mendirikan solat, tetapi yang diperolehi hanya penat dan letih, kerana mereka itu lalai dalam sembahyangnya, Rasulullah SAW bersabda lagi yang bermaksud, “Tidak ada habuan bagi seseorang hamba dalam sembahyangnya kecuali sekadar mana yang ia ingat.” (riwayat an-Nasaie)

Untuk memperoleh solat yang sempurna perlu disertai dengan persediaan dari segi rohani dan juga jasmani.

Solat perlu dilakukan keadaan yang selesa di samping menumpukan sepenuh perhatian serta menghadirkan hati kepada Allah SWT sebagai persediaan rohani.

Daripada segi jasmani pula, solat adalah perbuatan anggota tubuh dan bacaan yang sempurna.

Justeru, untuk memperoleh solat yang sempurna yang menjanjikan ketenangan serta kebahagiaan hidup, maka amat penting kepada kita untuk menunaikan solat dengan penuh rasa khusyuk dengan memahami dan menghayati setiap patah perkataan yang diucapkan.

Maka proses komunikasi antara seorang hamba dan Penciptanya akan lebih bermakna dan memberikan kesan yang terbaik.

Kategori:Uncategorized

~ erti sebuah hijrah ~

22 November 2011 Tinggalkan komen

BULAN Zulhijjah 1432 Hijrah kian menghampiri penghujungnya dan tahun baru bakal menjengah tiba.

Pelbagai usaha dan cara dilakukan umat Islam dalam menyambut kedatangan Maal Hijrah yang mengingatkan kita kepada peristiwa penghijrahan Rasulullah SAW dan sahabat Baginda.

Hijrah ialah langkah strategik diambil Rasulullah SAW untuk menegakkan dakwah Islamiah.

Kejayaan hijrah menjadi jambatan tertegaknya Daulah Islamiah kerana hijrah dipandu dan didukung keimanan serta ketakwaan yang padu.

Kejayaan hijrah ini juga mengubah landskap akidah, ibadah, akhlak dan gaya hidup ummah ketika itu.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan sesiapa yang berhijrah di jalan Allah, nescaya ia akan dapati di bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur: dan sesiapa yang keluar dari rumahnya untuk berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian ia mati sesungguhnya sudah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah an-Nisa’, ayat 100)

Kejayaan Nabi SAW tiba di Madinah al-Munawwarah diteruskan dengan agenda membangun negara berteraskan petunjuk al-Quran.

Dalam masa 10 tahun saja, Madinah berjaya mengalahkan kuasa besar seperti Rom timur dan Parsi.

Pengajaran penting kepada kita daripada peristiwa hijrah Rasulullah SAW ini ialah mengikuti jejak langkah Baginda yang menjadikan tuntutan iman dan takwa sebagai faktor pendorong kepada tugas berhijrah.

Justeru, kita perlu berusaha menyuburkan iman dan takwa supaya menjadi panduan kehidupan.

Pemantapan iman berkait rapat dengan ilmu dan pendidikan.

Maka, Islam memberi penekanan terhadap penguasaan ilmu dan pendidikan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu, dan juga orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Mujadalah, ayat 11)

Pendidikan ialah matlamat utama melahirkan individu Muslim yang berilmu dan membina masa depan ummah contoh.

Peredaran zaman memberi kesan kepada perubahan gaya hidup manusia termasuklah cara bertindak dan berfikir.

Bagi menjana ummah berkualiti, pendidikan bersepadu dan menyeluruh membabitkan fardu ain, fardhu kifayah dan teknologi maklumat perlu dititikberatkan.

Umat Islam dituntut memperkukuh ilmu fardu ain dengan mendalami pengetahuan agama seperti dalam bidang tafsir al-Quran, hadis, fiqh, akidah dan sebagainya sebagai benteng kepada keutuhan, kekuatan iman serta pegangan agama Islam.

Berdasarkan pemerhatian dalam bidang tertentu seperti ilmu matematik, sains fizik, kimia, biologi, kejuruteraan, perubatan dan bidang sains lain, didapati bahawa umat Islam ketinggalan jauh berbanding pencapaian bangsa lain.

Ini cabaran hebat kepada umat Islam di negara ini dalam usaha membina masa depan cemerlang.

Memperkasa umat Islam sebagai umat yang unggul menuntut kebijaksanaan tinggi.

Dalam bidang ilmu dan pendidikan mestilah ada perubahan iaitu tajdid.

Pembaharuan ilmu dan pendidikan bersifat semasa mampu melepaskan seseorang itu daripada belenggu kebekuan bersifat tradisi.

Cara ini akan melahirkan ilmuwan selari dan senafas dengan zaman serta cabaran lingkungan terkini.

Memperkasa umat Islam haruslah bermula dengan contoh dan teladan supaya menjadi sumber ikutan baik dalam kalangan umat lain.

Umat Islam mestilah diberikan suasana kebebasan membuat pandangan supaya setiap pihak merasa selesa bahawa kritikan membina untuk kebaikan semua.

Kita semua sedia maklum pendidikan berkesan tidak akan terlaksana jika tidak dijayakan secara bersungguh-sungguh serta mendapat kerjasama dan sokongan semua pihak terutama institusi keluarga.

Bersempena kedatangan tahun baru hijrah, marilah bersama bertindak secara proaktif bagi memastikan masa depan generasi umat Islam lebih cemerlang dengan memperkasa sektor pendidikan yang menjadi teras membina masa depan keluarga, generasi dan negara.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah: adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui. Sesungguhnya orang yang dapat mengambil peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna.” (Surah Az-Zumar, ayat 9)

 

Kategori:Uncategorized